About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Tuesday, July 9, 2019

Emas Bullion dan Dinar Emas Mampu Menggantikan Dolar Amerika

Oleh
Prof. Dr. Zuhaimy Ismail
DdRG, UTM Skudai

Dalam suasana kekurangan kepercayaan pelabur terhadap Ringgit Malaysia dibandingkan dengan dolar Amerika menyebabkan kekurangan permintaan wang kertas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Penyusutan nilai tersebut berlaku sejak enam bulan yang lalu dan tidak menampakkan peningkatan kadar kepercayaan tersebut.  Malaysia seolah-olah membiarkan perkara ini berlaku tanpa ada tindakan pengukuhan fizikal terhadap wang kertas Ringgit Malaysia.  Sebenarnya Ringgit Malaysia atau Dolar Amerika, kedua-duanya serupa sahaja iaitu wang kertas yang dijanjikan nilai yang kemudiannya diperdagangkan seperti suatu komoditi umpama beras, gula, minyak kelapa sawit dan sebagainya.  Jika Malaysia mahu wang kertasnnya kuat, ia hendaklah ikat kepada kuantiti emas yang sebenar.  ntuk pengetahuan semua buat masa sekarang ini, wang Ringgit Malaysia cuma disandarkan kepada "buckets of foreign currencies"  yang juga merupakan wang kertas yang menjanjikan nilai. Sesungguhnya tidak ada satupun wang kertas yang kekal digunakan.

Oleh itu, saya mencadangan supaya emas dijadikan sandaran kepada wang Ringgit Malaysia untuk permulaannya secara kecil-kecilan atau gunakan emas sebagai alat tukar secara kecil-kecilaan dahulu.  Tingkatkan kuantiti simpanan emas di negara ini khasnya disimpan pada tangan semua rakyat Malaysia.  Rakyat Malaysia hendaklah juga memiliki emas disamping kerajaan memiliki emas. Penyimpanan yang paling mudah adalah dalam bentuk dinar emas atau barang kemas daripada emas.  Pelarian Vietnam dalam tahun lapan puluhan dan kini pelarian Syria, mereka membawa bersama mereka emas sebagai wang untuk dijadikan wang menyara hidup ditempat mereka berhijrah.  Ini satu pengajaran besar untuk semua.

Emas adalah sejenis logam kuning kejadian Illahi sebagai pengukur kekayaan sejak duhulu sehinggalah ke hari akhirat.  Dinar emas diperbuat daripada emas 999.9 atau emas 24karat seberat 4.25 gram mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Saidina Omar R.A.  Dulunya emas adalah wang.  Di awal kurun ke sembilan belas wang kertas dicetak dengan sandaran emas dan dalam tahun 1971, Presiden Nixon telah melepaskan ikatan dolar Amerika dengan emas.  Sejak itu harga emas terus meningkat.  Risalah lanjut mengenai dinar emas ini boleh diperolehi dengan melawat laman web www.ddrgutm.fs.utm.my.  Sangatlah wajar generasi muda Muslim mula mengenali dinar emas ini kerana merekalah generasi yang akan menegakkan usaha mengembalikan kekuatan umat Islam.

Dalam bulan Disember 2004, harga emas mencecah pada tahap tertinggi di New York dalam tahun 2003 dan 2004 setelah Bank Bundesbank, Jerman sebuah bank yang terkenal sebagai pemegang emas kedua terbesar di dunia menyuarakan hasrat untuk tidak menjual emas buliannya bagi menyokong dolar seperti yang dipersetujui oleh empat belas bank utama dunia yang lain.  Kemerosotan nilai dolar perlu didokong dengan lambakan emas di dalam pasaran malangnya ini tidak berlaku, dolar Amerika terus menyusut dibanding emas.  

Randgold Resources, USA. sebuah agensi berita menunjukkan bahawa negara Jerman tidak mahu melepaskan emas milik mereka dan menukarkannya kepada dolar Amerika.  Negara Jerman sedar dolar Amerika semakin lemah dan dengan menjual emas mereka kepada dolar akan menguatkan dolar Amerika sahaja.  Walaupun Amerika dan negara Jerman dua buah negara bersekutu, tetapi kini kita sudah mula lihat akan perlunya negara Jerman berpegang kepada emas dan secara langsung menguatkan Euro.  

Akhbar The Business Times pada 17 Disember 2004, dalam ruang “Money”, ada menceritakan tentang kelemahan dolar Amerika ini akan berterusan.  Menurut Mobius, pengarah urusan Templeteon Asset Management Ltd sebuah syarikat yang menguruskan dana sebesar US$13 bilion menyatakan bahawa dolar Amerika akan mengalami penyusutan nilai hatrik (iaitu penyusutan tiga tahun berturut-turut) dibandingkan dengan Euro. Malah bancian daripada beberapa buah bank dunia terbesar juga mendapati tren pergerakan dolar Amerika ini adalah ke arah menyusut.  Dolar Amerika juga menyusut dibandingkan dengan matawang kertas Yuan China dan Yen Jepun.  Dolar Amerika menyusut sebanyak 8.2% dibandingkan dengan Yuan China.  

Negeri China terus tertekan melalui berbagai cara untuk melonggarkan ikatan Yuan kepada dolar Amerika.  Tekanan dibuat melalui perundangan perdagangan seperti cadangan untuk mengenakan tariff sebanyak 27% ke atas semua barang yang dibawa dari China sehinggalah Yuan bebas untuk diperdagangankan.  Jika bebas diperdagangkan, negeri China akan mengalami nasib yang sama dengan Malaysia.  Malah John Snow setiausaha perbendaharaan Amerika telah mengeluarkan kenyataan bahawa negaranya akan menggunakan diplomasi bukannya tariff untuk melepaskan ikatan Yuan supaya menjadi matawang dunia yang lebih fleksibel.  Seringkali sebalik apa yang dikatakan akan berlaku. Inilah sebuah negara yang mempromosikan demokrasi, tetapi demokrasi dan kemerdekaan negara untuk memilih matawang, menentukan nilai matawang mereka sendiri sebenarnya tidak pula dibenarkan.  Yuan tetap akan mengukuh dibandingkan dengan dolar Amerika sedangkan Ringgit Malaysia terus mengikut untuk menyusut nilai bersama dengan dolar Amerika.  Apakah yang harus dilakukan untuk menguatkan kembali sistem nilai yang sudah rosak ini? Kehancuran Dolar Amerika akan membawa banyak kerosakan dan boleh dikatakan wang kertas dolar adalah senjata perosak yang tidak terkawal dan hanya dinar emas yang dapat mengangkisnya.  

Dolar Amerika ibarat nadi dan darah sistem ekonomi kapitalis yang telah rosak menunggu masa untuk hancur.  Negara kuasa dunia ini hampir muflis dengan hutang melebihi US$18.2 trilion dan hutang ini akan terus meningkat.  Dolar Amerika kini ibarat barah kepada sistem kapitalis dunia dan barah ini akan merosakkan banyak organ dalam ekonomi dunia.  Untuk sistem kewangan ini terus kuat, mereka menggunakan kuasa monopoli yang mereka miliki menerusi syarikat gergasinya, agensi dunia yang dikuasainya seperti Pertubuhan Perdagangan Seduina (WTO), GATT, G7 serta kekuatan tentera kononnya dolar Amerika akan terus kekal menguasai matawang dunia.

Dari jauh kita mesti intai akan tingkah laku kerajaan kufar dan permainan dunia spekulatif sistem kewangan riba ini.  Sebenarnya Dolar Amerika sudah kelam kabut dan memerlukan bantuan dunia untuk mengukuhkannya kembali.  Sepertimana dikatakan di atas, mereka memerlukan Yuan.  Kini dolar Amerika memerlukan campur tangan presiden George W. Bush pula.  Walaupun mereka menyatakan kerajaan tidak mencampuri urusan perdagangan matawang atau menentukan nilai wang kertas dolar dan dinilaikan bebas mengikut harga pasaran, tetapi dalam perjumpaan antara Bush dan Silvo Berlusconi baru-baru ini jelas menyuarakan supaya pasaran antarabangsa mula membuat hubungan antara Euro dan dolar Amerika. Seterusnya mungkin dimasa hadapan kita akan dengar satu perundangan dibentuk mengikat hubungan antara dolar Amerika dan Euro.  Euro dollar akan tetap menyokong dolar Amerika kerana kedua-dua dolar dan Euro dilahirkan oleh sistem yang sama ibarat dilahirkan oleh ibu yang sama tetapi berlainan bapa.  Seperti anak luar nikah, ibunya sama tetapi bapanya tidak tahu siapa! Euro dan dolar adalah anak seibu berlainan bapa sedangkan paten ‘DNA’nya sama sahaja.

Dunia kini mesti kembali kepada menggunakan sistem matawang berteraskan logam berharga seperti emas.  Atau dengan lebih mudah lagi adalah dengan mengambil dinar emas kerana dinar emas sudah pasti piawaiannya.  Sekiranya dunia tidak mahu, negara kita mesti memulakannya, jika negara kita tidak mahu umat Islam secara kumpulan mesti memulakannya, jika tidak ada kumpulan, secara individu mesti memulakannya.  Emas tetap emas sehingga ke hari kiamat.  Semua telah tahu bahawa piawaian dolar Amerika tidak menentu atau kita katakan dolar tidak ada piawaian.   Ringgit disebaliknya boleh dikuatkan jika lebih banyak emas berada dinegara kita dan wang kita mula disandarkan kepada dinar emas.

Dalam keadaan dolar tidak menentu ini, emas terus kukuh.  Satu laporan dalam Gold Monitor yang ditulis oleh Dr. martin Murenbeeld, seorang ahli ekonomi kepada Dundee Wealth Management Group menyatakan bahawa harga emas tetap kukuh dan akan terus meningkat dibandingkan dengan dolar Amerika.  Menurut beliau kekuatan harga emas ini tidak lain dan tidak bukan kerana faktor dolar Amerika yang dikatakan terlebih nilai.  Jika sekarang ini harga emas dalam lingkungan US$1,140.14 per auns dijangkakan harga emas akan terus meningkat untuk mencecah kepada hampir US$500 per auns di awal tahun 2006 atau akhir tahun 2005.  Perkembangan dinar emas dunia sekarang ini semakin meningkat, kita tidak nampak harga emas akan turun dibandingkan dengan dolar Amerika malah tidak jauh dari jangkaan kita bahawa harga emas akan mencecah US$800 per auns dalam tahun 2015. 

Walaupun harga emas kukuh dibandingkan dengan dolar Amerika, wang kertas ini masih tetap akan bertahan sebagai pengukur utama harga emas.  Dengan ertikata lain, lebih banyak wang kertas diperlukan untuk mendapatkan kuantiti emas yang sama.  Dolar Amerika adalah matawang fiat janji kosong.  Berita buruk mengenai dolar berterusan kita dengar hari demi hari, tahap kepercayaan dunia terhadap dolar kian menyusut.  Kita semua lebih kurang tahu bahawa panduan atau penentu pergerakan matawang kertas untuk jangkamasa yang panjang adalah kadar inflasinya.  Inflasi ini adalah sesuatu istilah yang menjustifikasikan penjanaan lebihan wang kertas kerana sistem pinjaman perbankan mengenakan faedah ke atas peminjam.  Jadi inflasi ini menandakan kuantiti wang kertas yang dicetak.  Perhatikan sinario ini, tahun demi tahun kerajaan kita ketap dengan bakalan ringgit, sedangkan kerajaan Amerika terus mencetak wang kertasnya dengan kadar 10 peratus, maka mengikut puratanya kita dapati dolar Amerika akan hilang 10 peratus dibandingkan dengan Ringgit Malaysia setiap tahun.  Seterusnya dalam urusan perdagangan antarabangsa, negara kita akan mengalami kerugian kerana kita dibayar dengan matawang yang susut nilainya 10 peratus setiap tahun.  Oleh itu penetapan kadar pertukaran satu dolar Amerika bersamaan RM3.80 tidak memberi keadilan kepada komoditi negara kita.  Di sebaliknya jika dibiarkan wang kita diperdagangkan pula, matawang kita akan di spekulasi semula dan boleh mengulangi peristiwa tahun 1997-98. Cuba kita fikirlah sendiri!  Selama mana kita umat Islam mahu terus terikat dengan dolar Amerika yang sudah rosak perananya sebagai wang alat pertukaran. Umat Islam tidak lagi perlu terus berpaut kepada kayu yang kita tahu sedang dimakan anai-anai.

Alat pertukaran sebenar tidak boleh menandingi dinar emas dan dirham perak dan umat Islam mesti menyedari perkara ini.  Umat Islam mesti sedar akan kehancuran sistem kewangan barat akan tiba dan perlu membuat persediaan.  Sedikit demi sedikit kita mesti menukarkan wang kertas yang ada ini ke dalam bentuk emas atau lebih baik lagi dalam dinar emas, seberapa banyak dinar emas yang ada pula perlulah disalurkan untuk perdagangan qirad dan membanyakkan perdagangan dan perusahaan yang dijalankan tanpa memerlukan bantuan kewangan dari sistem kewangan kufar.  Dinar emas boleh diperolehi dari Islamic Mint Sdn. Bhd, IGDexchange.com, atau wakil pengedar dinar emas yang dikeluarkan oleh Royal Mint Sdn Bhd, Wakala Yayasan Melaka dan yang akan dibuka iaitu Wakala KPMNJ Johor Bahru.  Negara kita bertuah kerana menjadi negara utama dunia pengeluar dinar emas.  Walau siapa yang mengeluarkan dinar emas, nilai dinar emas tetap sama kerana ukurannya mengikut timbangan berat sebanyak 4.25gram emas 22 karat.

Umat Islam mesti mula menukarkan wang kertas mereka kepada dinar emas.  Kita tidak boleh lagi menunggu untuk membeli dinar emas mengharapkan harga emas akan turun.  Laporan pedagangan emas jelas menyatakan bahawa harga emas tidak lagi boleh turun dibawah US$400 per auns kerana jumlah wang kertas dolar Amereka yang dicetak terlalu banyak .  Umat Islam tidak perlu rungsing kerana kini mereka memegang sesuatu yang bernilai, bukan lagi wang kertas janji kosong. Dengan betambahnya dinar emas dikalangan umat Islam dan juga bukan Islam, akan tiba pada suatu hari nanti pelbagai perkhidmatan dibolehkan dibayar dalam dinar emas.  Akan sampai masanya mereka yang memiliki sesuatu yang berharga mengharapkan pertukaran dilakukan dengan sesuatu yang berharga juga, bukan wang kertas janji kosong.  Rakyat negara kita tidak kira bangsa dan agama pasti mahukan dinar emas ini.  Bagi umat Islam ianya penting kerana dinar emas sangat berkait rapat dengan ibadah. 

Kepentingan dinar emas ini jelas tercatat dalam buku yang ditulis oleh Ibn Khaldun yang bertajuk "Al-Muqaddimah" – menyatakan akan wahyu Allah s.w.t memasukkan dinar serta dirham dan ini telah membawa bersamanya banyak kaitan dalam hukum seperti zakat, perkahwinan dan hudud. Sebab itulah di dalam  wahyu Allah s.w.t. telah jelas menyatakan akan ukuran yang tetap mengenai zakat dan sebagainya dengan menggunakan dinar dan dirham tidak yang lain (sudah pasti tidak dolar Amerika!).  Jika kita lihat akan kitab Al-Muwatta pula, dalam bahagian perniagaan kita dapati dengan jelas pembayaran serta ukuran dalam dinar emas seperti bagaimana para sahabah menetapkan mengikut syariah bahawa emas diukur mengikut berat timbangan gandum, barli dan sebaginya.  Dinar emas perlu dalam menyempurnakan ibadah kita, ibadah zakat dan beberapa hukum hudud yang perlu diketahui umum.

Berdasarkan rekod ini, kita umat Islam mesti mengembalikan syariat Islam yang pernah dibuktikan kejayaannya oleh Rasulullah s.a.w, para sahabah dan seterusnya oleh komuniti Islam sehinggalah jatuhnya pemerintahan Khalifah Utmaniah dalam tahun 1924.  Kita mesti berusaha untuk mengembalikan dinar emas sebagai wang umat Islam dan menggantikan sistem kapitalis barat yang telah membawa lebih banyak kerosakan daripada kebaikan.  Sistem kapitalis barat telah menjadikan setiap anak yang dilahirkan di Nigeria berhutang kepada World Bank dan IMF sebanyak US$500 sebaik sahaja dia di lahirkan, iaitu hutang yang dibuat oleh bank pusat negara.  Penyakit yang sama akan di alami oleh Afghanistan, dan tidak lama lagi Iraq yang setelah mendapat sebuah pemerintah yang sah melalui sistem pemilihan demokrasi yang ditaja Amerika.  Pada mulanya kerajaan boneka Amerika akan dibentuk dengan tugas utama adalah membentuk bank pusat.  Bank ini melalui jaminan kerajaan yang dipilih rakyat akan membuat pinjaman bagi tujuan pembangunan negara.  Pinjaman dibuat dalam dolar Amerika dan ini menguatkan dolar tetapi kita tahu negara ini tidak mungkin akan dapat membayar kembali hutang bersama faedahnya.  Untuk terus membayar hutang kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi tajaan barat ini akan mengenakan cukai kepada rakyat mereka.  Untuk terus membuat justifikasi kepada rakyat, kerajaan akan membuat rancangan pembangunan dan terus meminjam dari bank IMF dan bank dunia.  Kesannya adalah negara tersebut akan membayar hutang negara dengan komoditi yang dibayar dalam wang kertas dolar dan rakyat turut membantu membayar kembali hutang dengan peluh mereka melalui cukai yang dikenakan.  Inilah sistem kapitalis barat yang sangat dimushi Islam dan kita umat Islam dan negara kita selaku ketua OIC mesti mengorak langkah memberi alternatif kepada umatnya dan juga pemerintah negara Islam yang lain untuk tidak terus bergantung kepada sistem kalitalis barat ini.  Sistem kapitalis telah berjaya melahirkan 500 individu yang menguasai separuh daripada kekayaan dunia yang tidak dikenali oleh sesiapa.  Mereka tidak pernah dipilih melalui sistem demokrasi tetapi mereka menguasai kekayaan dunia melalui sistem kapitalis yang mendokong sistem demokrasi, perbankan, insuran, perundangan dan industri utama yang lain.  Sebenarnya dunia sangat inginkan kepada sistem cadangan dan usaha supaya dinar emas digunakan bagi perdagangan antarabangsa yang lebih adil dan yang lebih mantap serta terbuka.  Keinginan ini sebenarnya boleh dilakukan dan diberikan oleh umat Islam jika kita berpegang  kepada ajaran Allah s.w.t. sepenuhnya.  Sistem ekonomi dolar Amerika perlu diganti dengan sistem ekonomi berteraskan dinar emas.  Ini boleh dilaksanakan kerana emas mempunyai nilai intrinsiknya tersendiri. Oleh itu, demi mengelakkan kebergantungan kepada dolar Amerika perlu diteruskan dengan gigihnya.  Umat Islam mesti memberi peluang untuk membebaskan kerugian dialami di mana-mana pihak disebabkan oleh perubahan nilai pertukaran perlu diteruskan.  Allah s.w.t akan memberi kemenangan kepada kita, Amin. 

No comments: