ANTARA ILMU, ADAB DAN JALAN SUFI
Pengenalan: Sebuah Perjalanan yang Mengubah Kehidupan
Sudah sekian lama saya menangguhkan hasrat untuk menulis kisah perjalanan hidup ketika merantau ke England bagi menuntut ilmu. Apabila menoleh kembali kepada pengalaman itu, saya menyedari bahawa perjalanan tersebut bukan sekadar usaha mendapatkan kelayakan akademik. Ia merupakan titik penting yang membentuk pemikiran, pegangan agama dan arah kehidupan saya sehingga hari ini.
Ada perjalanan yang dirancang oleh manusia, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke arah yang tidak pernah dibayangkan. Perjalanan saya ke England bermula dengan satu pilihan: sama ada mengikuti laluan pengajian yang tersedia di tanah air atau merantau ke sebuah negara asing untuk mendalami ilmu.
Selepas keputusan peperiksaan MCE diumumkan pada tahun 1977, saya menerima dua tawaran. Pertama, melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kedua, mengikuti pengajian Matematik di Norwich City College, England, di bawah tajaan biasiswa Kementerian Pelajaran.
Laluan ke UTM kelihatan lebih jelas dan dekat dengan keluarga. Sebaliknya, memilih Norwich bermakna saya perlu meninggalkan tanah air, menyesuaikan diri dengan budaya yang asing dan memenuhi amanah pengajian yang diberikan oleh kerajaan.
Walaupun memperoleh keputusan yang baik dalam Matematik, saya tetap berasa bimbang sama ada mampu mengikuti pengajian pada peringkat yang lebih tinggi. Dalam kebimbangan itu, saya menunaikan solat istikharah dan memohon petunjuk daripada Allah SWT.
Saya masih mengingati doa yang saya panjatkan:
“Ya Allah, jika ada kebaikan yang lebih besar di luar Malaysia, maka gerakkanlah hati ini untuk pergi ke England.”
Selepas itu, hati saya menjadi lebih tenang. Saya akhirnya memilih Norwich, dengan keyakinan bahawa keputusan tersebut merupakan sebahagian daripada ikhtiar saya mencari jalan yang terbaik.
Keputusan itu mendapat sokongan keluarga dan guru-guru di Sekolah Menengah Sains Pahang (SMSP), khususnya pengetua yang amat saya kasihi, Ayahanda Dato’ Haji Abd Rahim Hamid. Daripada kalangan pelajar SMSP pada waktu itu, tujuh orang, termasuk saya, mendapat peluang melanjutkan pengajian ke England.
Bagi keluarga saya di Kuala Tembeling, pemergian itu merupakan suatu kebanggaan. Sebelum saya berangkat, keluarga mengadakan majlis doa selamat yang dihadiri sanak saudara, jiran tetangga, penghulu dan tok imam. Saya masih dapat membayangkan wajah gembira arwah emak dan ayah pada malam tersebut.
Saya merupakan anak kedua dalam keluarga yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Abang saya terlebih dahulu ke Amerika, manakala saya menyusul ke England. Apabila dikenang kembali, saya melihat peluang itu sebagai suatu rezeki dan amanah daripada Allah SWT.
Namun, sebelum meninggalkan tanah air, ada satu amanah yang perlu saya bawa bersama: nasihat ayah.
Nasihat Ayah: Amanah Sebelum Berangkat
Ayah merupakan antara guru terawal dalam kehidupan saya. Beliau bukan sahaja mendidik saya melalui kata-kata, tetapi juga melalui kehidupan dan khidmatnya kepada masyarakat.
Ayah dilahirkan di Kampung Doja, sebuah desa kecil di seberang Sungai Pahang. Selepas datuk saya, Imam Hassan yang dikenali sebagai Aki, meninggal dunia, kehidupan keluarga diteruskan dalam keadaan sederhana.
Nenek saya, Wan Aminah, mempunyai keyakinan bahawa ilmu agama merupakan bekalan penting bagi kehidupan anaknya. Atas pengorbanannya, ayah dihantar ke Kelantan untuk menuntut ilmu bersama ulama yang masyhur ketika itu, Tok Kenali. Ayah kemudian meneruskan pengajian dengan beberapa orang murid Tok Kenali yang lain.
Daripada pengajian tersebut, ayah mendalami ilmu agama, termasuk fekah, fardu ain, fardu kifayah dan asas tasawuf. Sekembalinya ke Pahang, beliau mengamalkan ilmu yang dipelajari dengan menjadi guru mengaji, imam dan wali hakim. Ilmu baginya bukan sekadar untuk dimiliki, tetapi perlu disampaikan dan dimanfaatkan oleh masyarakat.
Latar belakang inilah yang menjadikan nasihat ayah sebelum saya berangkat ke England begitu bermakna.
Beberapa kali ayah mengingatkan bahawa usianya semakin lanjut. Saya masih teringat kata-katanya:
“Nak, ayah dah tua… entahlah dapat berjumpa lagi ke tidak.”
Ayah sering mengingatkan saya tentang kematian dan kepentingan agama. Ketika kami duduk bersama di serambi rumah, beliau akan bercerita tentang Rasulullah SAW, agama dan sifat-sifat Allah.
Pada suatu petang, ketika kami menikmati pisang goreng yang dihidangkan oleh emak, ayah menyampaikan pesanan yang tidak pernah saya lupakan:
“Anak, kerajaan telah amanahkan kamu untuk belajar di England. Jangan sesekali cuai atau pecah amanah itu. Banyak duit kerajaan dibelanjakan untuk kamu. Sepanjang lima tahun nanti, jangan mungkir janji.”
Beliau kemudian berpesan supaya saya menjaga agama ketika berada di negara asing.
“Di sana nanti, itu negeri orang kafir. Jaga agama. Jangan tinggal solat. Dan ingat, jangan sesekali kamu terjebak dalam perkara yang memalukan.”
Pesanan itu disampaikan dengan bahasa seorang ayah yang sederhana, tetapi maksudnya amat mendalam. Ayah mahu saya memahami bahawa kejayaan akademik tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab agama dan akhlak.
Kini, setelah bertahun-tahun berlalu, saya semakin memahami bahawa pesanan ayah bukan sekadar peringatan kepada seorang anak yang hendak merantau. Ia merupakan prinsip kehidupan: di mana pun kita berada, amanah perlu ditunaikan dan hubungan dengan Allah mesti dipelihara.
Dengan bekalan nasihat itulah saya meninggalkan Kuala Tembeling menuju England.
Norwich: Permulaan Sebuah Madrasah Kehidupan
Norwich ialah sebuah bandar di timur England yang amat berbeza daripada persekitaran tempat saya dibesarkan. Bagi seorang anak kampung dari Kuala Tembeling, kehidupan di sana membuka pengalaman baharu. Bahasa, budaya, makanan dan cara pembelajaran semuanya menuntut penyesuaian.
Saya datang bersama sekumpulan pelajar Malaysia yang berjumlah 17 orang, lelaki dan perempuan. Pelajar-pelajar senior banyak membantu kami menguruskan tempat tinggal dan pendaftaran di Norwich City College. Alhamdulillah, urusan awal berjalan dengan baik.
Tujuan utama saya ketika itu adalah untuk mendalami Matematik dan Statistik. Saya mahu belajar bersungguh-sungguh, menunaikan amanah biasiswa dan kembali berkhidmat sebagaimana yang diharapkan oleh pihak penaja.
Namun, saya tidak menyangka bahawa Norwich akan memberikan pengalaman yang jauh lebih besar daripada pengajian akademik.
Di bilik kuliah, saya belajar berfikir secara tersusun, memahami teori dan menganalisis masalah. Di luar bilik kuliah, saya mula mengenali dimensi kehidupan yang lain: adab, persaudaraan, khidmat, zikir dan usaha mendekatkan diri kepada Allah.
Sedikit demi sedikit, saya menyedari bahawa pendidikan bukan hanya berlaku di institusi pengajian. Kehidupan itu sendiri boleh menjadi sebuah madrasah, sekiranya kita bersedia belajar daripada manusia, pengalaman dan keadaan di sekeliling kita.
Pertemuan dengan Shaykh Abdalqadir as-Sufi
Antara peristiwa paling penting dalam perjalanan hidup saya ialah pertemuan dengan Shaykh Abdalqadir as-Sufi (SAQ), yang kemudiannya menjadi tokoh penting dalam perkembangan kerohanian saya.
Pertemuan awal kami berlaku di Norwich. Selepas solat Zuhur di masjid, saya berpeluang mendekati beliau dan kemudian bersama-sama menikmati hidangan tengah hari. Daripada pertemuan yang sederhana itu, bermulalah hubungan yang memberi kesan besar kepada kehidupan saya.
Saya tertarik kepada cara beliau berbicara tentang Islam dan kehidupan. Beliau tidak hanya mengajak seseorang memahami agama melalui pengetahuan, tetapi menekankan kepentingan menghayatinya dalam kehidupan seharian.
Antara nasihat beliau yang paling saya ingat ialah supaya saya terus mendampingi dan mengambil manfaat daripada kebersamaan dengan para fuqara. Bagi saya, nasihat ini membuka pemahaman bahawa perjalanan kerohanian tidak cukup dengan membaca atau mendengar. Seseorang perlu belajar melalui adab, pergaulan dan amalan.
Hubungan saya dengan SAQ berkembang daripada pertemuan awal itu. Saya melihat beliau sebagai guru agama dan seorang bapa dari sudut bimbingan kerohanian. Beliau juga menekankan kepentingan kecemerlangan akademik. Pengajian bukan sesuatu yang boleh diabaikan atas alasan agama. Sebaliknya, ilmu yang dipelajari hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan dianggap sebagai amanah.
Beliau mengambil berat tentang perkembangan pengajian saya dan mengingatkan bahawa kesungguhan menuntut ilmu juga merupakan sebahagian daripada ibadah.
Pengalaman ini membantu saya memahami bahawa jalan kerohanian tidak seharusnya menjauhkan seseorang daripada tanggungjawab kehidupan. Sebaliknya, ia perlu membentuk manusia yang lebih berdisiplin, berilmu dan amanah.
Komuniti Muslim: Belajar Melalui Kebersamaan
Kehidupan bersama komuniti Muslim di Norwich turut memberikan pengaruh yang besar kepada saya. Masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, tetapi menjadi pusat pertemuan, pengajian, zikir dan khidmat masyarakat.
Saya melihat orang daripada pelbagai bangsa dan latar belakang berkumpul sebagai saudara. Perbezaan asal usul tidak menghalang mereka daripada membina hubungan yang berasaskan iman dan tanggungjawab bersama.
Saya semakin kerap mendampingi para fuqara dan berusaha menghadiri majlis zikir. Melalui kebersamaan itu, saya belajar bahawa persaudaraan bukan sekadar hubungan mesra antara individu. Ia turut menuntut kesediaan untuk mengurangkan kepentingan diri, membantu orang lain dan memperbaiki akhlak.
Saya juga mula memahami bahawa adab merupakan asas penting dalam perjalanan menuntut ilmu. Seseorang boleh menguasai banyak pengetahuan, tetapi ilmu itu belum tentu memberi manfaat jika tidak disertai kerendahan hati, amanah dan kesediaan menerima teguran.
Pengalaman di Norwich mengajar saya menghormati guru, menghargai sahabat, menjaga percakapan dan melihat ilmu sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kebaikan.
Saya belajar bahawa ilmu bukan sekadar untuk memenuhi fikiran, tetapi juga untuk mendidik hati dan memperbaiki hubungan sesama manusia.
Zikir dan Jalan Tasawuf
Di Norwich, saya mula mendekati jalan tasawuf melalui majlis zikir, pergaulan dengan para fuqara dan bimbingan Shaykh Abdalqadir as-Sufi.
Saya berusaha menghadiri majlis zikir apabila berpeluang. Pengalaman tersebut membantu saya memahami bahawa zikir bukan sekadar menyebut nama Allah dengan lidah. Ia juga merupakan usaha mendidik hati supaya sentiasa mengingati-Nya dan menyedari tanggungjawab sebagai seorang hamba.
Melalui bimbingan yang diterima, saya semakin memahami kepentingan membersihkan diri daripada sifat-sifat tercela, melawan hawa nafsu dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta sesama manusia.
Tasawuf yang saya kenali melalui pengalaman itu bukanlah jalan untuk melarikan diri daripada kehidupan dunia. Sebaliknya, ia mengajar saya menghadapi kehidupan dengan kesedaran rohani yang lebih mendalam.
Saya juga menerima bimbingan berkaitan amalan Tariqah Shadhiliyyah Darqawiyyah. Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan kerohanian yang berterusan dalam kehidupan saya.
Pada waktu itu, saya belum mengetahui sejauh mana pengalaman di Norwich akan mempengaruhi kehidupan pada masa hadapan. Saya hanya menjalani apa yang dipelajari, sedikit demi sedikit. Namun, apabila direnungkan kembali, saya melihat tempoh tersebut sebagai permulaan kepada usaha mengenal kelemahan diri, memperbaiki akhlak dan memahami makna pengabdian kepada Allah.
Ilmu, Muamalah dan Tanggungjawab terhadap Masyarakat
Satu lagi kesedaran yang mula berkembang dalam diri saya ketika berada di England ialah hubungan antara agama dengan kehidupan masyarakat.
Melalui pengajian dan perbincangan bersama Shaykh, saya mula memberi perhatian kepada persoalan muamalah, riba, wang, ekonomi dan keadilan sosial. Saya semakin memahami bahawa Islam bukan hanya berkaitan dengan ibadah individu, tetapi turut memberikan panduan tentang cara manusia berurus niaga, mengurus harta dan membina kehidupan bermasyarakat.
Kesedaran ini kemudiannya mempengaruhi perjalanan akademik dan penyelidikan saya di Malaysia, khususnya dalam bidang kewangan Islam dan kajian tentang peranan dinar serta dirham.
Buku Kembalinya Dinar Emas: Menepati Keperluan Zaman yang saya hasilkan pada kemudian hari merupakan antara usaha untuk mengembangkan pemikiran tersebut. Minat terhadap persoalan kewangan dan muamalah Islam tidak terbentuk dalam sehari. Ia berkembang melalui pembacaan, perbincangan, penyelidikan dan pengalaman sepanjang perjalanan hidup.
Saya melihat pengalaman di England sebagai salah satu titik awal yang mendorong saya meneliti hubungan antara ilmu akademik, prinsip agama dan keperluan masyarakat.
Dalam bidang Matematik dan Statistik, saya dilatih berfikir secara analitik, menilai bukti dan mencari penyelesaian berdasarkan kaedah yang tersusun. Penghayatan agama pula mengingatkan saya bahawa ilmu perlu digunakan dengan tujuan yang betul.
Kedua-duanya memberikan sumbangan yang berbeza tetapi saling melengkapi: ilmu membantu kita memahami masalah, manakala nilai dan tanggungjawab menentukan bagaimana ilmu itu patut dimanfaatkan.
Menghadapi Cabaran di Negara Asing
Kehidupan di negara asing turut mengajar saya tentang kepentingan istiqamah. Berada jauh daripada keluarga bermakna saya perlu belajar mengurus kehidupan sendiri dan membuat keputusan dengan lebih matang.
Persekitaran baharu memberikan kebebasan dan peluang yang berbeza daripada kehidupan di tanah air. Dalam keadaan demikian, pesanan ayah supaya menjaga agama dan menunaikan amanah sentiasa menjadi peringatan.
Saya menyedari bahawa menjaga agama tidak boleh bergantung semata-mata pada suasana tempat kita dibesarkan. Seseorang perlu membina kesedaran dan disiplin dalam dirinya sendiri. Sahabat yang baik, komuniti Muslim dan majlis ilmu membantu menguatkan usaha tersebut.
Daripada pengalaman itu, saya belajar bahawa istiqamah bukan bermakna seseorang tidak pernah menghadapi cabaran. Istiqamah bererti terus berusaha memilih jalan yang benar walaupun terdapat pelbagai tarikan dan pilihan lain.
Pengalaman ini juga mengajar saya supaya tidak memisahkan tanggungjawab sebagai pelajar daripada tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Saya perlu bersungguh-sungguh dalam pengajian, menjaga hubungan dengan Allah dan menghormati amanah yang telah diberikan kepada saya.
Kepulangan: Membawa Pulang Lebih daripada Segulung Ijazah
Apabila tiba waktunya untuk meninggalkan England dan meneruskan perjalanan hidup, saya membawa pulang lebih daripada ilmu yang dipelajari di institusi pengajian.
Saya membawa pengalaman tentang kehidupan dalam komuniti Muslim, persahabatan, adab, zikir dan khidmat. Saya juga membawa pemahaman yang semakin berkembang tentang hubungan antara ilmu dengan iman.
Benih yang mula tumbuh di Norwich tidak terhenti apabila saya kembali ke Malaysia. Sebaliknya, pengalaman itu terus mempengaruhi cara saya melihat dunia akademik, kehidupan agama dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Dalam kerjaya akademik, saya berusaha mengembangkan ilmu Matematik dan Statistik serta menggunakannya untuk memahami dan menyelesaikan masalah. Dalam kehidupan kerohanian, saya terus berusaha mendalami jalan yang telah saya kenali. Dalam khidmat masyarakat, saya semakin memahami bahawa ilmu perlu dikongsikan agar manfaatnya tidak terhenti pada diri sendiri.
Perjalanan seterusnya membawa saya kepada pelbagai usaha dalam penyelidikan, kewangan Islam, pertanian, pendidikan dan pembangunan masyarakat. Walaupun usaha-usaha itu berbeza dari segi bentuk dan bidang, saya melihat satu benang merah yang menghubungkannya: keinginan untuk menjadikan ilmu sebagai jalan berkhidmat.
Apabila direnungkan kembali, saya menyedari bahawa kita tidak semestinya dapat memahami makna sesuatu pengalaman ketika sedang melaluinya. Ada perkara yang hanya menjadi jelas setelah bertahun-tahun berlalu.
Norwich merupakan salah satu titik penting dalam perjalanan tersebut. Saya berangkat untuk menuntut ilmu, tetapi pengalaman di sana turut membentuk cara saya memahami diri, agama dan tanggungjawab kehidupan.
Penutup: Perjalanan Mengenal Diri dan Mengenal Allah
Hari ini, apabila mengenang kembali Norwich, saya teringat kepada seorang anak kampung dari Kuala Tembeling yang meninggalkan tanah air dengan harapan untuk memperoleh pendidikan yang baik.
Saya teringat kepada kegembiraan keluarga, pesanan ayah supaya menjaga agama dan amanah, serta cabaran menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara asing. Lebih daripada itu, saya mengenang pertemuan dengan Shaykh Abdalqadir as-Sufi dan pengalaman bersama komuniti Muslim yang membuka dimensi baharu dalam kehidupan saya.
Norwich bukan sekadar tempat saya belajar Matematik dan Statistik. Ia menjadi madrasah kehidupan yang mengajar saya bahawa ilmu perlu disertai adab, zikir perlu membantu memperbaiki diri, dan persaudaraan perlu diterjemahkan melalui khidmat.
Saya juga semakin memahami bahawa perjalanan mengenal diri bukan sekadar mengenali kebolehan dan kelemahan sendiri. Ia menuntut kejujuran untuk melihat kekurangan, kesediaan memperbaiki akhlak dan kesedaran bahawa manusia sentiasa memerlukan petunjuk Allah SWT.
Semakin seseorang mengenali keterbatasan dirinya, semakin dia perlu merendahkan hati dan menyedari kebergantungannya kepada Allah. Dalam pengertian inilah perjalanan menuntut ilmu boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan mengenal diri dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Ketika mula berangkat ke England, saya tidak mengetahui ke mana pengalaman itu akan membawa saya. Saya hanya berusaha menunaikan amanah dan mencari ilmu sebaik mungkin. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah.
Setelah sekian lama, saya melihat kembali perjalanan itu dengan penuh kesyukuran. Bukan kerana setiap langkahnya mudah atau saya memahami segala hikmahnya, tetapi kerana pengalaman tersebut telah membuka ruang untuk saya belajar, berubah dan terus memperbaiki diri.
Norwich hanyalah sebuah bandar di timur England. Namun, apa yang saya pelajari dan alami di sana menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang berpanjangan.
Saya masih meneruskan perjalanan itu hingga hari ini. Usaha mengenal diri, memperbaiki akhlak, menuntut ilmu dan berkhidmat kepada manusia tidak berakhir dengan tamatnya pengajian atau persaraan daripada kerjaya.
Barangkali itulah makna sebenar sebuah perjalanan: bukan sekadar sampai ke destinasi yang dituju, tetapi mengambil pengajaran daripada setiap langkah yang dilalui.
Dan apabila kita menoleh kembali dengan hati yang bersyukur, kita akan melihat bahawa pengalaman yang dahulu kelihatan biasa mungkin sebenarnya telah mengubah arah kehidupan kita.
Bagi saya, Norwich ialah salah satu pengalaman tersebut—sebuah perjalanan yang bermula dengan pencarian ilmu, berkembang melalui adab dan kebersamaan, lalu menjadi sebahagian daripada jalan panjang untuk mengenal diri dan mengabdikan kehidupan kepada Allah SWT.

No comments:
Post a Comment