About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Tuesday, April 2, 2013

Mengenali Wang atau Duit



Rencana dan Pendapat – Akhbar Sinar Harian

Saya berpengalaman meminta pelajar di Universiti Teknologi Malaysia yang mengikuti kursus “havard business school case study” untuk memberikan takrifan wang.  Tujuan saya hanyalah untuk mengetahui sejauh mana pelajar kita mengerti apa yang dikatakan wang.  Adakah anda sendiri dengan yakin dapat memberikan takrifan wang.  Cuba renungkan seketika sebelum terus membaca artikel ini. 

Pelbagai jawapan yang diterima daripada peserta kursus tetapi semuanya tidak menepati takrifan wang.  Ramai yang terkejut dengan soalan yang dikemukakan dan ramai yang merasakan mereka patut tahu tentang wang tetapi mereka terima hakikat bahawa mereka tidak tahu atau tidak jelas apa itu wang.  Mereka sedar bahawa mereka selama ini tidak ambil peduli tentang takrifan wang dan hanya ‘take for granted’ sahaja dalam bahasa Inggeris.  Mereka tidak ambil peduli kerana merasakan itu adalah pengetahuan umum yang jelas.  Malangnya apa sebenarnya wang itu begitu ramai yang tidak jelas.  

Duit adalah sesuatu barang yang digunakan untuk mendapatkan barang yang diinginkan.  Umpamanya kita mahu beras yang tidak kita usaha sendiri maka duit digunakan dan begitu juga duit digunakan untuk membayar upah membersih kereta.  Oleh itu, duit itu adalah sesuatu yang digunakan sebagai alat tukar.  Sejarah menunjukkan bahawa manusia telah menggunakan pelbagai jenis barang sebagai duit seperti kulit kerang, garam, rempah, timah, emas dan sebagainya.  Berbagai jenis barang yang berguna dan bernilai boleh dijadikan alat pertukaran.   

Mengikut hukum Islam, tidak ada barang yang boleh dipaksa sebagai satu-satunya barang niaga yang boleh digunakan sebagai wang.  Imam Malik mentakrifkan wang sebagai “apa sahaja barang yang diterima pakai secara umum sebagai alat pertukaran’.  Ini bermakna bahawa manusia itu bebas untuk memilih apa sahaja barang niaga sebagai alat pertukaran.  Sejarah menunjukkan bahawa jika manusia diberi kebebasan untuk memilih, mereka akan memilih emas dan perak sebagai wang.   

Di seluruh dunia kini menggunakan duit kertas yang tidak ada nilai sebagai barang niaga.  Nilai yang ada pada kertas itu hanyalah ‘nilai paksa’ atau ‘hutang janji’ melalui undang-undang yang ditetapkan oleh sesebuah negara. Walaupun sekeping kertas itu disandarkan kepada kekayaan sebenar seperti emas dan perak, kertas tersebut tidak boleh digunakan sebagai matawang kerana  mengikut hukum Islam, hutang tidak boleh digunakan sebagai alat pertukaran.  Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta, no 44 ada menyatakan, “ Yahya meriwayatkan daripada Malik bahawa dia ada mendengar bahawa resit telah diberikan kepada orang pada zaman Marwan ibn al-Hakam untuk mendapatkan barang daripada pasar di al-Jar.   

Orang membeli dan menjual resit dikalangan mereka sebelum mengambil barang yang dibeli atau dijual.  Zayd ibn Thabit dan seorang sahabat Rasulullah s.a.w. pergi menemui Marwan ibn al-Hakam dan berkata,”Marwan! Adakah kamu menghalalkan riba?  Dia berkata, Aku memohon perlindungan Allah! Apa ini?, Dia berkata,”Resit ini [sukuukun] yang orang gunakan untuk jual beli sebelum menerima barangan”.  Marwan telah menghantar pengawalnya untuk mengikuti mereka dan mengambil semua resit yang diedarkan dan mengembalikan resit tersebut kepada tuan masing-masing.”

Wang kertas sekarang ini adalah resit, wang janji.  Wang kertas sekarang ini adalah hasil daripada proses perubahan daripada emas kepada kertas yang mewakili emas, kepada kertas yang diberi nilai oleh sesebuah negara yang disandarkan kepada emas sehinggalah kepada keadaan sekarang ini di mana wang tidak lagi disandarkan kepada apa-apa selain janji yang diberikan oleh sesebuah pemerintah.  Malah sekarang ini wang bukan lagi kertas tetapi unit pada skrin komputer. 

Ciptaan wang kertas bukan dari rekaan dan sumbangan umat Islam atau datang daripada umat Islam.  Wang ini diperkenalkan kepada umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia Islam melalui penaklukan bumi umat Islam dan tekanan intelektual oleh orang-orang kafir. 

Proses ini dilakukan dengan bantuan golongan munafikun dan pengkhianat di kalangan umat Islam.  Mereka ini ada di zaman dahulu dan ada juga di zaman kita sekarang dan mereka yang mengkhianati umat Islam ini insyallah akan menerima seksaan jauh lebih teruk daripada orang kafir. Mari kita lihat peranan wang dan sistem kewangan yang ada sekarang. 

Allah s.w.t memberi peringatan dalam ayat, “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai kalbu atau menggunakan pendengarannya sedang dia menyaksikannya”, Surah Al-Qaaf ayat 37.  Nilai wang kertas bukan ditentukan oleh sesebuah kerajaan tetapi ‘kuasa’ pasaran. 

Turun naik nilai sesuatu matawang kertas adalah hasil perdagangan matawang yang dilarang dalam agama kita.  Cuba renungkan dan sama-sama berfikir dan bertanya adakah umat Islam terus mahu mengekalkan wang yang tidak mempunyai nilai intrinsik ini. 

Rasanya sudah sampai masa umat Islam mengambil apa yang pernah di amalkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabah iaitu emas dan perak. Banyak negara yang diberikan kemerdekaan tetapi mereka tidak dapat menentukan nilai matawang negara masing-masing!

Dalam penghidupan bermasyarakat, sudah pasti kita perlukan pertukaran barangan atau perkhidmatan dan wang merupakan alat yang digunakan sebagai agen pertukaran tersebut. 

Wang digunakan bagi membolehkan masyarakat mendapat manfaat daripada pembahagian buruh dan kepakaran dalam pengeluaran.  Kita tahu bahawa manusia tidak sama dari segi kebolehan, kepakaran, harta dan kekuatan.  Manusia akan berjaya dalam hidupnya dengan menumpukan kepada kekuatan yang ada padanya.

Pertukaran kebolehan seseorang dengan hasil pertanian misalnya.  Melalui pertukaran begini, masyarakat berkembang dan dapat menikmati penghidupan yang lebih sempurna.  Aktiviti ini adalah asas ekonomi masyarakat dan pembangunan sosial.

Oleh itu pertukaran hasil pengeluaran dan kebolehan seseorang amat diperlukan. Secara prinsipnya, kebaikan dalam pengeluaran barangan tertentu boleh dimanfaatkan dengan membuat pertukaran barangan secara langsung. 

Proses pertukaran barangan ini dikenali sebagai  “barter trade” tetapi kaedah ini mempunyai banyak kelemahannya.  Sekiranya barang dan perkhidmatan tidak ditukarkan dan dijual untuk wang, ianya perlu ditukarkan dengan barang yang lain.  Jika seseorang itu ingin memanfaatkan kebolehan istimewanya, katalah mengeluarkan jagung, maka beliau perlu mencari seseorang supaya dia boleh membuat pertukaran (barter) pengeluaran jagung berlebihan dengan barang keperluan harian seperti barangan bangunan, baju, daging dan sayuran. 

Oleh itu, jika seseorang itu memerlukan sesuatu barang untuk dirinya, beliau perlulah terlebih dahulu mencari seseorang yang mempunyai barangan tersebut dan orang itu bersedia untuk barangan tersebut ditukar dengan jagung yang dimilikinya.  Kedua-dua pula perlulah bersetuju dengan kuantiti dan kualiti barang yang ditukar. 

Ini menjadikan pertemuan di antara dua individu yang mempunyai barangan yang berlainan dan saling memerlukan untuk pertukaran dan pada waktu yang sama bersetuju dangan kuantiti pertukaran amatlah kecil kebarangkaliannya.  Sebab itulah wang sangat diperlukan. 

Sejarah awal wang mendapati masyarakat menggunakan berbagai-bagai komoditi sebagai wang.  Di zaman moden rokok juga pernah digunakan sebagai alat pertukaran bagi perkhidmatan dalam penjara di kalangan banduan. 

Logam bernilai (precious metal) sentiasa mendapat perhatian umum sebagai alat pertukaran terbaik dan mengambil bentuk wang dan dengan ini terbentuklah wang syiling.  Syiling negeri Cina ditemui digunakan lebih daripada 2.5 ribu tahun, perak dijadikan wang syiling di Dunia Hellenic pada kurun ke-8 sebelum Masehi.  Malah wang syiling digunakan secara meluas di Britain sebelum datangnya orang-orang Roman.

Seperti mana yang dikatakan di atas dan sejarah menunjukkan bahawa manusia telah mencuba atau menggunakan berbagai-bagai benda untuk dijadikan alat pertukaran atau agen pertukaran. 

Kalau tidak ada kuasa luar yang menentukan dan memaksakan sesuatu itu menjadi wang, manusia akan memilih benda yang mempunyai nilai intrinsik. 

Nilai intrinsik bermaksud bahawa benda itu bukan sahaja mempunyai nilai sebagai barang tukaran tetapi mempunyai nilainya tersendiri, suatu komoditi yang diperlukan (seperti makanan, peralatan). 

Ianya boleh digunakan bagi mendapatkan barangan lain dan memenuhi keperluan psikologi sebagai contoh logam emas, perak dan kupram.  Barangan yang mempunyai nilai intrinsik boleh dikatakan sebagai barangan yang sukar diperoleh atau tidak terlalu banyak dan tidak cukup untuk memenuhi permintaan. 

Untuk mendapatkan sesuatu barang tersebut, memerlukan perbelanjaan yang agak besar atau dengan darjah kesukaran yang agak tinggi.  Logam berharga mempunyai ciri yang dikatakan.  Barang yang kita boleh diperoleh dengan mudah seperti pasir, air bagi masyarakat yang tinggal di tepi sungai atau tasik tidak akan dapat memberikan ‘nilai’ ekonomi.  Jika diteliti, kita boleh buat beberapa kesimpulan mengenai sifat-sifat barang yang boleh dijadikan alat pertukaran seperti bersifat ketahanan, bekalan stabil, keseragaman, bolehbahagi dan mudahalih

Sifat tahan lasak pada sesuatu benda itu merupakan sifat utama untuk barang itu boleh dijadikan matawang yang digunakan untuk menyimpan nilai.  Oleh kerana terdapatnya selang masa di antara sesuatu pendapatan dengan perbelanjaan, tidak ada pedagang atau pengusaha sanggup untuk menyimpan sesuatu yang akan susut asetnya dalam masa pegangannya.  

Oleh itu makanan yang mudah reput adalah contoh benda yang tidak tahan disimpan, dan nilainya akan berkurangan setiap hari.  Logam seperti emas dan perak adalah logam yang sesuai sekali digunakan kerana nilai dan kuantitinya tidak susut sedikitpun. 

Oleh kerana pemegang tidak mahukan wangnya menyusut nilai atau kurang nilai dalam selang masa, apakah kedudukan wang kertas yang diberi nilai dan sentiasa disusut nilai oleh spekulasi dan riba. 

Sesuatu benda  yang boleh digunakan sebagai alat pertukaran mestilah berupaya menyimpan nilai dan bekalan barangan mestilah stabil dan mempunyai permintaan.  Ini bermakna barang tersebut tidak berubah turun-naik dengan banyak dibandingkan dengan purata barangan lain. 

Barang keluaran pertanian misalnya tidak sesuai kerana banyak bergantung kepada perubahan cuaca, kerana cuaca buruk akan menyebabkan kekurangan pengeluaran dan kurangnya pengeluaran akan meningkatkan harga dengan mendadak sementara cuaca baik dan pengeluaran banyak akan membuatkan nilai hasil pertanian ini susut nilai. 

Oleh itu, jika manusia diberi kebebasan memilih maka mereka tidak akan menggunakan wang kertas yang nilainya bergantung kepada faktor luaran yang tidak terkawal.

Barang yang boleh dijadikan matawang seharusnya mempunyai sifat keseragaman.  Keseragaman ini juga mestilah mempunyai sifat ketahanan yang seragam juga.  Sebab itulah hasil pertanian tidak boleh digunakan sebagai matawang. 

Logam boleh digunakan sebagai matatawang dan logam dipotong mengikut ukuran seragam tertentu untuk dijadikan matawang dan alat pertukaran.    Logam seperti emas dan perak telah diterima pakai oleh masyarakat dulu kala sebagai matawang kerana mempunyai sifat yang seragam. 

Logam ini tidak berubah sifatnya dan keseragamannya walau apa yang dilakukan terhadapnya.   Logam emas walau dibakar dan dicairkan mempunyai keseragaman dari segi sifatnya.  Apakah yang akan terjadi kepada wang kertas jika dibakar, dikoyak dilakarkan gambar diatasnya? 

Sesuatu benda yang hendak dijadikan matawang seharusnya bersifat boleh bahagi iaitu boleh dikecilkan kepada beberapa bahagian.  Jika kita ambil contoh kulit kerang tadi, walaupun ianya mempunyai sifat keseragaman, tetapi tidak boleh dibahagi-bahagikan kepada unit yang lebih kecil. 

Ini bertujuan supaya memudahkan proses pertukaran kerana wang sebenarnya hanyalah suatu alat pertukaran dan tidak lebih daripada itu.  Oleh itu jelas bahawa logam seperti emas dan perak menjadi pilihan utama umat manusia untuk dijadikan matawang.  Emas atau perak dibentuk menjadi kepingan wang yang boleh dibahagikan kepada dua mengikut separuh ukuran berat atau seterusnya dibahagikan kepada bahagian yang lebih kecil.  

Bagaimana pula dengan kertas?  Apakah yang dibahagikan pada wang kertas adalah nombor.  Kos untuk mencetak 1 dolar Amerika ialah 4 USCent, kos mencetak 20 dolar Amerika juga adalah 4 USCent?  Sekeping kertas yang sama tetapi nilainya berlainan.  Bukankah ini suatu silap mata? Satu sama dengan dua puluh!

Salah satu sifat yang harus ada pada barang yang akan digunakan sebagai matawang adalah bersifat mudahalih.  Oleh itu, sejarah menunjukkan bahawa garam pernah digunakan sebagai matawang kerana ianya mudah alih bagi kuantiti yang kecil. 

Masyarakat memilih logam seperti emas dan perak sebagai bahan yang amat diminati dan sukar diperolehi tetapi bersifat mudahalih.  Kertas menjadi pilihan masyarakat kerana kertas bersifat mudahalih. 

Tetapi yang menjadi masalah adalah nilai kertas itu diberikan oleh orang ketiga yang tidak ada langsung hubungan dengan urusan pertukaran antara dua individu.  Tambahan lagi wang kertas tidak dapat bertahan dengan masa.

Di zaman sekarang ini kita dapati pada asasnya wang kertas disimpan oleh bank yang berperanan menjaga keselamatan, kuantiti dan kualiti nilai.  Pihak bank mungkin boleh menjaga kuantiti kerana institusi tersebut dapat mencetak wang tanpa sandaran.  Kita semua tahu bahawa wang kertas akan susut nilai mengikut masa. 
Kualiti wang kertas tidak boleh dijamin lagi. Sistem bank atau atas nama apapun sebenarnya sudah gagal berfungsi. Ini seolah-olah peti besi tukang emas (bank) sudah dicerobohi. Penceroboh seperti spekulator matawang telah berjaya mengikis nilai wang dan pihak bank juga 'mengikis' nilai wang dengan mencetak wang berlebihan. 

Ada yang cuba mengatakan nilai ini hilang kerana inflasi tetapi Adam Smith di dalam bukunya Paper Money mengatakan inflasi bererti cukai tersirat yang disebabkan oleh lebihan cetakan wang kertas - Adam Smith (1982).

Nilai wang tidak dapat ditetapkan bahkan manusia melihat lambang wang pula sebagai barangan yang boleh dijual beli.  Akhirnya nilai wang tidak dapat dikawal oleh kerajaan tetapi dikawal selia oleh hegemoni perbankan, pencetak wang dan pemain-pemain bursa saham dunia dan spekulator.

Oleh itu dapatlah kita lihat betapa bank Islam belum cukup jika tiada wang Islam iaitu dinar dan dirham. Wang Islam bukan sekadar lambang tetapi pada hakikatnya memang wang tanpa perlu kepada perundangan kerajaan atau mana-mana institusi.  Sekiranya manusia diberi kebebasan untuk memilih, mereka akan memilih emas dan perak sebagai matawang.

No comments: