About Me

My photo
Brief Profile Prof. Dr. Zuhaimy Ismail is a Malaysian academic, researcher, community educator and social entrepreneur whose work brings together science, Islamic scholarship, agriculture, education and community development. He served for more than four decades in academia, particularly at Universiti Teknologi Malaysia (UTM), specialising in Operations Research, Statistics, Management Science and Artificial Intelligence. He holds a PhD in Management Sciences from Loughborough University, UK, and has received several academic and service recognitions. Beyond academia, Prof. Zuhaimy has devoted much of his later life to community service, agriculture and Islamic education. Through Pena AgroFarm, he has explored sustainable agriculture, livestock, pineapple cultivation, kelulut beekeeping and organic rice cultivation. He is also involved in the development of Madrasah Tahfiz Al-Quran Albiranii, integrating Qur’anic education with practical agricultural and vocational skills. He is associated with the Tariqah Qadiriyyah-Shadhiliyyah-Darqawiyyah (TQSD) and is involved in the development of Zawiyah Darqawi Lenggeng, conceived as a centre for ibadah, tarbiy

Wednesday, September 30, 2026

CINTA RASULULLAH SAW

Daripada Mahabbah kepada Ittiba‘, Khidmah dan Menghidupkan Ruh Madinah

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Rasulullah ﷺ.

Saya ingin berkongsi sedikit dapatan mengenai Cinta Rasulullah ﷺ, dengan merujuk kepada Surah al-Tawbah, ayat 24–25, khususnya berkaitan dengan mahabbah, shawq dan ittiba‘.

Catatan ini turut menghimpunkan beberapa hadis serta pandangan dan penulisan Qadi ‘Iyad, tradisi Darqawi-Shadhili, dan Shaykh Abdalqadir as-Sufi, khususnya mengenai futuwwah, khidmah dan ‘Amal Madinah.

Kesemua bahan ini saya susun menjadi sebuah rencana yang mengalir sebagai satu gagasan yang saling berkaitan, bukan lagi dalam bentuk nota pengajian semata-mata. Mudah-mudahan catatan ini dapat membuka ruang untuk kita sama-sama merenung kembali makna cinta kepada Rasulullah ﷺ—bukan sekadar sebagai perasaan di dalam hati, tetapi sebagai cinta yang melahirkan ittiba‘, adab, rahmah, khidmah dan kehidupan bermasyarakat yang mencontohi ruh Madinah.

Cinta yang mengubah kehidupan

Cinta kepada Rasulullah ﷺ adalah antara perkara yang paling dalam (deep) dalam kehidupan seorang mukmin. Ia bukan sekadar perasaan, bukan sekadar menyebut nama baginda, bukan sekadar membaca sirah dan bukan sekadar memperbanyakkan selawat. Mahabbah al-Rasul ﷺ sepatutnya menjadi satu kekuatan yang mengubah hati, akhlak, ibadah, muamalat dan akhirnya cara kita hidup bersama manusia.  Persoalan yang perlu kita ajukan kepada diri bukan hanya:

“Adakah aku mengenali Rasulullah ﷺ?”

Tetapi:

“Adakah aku mencintai Rasulullah ﷺ?”

Dan lebih jauh lagi:

“Adakah cintaku kepada Rasulullah ﷺ telah mengubah kehidupanku?”

Kerana seseorang mungkin mengetahui banyak tentang Rasulullah ﷺ tetapi belum tentu benar-benar mencintai baginda. Seseorang juga mungkin banyak menyebut nama baginda, tetapi persoalannya ialah sama ada Sunnah baginda semakin hidup dalam dirinya.

Perjalanan cinta itu boleh dirumuskan:

Mengetahui → Mengenal → Mencintai → Merindui → Mengikuti → Berkhidmat.


Cinta Rasulullah ﷺ dan iman

Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadith ini menunjukkan bahawa mahabbah kepada Rasulullah ﷺ bukan sesuatu yang kecil atau tambahan dalam kehidupan seorang Muslim. Ia berkaitan secara langsung dengan kesempurnaan iman.

Islam tidak menyuruh kita berhenti mencintai ibu bapa, anak-anak, pasangan, keluarga, harta atau pekerjaan. Semua itu boleh dicintai.

Tetapi Allah mengajar kita tertib dan susunan cinta.

Kita mencintai keluarga kerana Allah.

Kita menggunakan harta sebagai amanah Allah.

Kita bekerja untuk mencari rezeki yang halal.

Namun apabila berlaku pertentangan antara kehendak diri dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya ﷺ, maka Allah dan Rasul-Nya mesti didahulukan.  Inilah ukuran mahabbah.


Al-Tawbah 9:24 — apakah yang paling kita cintai?

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ

“Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takut kerugiannya dan rumah-rumah yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketetapan-Nya.”

(al-Tawbah 9:24)

Ayat ini seolah-olah membawa kita masuk ke dalam hati sendiri.  Allah menyebut perkara-perkara yang paling dekat dengan manusia:

ibu bapa, anak, saudara, isteri, keluarga, harta, perniagaan dan rumah.

Allah tidak mengatakan semua itu tidak boleh dicintai.  Tetapi Allah bertanya:

Adakah semua itu lebih kita cintai daripada Allah dan Rasul-Nya ﷺ?

Maka mahabbah bukan semata-mata soal emosi.

Mahabbah ialah soal keutamaan hati.

Apakah yang kita dahulukan apabila berlaku pertentangan?

Apakah yang kita korbankan?

Apakah yang kita pertahankan?

Apakah yang kita sanggup tinggalkan kerana Allah dan Rasul-Nya ﷺ?

Di situlah cinta diuji.


Al-Tawbah 9:25 — bukan sahaja tentang cinta, tetapi tentang pergantungan

Menariknya, selepas ayat 24, Allah menyebut tentang peperangan Hunayn:

إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا

“Ketika kamu merasa bangga dengan jumlah kamu yang ramai, tetapi jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikit pun.”

(al-Tawbah 9:25)

Ayat 24 bertanya:

Apa yang paling kita cintai?

Ayat 25 seolah-olah mengajar:

Kepada siapa hati kita bergantung?

Dalam Hunayn, kaum Muslimin mempunyai jumlah yang besar. Namun jumlah tersebut tidak memberi jaminan kemenangan.

Ini mengajar kita tentang penyakit ‘ujb — merasa kagum dengan diri sendiri dan kekuatan yang dimiliki.

“Kita ramai.”

“Kita mempunyai ilmu.”

“Kita mempunyai harta.”

“Kita mempunyai organisasi.”

“Kita mempunyai pengikut.”

“Kita mempunyai kemampuan.”

Semuanya mungkin benar sebagai sebab, tetapi ia bukan tempat pergantungan.

Pertolongan datang daripada Allah.

Maka mahabbah yang benar juga membebaskan hati daripada terlalu bergantung kepada makhluk.

Kita menggunakan sebab, tetapi hati bergantung kepada Allah.


Cinta kepada Rasulullah ﷺ membawa kepada ittiba‘

Bagaimana kita membuktikan cinta?

Allah memberikan jawapannya dalam Ali ‘Imran:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ

“Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku; nescaya Allah mencintai kamu.”

(Ali ‘Imran 3:31)

Ayat ini memberikan satu prinsip besar:

Cinta mempunyai bukti.

Bukti cinta ialah ittiba‘.

Kita berkata:

“Aku mencintai Rasulullah ﷺ.”

Maka kita bertanya:

Bagaimana baginda beribadah?

Bagaimana baginda berakhlak?

Bagaimana baginda melayan anak-anak?

Bagaimana baginda melayan orang miskin?

Bagaimana baginda melayan jiran?

Bagaimana baginda memuliakan tetamu?

Bagaimana baginda bermuamalat?

Bagaimana baginda memaafkan?

Bagaimana baginda menghadapi kesusahan?

Kemudian kita berusaha membawa Sunnah tersebut ke dalam kehidupan kita.


Mahabbah, Shawq dan Ittiba‘

Perjalanan cinta boleh difahami dalam tiga tahap:

Mahabbah

Aku mencintai Rasulullah ﷺ.

Shawq

Aku merindui Rasulullah ﷺ.

Ittiba‘

Aku mahu mengikuti Rasulullah ﷺ.

Cinta melahirkan rindu.

Rindu melahirkan keinginan untuk mendekati orang yang dicintai.

Dan bagi umat yang hidup selepas kewafatan baginda, jalan untuk mendekati Rasulullah ﷺ ialah dengan mengikuti Sunnah baginda.

Maka cinta yang benar tidak berhenti pada lidah.

Ia bergerak kepada amal.


Kemanisan iman

Rasulullah ﷺ bersabda bahawa terdapat tiga perkara yang menyebabkan seseorang merasakan kemanisan iman, antaranya:

أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما

“Bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada segala sesuatu.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Perhatikan bahawa Rasulullah ﷺ menyebut:

حَلَاوَةُ الإِيمَانِ

Kemanisan iman.

Ada orang mengetahui agama dengan akal.

Tetapi apabila cinta masuk ke dalam hati, agama mula dirasakan.

Inilah yang disebut oleh para ahli suluk sebagai dhawq — rasa.

Zikir bukan lagi hanya pergerakan lidah.

Solat bukan lagi sekadar pergerakan tubuh.

Selawat bukan lagi sekadar lafaz.

Semuanya mula mempunyai rasa kerana hati telah mengenal dan mencintai.


“Seseorang bersama dengan orang yang dicintainya”

Antara hadith yang paling menggembirakan para pencinta ialah sabda Rasulullah ﷺ:

الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

“Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Anas رضي الله عنه meriwayatkan kegembiraan para sahabat apabila mendengar hadith ini.

Ia memberikan harapan yang sangat besar.

Kita mungkin tidak mempunyai amal seperti Rasulullah ﷺ.

Kita mungkin tidak mempunyai ilmu seperti para sahabat.

Kita mungkin tidak mempunyai maqam seperti para salihin.

Tetapi kita boleh berdoa agar Allah mengurniakan mahabbah kepada mereka.

Kerana kita berharap:

Aku mahu bersama dengan orang yang aku cintai.

Maka cinta bukan perkara kecil.

Cinta menentukan siapa yang kita mahu bersama.


Rindu Thawban رضي الله عنه

Kisah Thawban رضي الله عنه memperlihatkan bagaimana mahabbah boleh berubah menjadi shawq.

Thawban sangat mencintai Rasulullah ﷺ sehingga apabila berjauhan daripada baginda, beliau berasa sangat rindu.

Yang merisaukannya bukan kehilangan dunia.

Beliau risau tentang akhirat.

Beliau membayangkan Rasulullah ﷺ berada pada darjat yang tinggi dan beliau mungkin tidak dapat bersama baginda.

Kemudian kita melihat hubungan yang sangat indah dengan ayat:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم

“Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul, mereka akan bersama dengan orang-orang yang telah Allah beri nikmat.”

(al-Nisa’ 4:69)

Thawban memikirkan bersama Rasulullah ﷺ.

Jawapannya datang melalui ketaatan.

Maka:

Rindu mesti membawa kepada taat.


Qadi ‘Iyad dan hak Rasulullah ﷺ

Imam Qadi ‘Iyad رحمه الله dalam al-Shifa’ bi-Ta‘rif Huquq al-Mustafa ﷺ menghuraikan dengan panjang tentang kewajipan mencintai Rasulullah ﷺ.

Antara asas yang beliau jelaskan ialah manusia mencintai seseorang kerana keindahan, akhlak dan kebaikan yang diterimanya.

Semua ini terdapat pada Rasulullah ﷺ dalam bentuk yang paling sempurna.

Allah berfirman:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

“Sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas akhlak yang agung.”

(al-Qalam 68:4)

Baginda adalah rahmat:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Tidaklah Kami mengutuskan engkau melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.”

(al-Anbiya’ 21:107)

Maka apabila kita mencintai Rasulullah ﷺ, kita perlu mencintai apa yang baginda bawa.

Kita perlu mencintai Sunnah.

Kita perlu mencintai akhlak baginda.

Kita perlu mencintai rahmat baginda.

Kita perlu mencintai sifat pemurah baginda.

Kita perlu mencintai kesabaran baginda.

Dan kita perlu berusaha membawa sifat-sifat itu ke dalam kehidupan kita.


Daripada cinta kepada khidmah

Di sinilah hubungan mahabbah dan khidmah menjadi sangat penting.

Cinta yang benar tidak akan berhenti sebagai perasaan.

Apabila kita mencintai Rasulullah ﷺ, kita mencintai apa yang baginda cintai.

Dan Rasulullah ﷺ sangat mengambil berat tentang umatnya.

Allah menggambarkan baginda:

بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“Baginda sangat belas kasihan dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.”

(al-Tawbah 9:128)

Maka cinta kepada Rasulullah ﷺ sepatutnya melahirkan rahmah terhadap manusia.

Dan rahmah mencari bentuk.

Bentuknya ialah:

Khidmah.

Orang yang mencintai mula bertanya:

“Apakah yang boleh aku berikan?”

bukan hanya:

“Apakah yang boleh aku dapat?”

Bukan:

“Siapa yang akan melayani aku?”

tetapi:

“Siapa yang boleh aku layani?”

Bukan:

“Bilakah orang akan menghargai aku?”

tetapi:

“Bolehkah aku berbuat baik walaupun tidak dihargai?”

Di sinilah cinta mula mengalahkan nafs.


Khidmah sebagai jalan tazkiyah

Khidmah bukan sekadar membantu orang lain.

Khidmah juga mendidik diri sendiri.

Apabila kita berkhidmat, kita akan berhadapan dengan manusia yang pelbagai.

Ada yang lambat.

Ada yang tidak memahami.

Ada yang tidak berterima kasih.

Ada yang mungkin mengambil kesempatan.

Di sinilah kita belajar:

sabar,

ikhlas,

tawadu‘,

memaafkan,

sangka baik,

dan tidak menuntut penghargaan.

Nafsu mahu dilayan.

Mahabbah mahu melayani.

Nafsu mahu dihormati.

Mahabbah belajar menghormati.

Nafsu mahu menerima.

Mahabbah belajar memberi.

Maka khidmah menjadi salah satu jalan untuk tazkiyah al-nafs.


Mahabbah → Rahmah → Khidmah → Futuwwah

Daripada sini kita dapat melihat satu rangkaian:

Mahabbah → Rahmah → Khidmah → Futuwwah

Mahabbah — aku mencintai.

↓

Rahmah — aku mengambil berat.

↓

Khidmah — aku melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain.

↓

Futuwwah — aku membentuk diri menjadi seorang yang pemurah, berani memberi, menjaga kehormatan orang lain dan bersedia berkhidmat kerana Allah.

Inilah yang boleh menjadikan cinta kepada Rasulullah ﷺ sebagai satu tenaga pembentuk masyarakat.


Jalan Darqawi: membersihkan hati daripada cinta dunia

Dalam jalan Darqawi, perhatian yang besar diberikan kepada penyakit hati dan keterikatan kepada dunya.

Dunia bukan semestinya perlu ditinggalkan.

Tetapi dunia tidak boleh mengambil tempat Allah dalam hati.

Di sinilah Surah al-Tawbah 9:24 kembali berbicara kepada kita.

Kita boleh mempunyai keluarga.

Kita boleh mempunyai harta.

Kita boleh berniaga.

Kita boleh mempunyai rumah.

Kita boleh bertani.

Kita boleh membina institusi.

Tetapi hati jangan menjadi hamba kepada semua itu.

Soalannya bukan:

“Adakah aku mempunyai dunia?”

Tetapi:

“Adakah dunia mempunyai hatiku?”

Mahabbah membantu kita meletakkan dunia pada tempatnya.

Harta menjadi amanah.

Pekerjaan menjadi ibadah.

Perniagaan menjadi muamalat yang halal.

Tanah menjadi tempat khidmah.

Dan kehidupan menjadi jalan menuju Allah.


Shadhili: hidup bersama Allah dalam kehidupan

Dalam tradisi Shadhili, kita tidak memahami jalan menuju Allah sebagai melarikan diri daripada kehidupan.

Kita bekerja.

Kita berniaga.

Kita berkahwin.

Kita berkeluarga.

Kita bertani.

Kita bermuamalat.

Kita berkhidmat.

Tetapi hati tidak menjadi hamba kepada dunia.

Ringkasnya:

Tangan berada di dunia, tetapi hati bersama Allah.

Dan Rasulullah ﷺ adalah teladan yang paling sempurna dalam keseimbangan ini.

Baginda beribadah.

Baginda berkeluarga.

Baginda memimpin.

Baginda bermuamalat.

Baginda melayani tetamu.

Baginda membantu orang miskin.

Baginda mendidik manusia.

Baginda membina masyarakat.

Baginda menghidupkan masjid, pasar, keluarga, persaudaraan dan kehidupan bersama.

Inilah Sunnah yang hidup.


Shaykh Abdalqadir as-Sufi: cinta sebagai kehidupan

Dalam tradisi pengajaran Shaykh Abdalqadir as-Sufi رحمه الله, mahabbah kepada Rasulullah ﷺ tidak sepatutnya difahami sebagai sentimental semata-mata.

Cinta mesti menjadi ‘amal.

Ia mesti kelihatan dalam kehidupan.

Dalam persaudaraan.

Dalam kemurahan hati.

Dalam hubungan jiran.

Dalam hospitaliti.

Dalam muamalat.

Dalam khidmah.

Dalam pembinaan masyarakat.

Di sinilah cinta kepada Rasulullah ﷺ bertemu dengan gagasan ‘Amal Madinah — bukan sekadar membicarakan Madinah sebagai sejarah, tetapi berusaha menghidupkan nilai-nilai masyarakat yang dibina oleh Rasulullah ﷺ.

Maka mahabbah bukan sekadar:

“Aku cinta Rasulullah ﷺ.”

Tetapi:

“Aku mahu hidup dengan apa yang Rasulullah ﷺ hidupkan.”


Menghidupkan ruh Madinah

Jika kita mahu menghidupkan kembali ruh Madinah, kita tidak boleh bermula dengan bangunan sahaja.

Kita mesti bermula dengan hati manusia.

Kerana masyarakat tidak dibina hanya dengan batu dan kayu.

Masyarakat dibina dengan manusia yang mempunyai:

iman,

adab,

rahmah,

futuwwah,

amanah,

dan khidmah.

Maka rangkaiannya:

Mahabbah

↓

Ittiba‘

↓

Adab

↓

Tazkiyah

↓

Futuwwah

↓

Khidmah

↓

Ukhuwwah

↓

‘Amal Madinah

Inilah sebabnya sebuah Zawiyah tidak seharusnya hanya menjadi tempat orang datang berzikir kemudian pulang.

Zawiyah sepatutnya menjadi tempat hati dibentuk.

Tempat manusia belajar mengenal Allah.

Tempat manusia belajar mencintai Rasulullah ﷺ.

Tempat manusia belajar memperbaiki akhlak.

Tempat manusia belajar berkhidmat.

Dan akhirnya tempat manusia belajar hidup bersama sebagai sebuah masyarakat yang saling mengasihi kerana Allah.


Zawiyah: daripada menerima kepada memberi

Kita perlu mengubah satu cara berfikir.

Jangan datang ke Zawiyah hanya dengan persoalan:

“Apa yang Zawiyah boleh berikan kepada aku?”

Tetapi datang dengan pertanyaan:

“Apa yang boleh aku berikan kepada Zawiyah?”

Apakah ilmu yang boleh aku sumbangkan?

Apakah tenaga yang boleh aku berikan?

Apakah makanan yang boleh aku kongsi?

Siapa yang boleh aku bantu?

Siapa yang boleh aku ziarahi?

Siapa yang sedang kesusahan?

Apakah yang boleh aku wakafkan?

Apakah kerja yang boleh aku lakukan tanpa menunggu dipuji?

Inilah perubahan daripada nafs kepada futuwwah.


Cinta yang berjalan di atas kaki

Cinta kepada Rasulullah ﷺ tidak seharusnya tinggal dalam majlis.

Ia mesti keluar bersama kita.

Selepas majlis, kita pulang kepada keluarga dengan akhlak yang lebih baik.

Kita pulang kepada jiran dengan rahmah.

Kita pergi bekerja dengan amanah.

Kita berniaga dengan jujur.

Kita bertani dengan ihsan.

Kita melayan tetamu dengan kemuliaan.

Kita membantu orang miskin.

Kita memaafkan orang yang menyakiti kita.

Kita menziarahi orang sakit.

Kita memberi tanpa menunggu balasan.

Maka cinta itu telah menjadi amal.

Lidah berzikir.

Hati mencintai.

Tangan memberi.

Kaki pergi membantu.

Itulah cinta yang hidup.


Bagaimana menguji cinta kita?

Akhirnya, setiap daripada kita perlu bertanya kepada diri sendiri:

Apakah yang paling aku cintai?

Apakah yang paling aku takut kehilangan?

Apabila kehendak nafsu bertentangan dengan Sunnah, siapa yang aku pilih?

Adakah akhlakku semakin dekat dengan akhlak Rasulullah ﷺ?

Adakah keluargaku merasakan rahmah daripada diriku?

Adakah jiran-jiranku merasakan manfaat daripada kehadiranku?

Adakah orang miskin mendapat manfaat daripada kehidupanku?

Adakah aku semakin pemurah?

Adakah aku semakin mudah memaafkan?

Adakah aku semakin suka berkhidmat?

Dan persoalan yang paling dalam:

Adakah aku benar-benar merindui Rasulullah ﷺ sehingga aku mahu hidup mengikuti baginda?


Cinta, rindu dan harapan

Kita mungkin tidak mampu menjadi seperti para sahabat.

Kita mungkin tidak mampu mencapai amal para salihin.

Kita mungkin terlalu banyak kekurangan.

Tetapi jangan kita putus harapan.

Rasulullah ﷺ telah memberikan kita satu harapan yang sangat besar:

الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

“Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya.”

Maka kita mohon kepada Allah:

Ya Allah, kami mencintai Rasul-Mu ﷺ.

Kami ingin mengenal baginda.

Kami ingin mengikuti baginda.

Kami ingin menghidupkan Sunnah baginda.

Kami ingin mempunyai akhlak baginda.

Kami ingin berkhidmat kepada manusia sebagaimana baginda mengajar kita.

Dan kami berharap, dengan rahmat-Mu, kami akan dikumpulkan bersama baginda.


Penutup

Cinta kepada Rasulullah ﷺ bukan sekadar satu bab dalam kitab.

Ia adalah perjalanan hidup.

Kita bermula dengan mengenal.

Kemudian hati belajar mencintai.

Cinta melahirkan rindu.

Rindu membawa kepada ittiba‘.

Ittiba‘ membentuk adab.

Adab membersihkan nafs.

Hati yang bersih melahirkan rahmah.

Rahmah bergerak menjadi khidmah.

Khidmah membentuk futuwwah.

Futuwwah membina ukhuwwah.

Dan ukhuwwah menjadi asas kepada sebuah masyarakat yang hidup dengan ruh Madinah al-Munawwarah.

Maka cita-cita kita bukan sekadar mempunyai Zawiyah yang indah.

Cita-cita kita ialah mempunyai manusia yang hidup dengan mahabbah.

Manusia yang hatinya mengenal Allah.

Manusia yang mencintai Rasulullah ﷺ.

Manusia yang mengikuti Sunnah.

Manusia yang pemurah.

Manusia yang penyayang.

Manusia yang amanah.

Manusia yang suka berkhidmat.

Manusia yang tidak bertanya:

“Apa yang aku boleh dapat?”

tetapi:

“Apa yang aku boleh beri kerana Allah?”

Itulah manusia yang kita harapkan lahir daripada Zawiyah.

Dan itulah cinta Rasulullah ﷺ yang kita mahu hidupkan:

Cinta di hati.
Sunnah dalam kehidupan.
Rahmah dalam akhlak.
Khidmah pada tangan.
Futuwwah dalam pergaulan.
Dan ruh Madinah dalam masyarakat.

اللهم ارزقنا حب نبيك محمد ﷺ.

اللهم ارزقنا شوقاً إليه.

اللهم ارزقنا اتباع سنته.

اللهم ارزقنا حسن الأدب معه.

اللهم اجعل محبتنا لنبيك ﷺ سبباً لإصلاح قلوبنا وأعمالنا وأهلنا ومجتمعنا.

اللهم اجعلنا من أهل الرحمة والفُتُوَّة والخدمة.

اللهم اجمعنا برسول الله ﷺ في الجنة.

اللهم لا تحرمنا صحبته ولا شفاعته.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

والحمد لله رب العالمين.

Aamiin

Professor Dr Zuhaimy Ismail

No comments: