About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Tuesday, January 20, 2026

Nasihat di Mesyuarat PAMP

Teks Ucapan Nasihat

Majlis Mesyuarat PAMP Langkawi


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Saudara Sidi Mustaqim, Amir Hakimi, serta seluruh jemaah PAMP yang dikasihi sekalian.

Saya mendoakan agar rahmah dan keberkatan Allah SWT sentiasa melimpahi komuniti Langkawi, khususnya keluarga besar PAMP. Sesungguhnya rahmat Allah swt turun kepada jemaah yang bergerak secara berjemaah di bawah pimpinan amir dalam usaha mencari keredhaan Allah SWT.


Saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama secara fizikal untuk meraikan kejayaan komuniti PAMP dalam mengusahakan padi zakat. Setiap amal bermula dengan niat, dan hasil yang diperoleh adalah tanda bahawa usaha itu diberkati Allah SWT. Tahniah saya ucapkan kepada semua.  Teruskanlah usaha ini dengan penuh istiqamah, dan sentiasalah ingat bahawa kita ini hanyalah hamba Allah yang bergantung sepenuhnya kepada-Nya. Rezeki, untung dan rugi semuanya di tangan Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:


“Dan di langit terdapat rezekimu dan apa yang dijanjikan kepadamu.”

(Surah Az-Zariyat: 22)


Untuk mencapai tahap yakin kepada pertolongan Allah, guru tasawuf saya, Shaykh Abdal Qadir as-Sufi, telah menggariskan beberapa panduan penting dalam bukunya 100 langkah, yang boleh kita jadikan amalan dalam kehidupan berjemaah.


Pertama: Taubat dan Istighfar


Hendaklah kita perbanyakkan taubat dan istighfar setiap hari. Sesungguhnya manusia tidak pernah terlepas daripada kesilapan dan dosa. Allah SWT berfirman:


“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.”

(Surah At-Tahrim: 8)


Dan firman-Nya lagi:


“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kamu kenikmatan yang baik.”

(Surah Hud: 3)


Istighfar bukan sahaja membersihkan hati, bahkan membuka pintu rezeki dan ketenangan jiwa.


Kedua: Zuhud


Amalkan zuhud, iaitu tidak terikat dengan perkara dunia melebihi keperluan dan tidak membiarkannya menguasai hati. Rasulullah SAW bersabda:


“Zuhudlah kamu terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu; zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mencintaimu.”

(Riwayat Ibnu Majah)


Zuhud bukan bermaksud meninggalkan dunia, tetapi meletakkan dunia di tangan, bukan di hati. Shaykh berkata, “we have no attachment to it”. Iaitu jika kita kehilangan sesuatu, ia tidak memberi kesan dan jika kita mendapat sesuatu kita juga tidak terlalu bergembira denganya. Allahlah yang memberi dan yang memgambilnya.


Ketiga: Syukur


Perbanyakkan syukur atas setiap nikmat. Allah SWT berfirman:


“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepadamu.”

(Surah Ibrahim: 7)


Dan firman-Nya lagi:


“Dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”

(Surah Saba’: 13)


Maka janganlah kita termasuk dalam golongan yang lalai daripada mensyukuri nikmat Allah.


Jika kita berpegang kepada pesanan ini, dan bersama-sama hidup berjemaah di bawah pimpinan Sidi Mustaqim serta Amir Hakimi yang memikul amanah memberi nasihat dan panduan, insya-Allah keluarga besar PAMP akan sentiasa dipayungi rahmat dan keberkatan Allah SWT.


Akhir kata, perbanyakkanlah solat, zikir dan fikir, agar kita semua terus melangkah maju dengan hati yang tenang, iman yang kukuh, dan tujuan yang jelas menuju keredhaan Allah SWT.


Wabillahi taufiq wal hidayah,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Professor Dr Zuhaimy Ismail

No comments: