About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Wednesday, November 29, 2017


Dinar emas boleh jana ekonomi baru
Oleh Dr Zuhaimy Ismail

KUNCI kepada kejayaan pengenalan dan pelaksanaan dinar emas dan dirham perak (Islamic Gold Dinar - IGD) adalah dengan pembentukan ekonomi baru, kekayaan yang dijana daripada sistem baru yang diperluaskan hasil perkembangan dagangan.

Pengembangan IGD perlu dikaitkan dengan perdagangan dan berkait rapat dengan arahan perdagangan yang boleh berkembang dengannya dan kuasanya tidak terletak pada bank atau institusi kewangan yang akhirnya mengetepikannya.

Sebenarnya perdagangan Islam akan menjana ekonomi baru, suatu kekayaan baru hasil perkembangannya sendiri sama ada dalam kuantiti mahupun kualiti.

Oleh itu ekonomi IGD tidak akan bersaing dengan kekayaan ekonomi yang ada sekarang, tetapi akan menjana ekonomi yang baru.

Sistem pembayaran menggunakan emas dan perak yang diperkenalkan perlu ditawarkan kepada umat Islam dan masyarakat sebagai pilihan bukan sebagai sesuatu yang dipaksa melalui perundangan negara.

Sistem pembayaran berasaskan emas dan perak adalah sistem pembayaran berasaskan emas dan perak seperti DinarPal.com,  seharusnya dibangunkan mengikut dasar umum bagi mempromosi perdagangan Islam (dagangan tanpa riba) dan secara beransur-ansur mengambil tempat di dalam pasaran sebagai sesuatu yang praktikal suatu perkhidmatan kepada masyarakat dan penggunaannya tidak dikenakan sebarang tekanan undang-undang.

Sistem penggunaan dinar emas dan dirham perak akan dapat menghubungkan kembali di antara negara Islam melalui perdagangan. Umat Islam tahu dalam soal rezeki Allah swt menyatakan, sembilan daripada 10 bahagian adalah hasil daripada perdagangan.

Ini mudah untuk diterima oleh umat Islam. Kepentingan ini jelas kerana Rasulullah saw apabila saja tiba di Madinah, beliau membuka masjid dan pasar.

Kemudian diletakkan peraturan bagi pengendalian pasar di Madinah dengan memastikan pasar itu berfungsi mengikut beberapa peraturan atau perundangan.

Rasulullah menyatakan pasar itu ibarat masjid iaitu ia tidak dimiliki oleh sesiapa, ia suatu sedekah untuk masyarakat di situ.

Mengikut hukum syariah pula, kita tahu secara umumnya ia adalah sebahagian daripada wakaf yang diberikan masyarakat. Malah Saidina Umar ibn Al-Khattab ra tidak mengizinkan sesiapa meletakkan apa-apa tanda bagi menandakan tempat untuk berniaga.
 

Seorang peniaga memasang khemahnya di pasar tetapi ini dirobohkan Saidina Umar yang menghalau peniaga itu keluar dari pasar. Ini kerana pasar Islam adalah pasar bebas dan terbuka, ini dilindungi dan dilakukan bagi melindungi peniaga miskin.

Inilah keistimewaan pasar Islam yang tidak dimiliki oleh sesiapa, tidak seperti pasar raya dan rangkaian pasar raya besar yang wujud hari ini dimiliki seseorang atau sebuah syarikat.

Perniagaan di dalam pasar ini ditentukan oleh mereka saja dan permit hanya diberikan kepada peniaga mengikut selera mereka. Seorang pengusaha ingin memasarkan barang keluarannya di salah satu pasar raya, mestilah memasarkan barangannya menggunakan jenama pasar raya berkenaan dan pembayaran sering dilewatkan.

Lambat laun peniaga dan pengusaha kecil ini akan akur dengan pasar raya besar ini atau terus tumpas dan terkeluar daripada bidang yang diusahakan. Bagaimanakah perkara ini dibenarkan, iaitu hanya segelintir atau sekumpulan kecil menguasai dan mempunyai keistimewaan daripada peniaga runcit?

