About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Monday, March 18, 2013

Mengenali Tasawuf



Assalamualaikum w.b.t.

Saya menyusun sepuluh jari memohon keampunan dari Allah s.w.t di atas kealpaan untuk sentiasa mengingatiNya.  Saya memohon kehadrat Illahi untuk merahmati pengunjung blog ini dan mengambil apa sahaja maklumat serta ilmu yang bermanfaat.  Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah s.w.t. dan segala kekurangan adalah dari saya sebagai hamba yang sentiasa memohon keampunanNya.

Artikel kali ini akan membincangkan sedikit tentang ilmu tasawuf.   Dalam zaman Rasulullah s.a.w. serta zaman para sahabat, Islam itu diamalkan keseluruhannya tanpa mengkategorikan bidang ilmu itu kepada ilmu tauhid, ilmu feqah dan ilmu tasawuf.   Kita semua tahu bahawa Islam yang disampaikan kepada baginda Rasulullah s.a.w adalah dalam bentuk yang sempurna dan tidak dipisah-pisahkan.  Apa yang sampaikan kepada baginda Rasulullah s.a.w terus manjadi amalan dan panduan hidup sebagai seorang manusia yang taat kepada perintah Allah s.w.t., menjadi hamba yang hanya mengbadikan diri kepada Allah s.w.t. dan menjauhkan diri daripada menyembah selain daripada Allah s.w.t. semata-mata.   Islam adalah agama amalan.  

Setelah Islam berkembang keserata dunia, maka ramailah dikalangan mereka yang bukan berbangsa Arab telah menerima ajaran suci Islam ini.  Para ulama dan cendikiawan Islam telah membahagikan atau mengkategorikan ilmu atau muamalat Islam ini kepada apa yang dikenali sekarang ini iaitu ilmu tawhid iaitu bidang ilmu yang bersangkutan dengan iktiqad (pegangan dan kepercayaan); ilmu feqah adalah skop ilmu yang berkaitan dengan ibadah dan kemasyarakatan dan ilmu tasawuf pula merupakan bidang ilmu yang bersangkutan dengan budi pekerti dan akhlak sebagai seorang Muslim dalam menjalankan penghidupan sebagai hamba Allah yang tulin. 

Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak akan kupasan ilmu tasawuf yang diberikan oleh seorang guru mursyid, iaitu Shaykh AbdalQadir As-Sufi.  Dalam satu ceramah mengenai subjek tasawuf, beliau mengingatkan kita umat Islam supaya berpegang teguh kepada tawhid, iaitu mengesakan Allah s.w.t.   Ini adalah suatu perbuatan bukan suatu konsep.  Beliau berkata,” Saya mahu melihat perkara tawhid ini difahami dengan teguh (kuat), kerana ini adalah asas Deen (agama Islam) dan menjadi asas Tariqa (jalan) orang-orang yang mahukan ilmu Allah Subhanahu wa Ta'ala”.   Sesungguhnya ilmu ini disahkan pentingnya melalui pesanan Allah s.w.t. dalam Surah Ali Imran ayat ke 18 yang diterjemahkan sebagai, “Allah bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia seperti yang dilakukan oleh para malaikat dan orang yang menegakkan keadilan pengetahuan.".  Ketahulah bahawa ini adalah satu pengisytiharan yang amat penting dimana manusia berikrar akan keesaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.  Suatu perkara yang juga telah disahkan dan diikrarkan oleh para malaikat dan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menegakkan keadilan.  Inilah yang diingatkan oleh Shaykah AbdalQadir bahawa pengisytiharan mengEsakan Allah ini menjadi pokok utama dalam ilmu tasawuf.  Saya ingin mengajak pembaca untuk mempelajari ilmu tasawuf yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.  Ilmu Tasawuf adalah ilmu yang bersumberkan kepada kitab Al-Quran dan al hadis sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah As-Syam, ayat 9 dan 10 yang diterjemahkan seperti berikut,” Sesungguhnya amat beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya (hatinya).  Dan amat rugilah orang yang mengotori jiwa (hatinya).  Juga sabda Rasulullah s.a.w.  yang bermaksud,”Sesungguhnya di dalam diri anak Adam ada seketul daging.  Apabila baik daging tersebut maka baiklah seluruh anggotanya.  Apabila buruk daging tersebut maka buruklah seluruh anggotanya.  Ketahuilah, iatulah hati" – riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman Basyir r.a..   

Di sini kita dapati orang yang berilmu menerima ikrar ini dan tanda kepada seseorang itu berilmu adalah mereka ini menegakkan kebenaran.  Bagaimana agaknya keadaan sekarang ini apabila kita melihat mereka yang bergelar “ulama” tidak menegakkan kebenaran, mereka tidak bersuara untuk menegakkan kebenaran.  Menurut Shaykh Abdalqadir, barang siapa yang tidak mampu menegakkan keadilan, maka tidak layak untuk dia berbicara tentang ilmu tawhid.  Seseorang itu tidak boleh dikatakan sebagai orang berilmu tawhid dan mengajar ilmu ini sekiranya mereka ini tidak menegakkan keadilan, mengisytiharkan segala tingkah laku yang betul untuk manusia amalkan mengikut apa yang telah diajar oleh agama.  

“Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana." Apa yang disampaikan dan ditunjukkan oleh ulama 'dan muhaqqiqun mengenai perkara tawhid ini adalah betul dan benar.  Mana-mana pengajaran selain daripada mengEsakan Allah s.w.t. akan membawa kepada kepincangan dan kelemahan di dalamnya. Pengisytiharan ini adalah satu kebenaran.  Oleh itu hendaklah kita tegakkan kebenaran ini. 

Bahagian 1



Tawhid ada tiga aspek utama atau tiga peringkat utama.   Peringkat pertama adalah dari aspek orang kebanyakan atau “the common people”.  Aspek ini berasaskan kepada deklarasi syahadah iaitu, “Ash-hadu an la ilaha illallah wa ash-hadu anna Muhammadun- Rasulullah”, iaitu mengucap dua kalimah Syahadah,”Sesungguhnya tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah”.  Ini adalah asas pertama sesorang itu menerima Islam atau untuk diterima sebagai seorang Muslim.

Shaykh Abdalqadir mentakrifkan aspek kedua kepada golongan elit (istimewa) atau kumpulan khas dan pembahagian ini berasaskan kepada kenyataan (realities), dan berasaskan kepada kebenaran (haqa’iq).  Apakah yang dimaksudkan golongan elit ini adalah mereka yang berilmu yang telah dibuka pintu hati untuk menerima ilmu daripada Allah s.w.t.  yang kita namakan ‘ilm al-Laduni, ilmu yang diterima ‘secara lagsung’ daripada Allah s.w.t. dan mereka ini mempunyai ilmu yang tinggi mengenai tasawuf.  Mereka ini sering kali dikenali sebagai golongan khass atau elit.  Ahli sufi membahagikan manusia kepada tiga aspek – golongan kebanyakan, golongan elit dan gologan elit daripada elit (khass al khass).

Aspek ketiga dalam ilmu tawhid ini adalah golongan khass al khass atau elit dikalangan elit dengan ilmu mereka ini berasaskan pada prakejadian makhluk.   Aspek ilmu yang diasaskan pada sebelum adanya kejadian, pada realiti yang tulin, mutlak kewujudan Allah, Subhanahu wa Ta'ala.  Apabila Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang apa yang sebelum penciptaan alam semesta, dia berkata, "Allah Ada, dan tidak ada yang lain dengan-Nya," dan apabila Imam Junayd telah ditanya tentang perkara ini beliau hanya menambah, "Dia sekarang, sebagaimana Dia sebelumnya."



(Bersambung........from Prof Dr Zuhaimy Ismail)

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum prof...di manakah smbungan article ini.berminat mengikuti penerangan prof.terima kasih

Pena Agrofarm said...

subhanallah, lama saya tidak melawati blog saya..maaf lambat menjawab