Semua ini boleh diganti dengan pasar Islam dan hanya pasar Islam boleh bersaing dengan perniagaan seperti ini bukan kedai runcit yang berada di sekitar bandar yang bilangannya makin hari makin berkurangan.

Ibnu Khaldun pernah menyatakan bahawa zaman kegemilangan akan diikuti oleh zaman kemunduran dan untuk mengetahui zaman mana kita berada, pergilah ke pasar.

Jika pasar itu terbuka kepada semua orang, ia berada di zaman kegemilangan dan jika pasar itu dimiliki oleh beberapa keluarga maka zaman itu adalah zaman kemunduran. Pasar seharusnya berkembang dan tidak harus kekal dengan saiz yang sama.

Pasar Islam adalah pasar terbuka. Yang dimaksudkan terbuka ini bukanlah pasar yang tidak berbumbung. Ia boleh berada di dalam kompleks lima tingkat.

Terbuka di sini adalah membenarkan perdagangan dilakukan secara bebas dan terbuka kepada sesiapa saja yang ingin berdagang di situ.

Ini akan membawa kepada apa yang dikatakan kabilah atau sistem edaran terbuka dan tidak dimonopoli oleh seseorang atau sesebuah syarikat saja.

Pedagang akan bergerak dengan sistem edarannya dengan menggunakan pesawat, kereta api atau kapal laut. Pedagang dengan barangan mereka memerlukan tempat untuk berdagang dan perlu ada tempat yang hendak dituju.

Pedagang akan pergi dari satu pasar ke satu pasar untuk berdagang. Sekarang ini semua ini sudah tidak ada lagi. Pedagang Islam kita sekarang ini dibiarkan berniaga di tepi jalan iaitu di pasar malam, pekan Sabtu atau pasar Ahad.

Patutkah perkara ini berlaku kepada pedagang kita di bumi kita sendiri? Patutlah kita terus biarkan perkara ini? Mereka inilah yang membawa kekayaan dan kemudahan kepada masyarakat setempat dan kita biarkan mereka berdagang di tepi jalan?

Kadang-kadang kita perlu tanya, di manakah maruah kita? Sedangkan Saidina Umar berkata pedagang adalah tetamunya dan umat Islam meletakkan mereka di ‘istana-istana’, dan pengamal riba dicampakkan ke tepi jalan dan dihalau keluar daripada bandar.

Apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Apakah zaman ini boleh dikatakan zaman kegemilangan? Allah menghalalkan perdagangan tetapi mengharamkan riba.

Sebenarnya sudah sampai masanya untuk umat Islam khasnya dan dunia Islam amnya mencari alternatif kepada sistem mata wang kertas dan digantikan dengan mata wang yang stabil.

Jalan yang harus diambil adalah melalui wang dinar emas dan dirham perak dan seterusnya membangunkan ekonomi sebenar di rantau ini. Ekonomi sebenar adalah ekonomi tanpa riba.

Ekonomi yang dimaksudkan adalah ekonomi masyarakat yang menghasilkan barangan dan berdagang dengan usaha tenaganya memberi dan menyumbang kepada kekayaan masyarakat.

Ekonomi sebenar mewakili kekayaan yang dijana oleh manusia sebenar berdagang dan menghasilkan barangan dan memberi perkhidmatan, menjualnya di pasar bebas dengan menggunakan mata wang sebenar (masa hadapan seharusnya menggunakan emas dan perak sebagai alat tukar).

Selain pelaksanaan dinar emas, masyarakat Islam juga harus memikirkan akan sistem kepemimpinan, sistem pendidikan umat Islam supaya gagasan pengenalan dinar emas dan dirham perak tidak terkubur sebelum ia sempat bernafas dan membuahkan hasilnya.


©New Straits Times (M) Berhad

No comments: