Malaysia Madani terbuka Islamofobia

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) didominasi oleh kumpulan sekular yang lebih ekstrem dan berkiblatkan liberal demokrasi anutan blok Barat yang dipimpin oleh negara kuasa besar masa kini. Hal ini demikian kerana, PH ialah satu gabungan berkonsepkan pragmatik yang meraikan semua dasar parti komponennya yang berbeza ideologi, khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mendominasinya.
Maka, terbuka ruang kepada pengaruh liberalisme dan pluralisme dalam gabungan PH. Demikian juga ruang kepada gerakan Islamofobia atas nama kebebasan dan hak asasi manusia yang bermasyarakat madani secara teorinya.
Bahkan, sudah ada daripada kalangan mereka di Malaysia, kini membuat kenyataan berani yang menyanggah perkara prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti kedudukan Islam, hak Melayu dan bumiputera, serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Maka, kita perlu melihat perkara ini bukan sahaja dari aspek yang tersurat, bahkan mendedahkan juga aspek yang tersirat.
Langkah keakraban Kerajaan Malaysia Madani menerima perubahan dengan negara seperti Amerika Syarikat dan sekutunya secara mutlak, sehingga mempengaruhi dasar luar negara yang tidak boleh disembunyikan, membuka pintu kepada pengaruh luar. Pengaruh ini sangat negatif terhadap Islam dan memberi ancaman kepada Melayu Islam yang mendominasi penduduk di negara ini.
Ini menjadi cabaran baharu kepada Islam dan orang Melayu bersamanya yang dahulunya agak terkawal ketika Melayu Islam masih mendominasi kerajaan. Hal ini demikian kerana, sejahil-jahil Melayu yang sebenar, hatinya masih tidak terpisah dan berasa tersentuh apabila Islam diperlakukan secara tidak adil atau bangsanya dipinggirkan.
Keadaan ini bukanlah kerana fanatik perkauman, tetapi merupakan fitrah bangsa ciptaan Allah yang dipandu oleh Islam. Hakikatnya, orang Melayu bersama Islamnya boleh menerima masyarakat majmuk, namun dituduh perkauman apabila menyentuh haknya, adapun bangsa lain boleh pula bersuara bagi pihak bangsanya.
Kini, lahirnya orang Melayu yang keluar daripada fitrah kerana mengikut acuan PH. Mereka berpegang kepada konsep tanpa bangsa yang dijenamakan Malaysian Malaysia sehingga menyanggah suara dan hak Melayu dengan tuduhan kononnya rasis atau perkauman.
Sesungguhnya, kewujudan pelbagai bangsa adalah ketetapan Allah yang tidak boleh dibatalkan. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (bermasyarakat). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]
Firman Allah SWT lagi:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]
Allah menetapkan bahawa tiap-tiap bangsa akan silih berganti mendominasi kepimpinan umat Islam dan memimpin negara sepanjang perjalanan sejarahnya, sebagaimana firman Allah kepada bangsa Arab pada saat kelemahan mereka:
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Maka, bangsa Arab digantikan kepimpinannya oleh pelbagai bangsa yang memeluk Islam seperti bangsa Kurdi, Turki dan lain-lain.
Adakah tidak akan tiba giliran rumpun Melayu di Nusantara, yang merupakan majoriti terbesar umat Islam di dunia setelah pelbagai bangsa lain, mengambil giliran kepimpinan tersebut?
Disebabkan itu, Melayu Islam pasti menjadi sasaran musuhnya.
Kenyataan DAP yang pernah melabelkan Gelombang Hijau sebagai bahaya memperlihatkan sikap Islamofobia terhadap kebangkitan Melayu Islam dengan menggambarkan Islam sebagai ganas. Begitu juga perbandingan yang dibuat dengan jenama Taliban terhadap PAS, tetapi menutup mata terhadap keganasan sebenar, iaitu serangan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan, Iran, Iraq dan lain-lain, serta serangan Israel terhadap Palestin.
Kini, kita menghadapi keadaan yang sudah tidak terkawal lagi disebabkan kerajaan yang sangat liberal dan terpengaruh dengan pendekatan Barat yang berkonsepkan sekular dan pragmatik. Hal ini dapat disaksikan daripada beberapa keputusan mahkamah yang tidak menunjukkan budi bicara yang memihak kepada Islam, sementara media langit terbuka tanpa sempadan pula menjadikan Islam sebagai sasarannya.
Kerajaan PH sengaja membuka ruang kepada media, khususnya media yang berada di bawah propagandanya. Media ini memainkan peranan besar dalam menyebarkan sentimen kebencian dan mengaitkan Islam dengan keganasan, radikalisme, dan ekstremisme, terutamanya menggalakkan penyebaran insiden keganasan global yang seringkali dikaitkan dengan Islam sebelum dilakukan siasatan.
Islam menjadi sasaran kerana dianggap pencabar baharu kepada blok Barat setelah berkecainya blok Timur, khususnya apabila pengaruh Islam mula menembusi sempadan negara, bangsa dan agama.
Islam juga terus diberikan perhatian walaupun tidak ada negara kuasa besar yang melindunginya selepas kejatuhan Khilafah Turki ‘Uthmaniyyah pada awal abad yang lalu. Ini diikuti oleh kelemahan agama-agama selain daripada Islam dan kegagalan ideologi ciptaan manusia yang diamalkan di negara penciptanya, serta negara Islam bekas jajahan yang masih mewarisi sistem peninggalan penjajahnya.
Masjid-masjid masih dikunjungi oleh ramai orang, berbeza dengan rumah ibadat yang lain. Bahkan, di negara Barat ada gereja yang bertukar menjadi masjid dan madrasah di samping berlakunya kebangkitan semula kesedaran Islam, termasuk dalam kalangan yang berpendidikan Barat.
Islamofobia ialah senjata halus yang digunakan setelah senjata terbuka yang ganas gagal menundukkan umat Islam, sehingga negaranya dijajah dan umatnya dipecah belah.
Menurut definisinya, Islamofobia ialah prasangka, ketakutan, kebencian, atau diskriminasi yang tidak rasional terhadap Islam atau Muslim, yang terzahir dalam pelbagai bentuk seperti serangan lisan (julukan buruk), penghinaan terhadap simbol agama (al-Quran dan Nabi Muhammad), dan juga kekerasan fizikal.
Islamofobia sering kali dikaitkan dengan stereotaip negatif tentang Islam sebagai sumber keganasan atau ekstremisme. Naratif ini sedang diwujudkan dalam dunia baharu yang dicipta, dan turut disertai oleh gagasan PH yang mentadbir negara. Sekiranya diberikan perhatian sehalus-sehalusnya terhadap media yang berpihak kepada PH, ternyata mereka secara langsung atau tidak langsung menggunakan senjata halus ini. Walaupun mereka laksana lempar batu sembunyikan tangan, tetap dapat disaksikan lakonan mereka yang seolah-olah diberikan lesen atas nama kebebasan.
Islamofobia juga merujuk kepada ketakutan, kebencian, prasangka, atau diskriminasi terhadap agama Islam atau penganutnya. Fenomena ini telah meruncing di seluruh dunia kerana pengaruh Zionisme di peringkat antarabangsa yang paling bermusuh terhadap Islam. Firman Allah SWT:
۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ …٨٢
“Sesungguhnya, engkau (wahai Muhammad) akan mendapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi…” [Surah al-Ma’idah: 82]
Islam yang sebenar teguh berpaksikan al-Quran yang dipelihara oleh Allah, tetap berkonsep sederhana yang bercirikan wasatiyyah (pertengahan), tidak melampau dan tidak pula lemah dalam semua perkara. Sifat-sifat inilah yang menjadi ketetapan Allah kepada umat Islam, sepertimana firman-Nya:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ …١٤٣
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu…” [Surah al-Baqarah: 143]
Islam menggalakkan perdamaian dalam kehidupan bermasyarakat, dan diwajibkan bersederhana dalam semua perkara, bermula dengan urusan ibadat hingga urusan kehidupan dunia seperti makan dan minum, berpakaian, sehinggalah terhadap musuh yang melampau batas dan menceroboh. Inilah arahan Allah dalam al-Quran melalui firman-Nya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Kini, musuh-musuh Islam yang dengki terhadap Islam kerana agama suci ini terus mendapat sambutan di seluruh dunia disebabkan kebenarannya, bukan kerana kebatilannya, mula menggunakan senjata yang dinamakan Islamofobia. Mereka menyebarkan kebencian terhadap Islam dan penganutnya. Disebabkan orang Melayu adalah wajah Islam di Malaysia, maka merekalah menjadi sasaran pelaksanaan Islamofobia.
Banyak pendedahan secara terbuka menunjukkan bagaimana senjata Islamofobia menyalakan api kebencian terhadap Islam melalui pelbagai bentuk provokasi yang dicipta bertujuan memburukkan wajah Islam.
Antaranya, dengan mencipta gambaran keganasan melalui segelintir penganut Islam yang bersifat munafiq atau jahil kerana buta terhadap agamanya sendiri. Kumpulan ini kemudiannya digerakkan sebagai pelaku keganasan dengan perbelanjaan yang besar bagi membekalkan senjata dan segala keperluannya.
Lakonan ini dilakukan bukan sahaja di negara-negara Islam, malah di negara bukan Islam, dengan tujuan merosakkan wajah Islam yang sebenar, sedangkan Islam menentang segala bentuk sifat melampau dan zalim.
Dalam masyarakat Islam sendiri, mereka menyusup masuk melalui perbezaan mazhab serta kaum dan bangsa dalam kalangan umat Islam. Kemudian, mereka menyalakan perpecahan melalui kalangan yang jahil agama, sehingga mencetuskan perang saudara yang dijadikan proksi dengan bekalan senjata dan tentera upahan.
Malangnya, mereka menggunakan sumber kewangan hasil kekayaan negara-negara Islam yang dirampas pada zaman penjajahan, sama ada hasil menipu atau mencuri, atau melalui kerajaan yang bertopengkan penganut Islam sendiri. Sehingga, kerajaan ini dapat menjadi wakil untuk melaksanakan tugas yang dirancang bagi merosakkan imej Islam.
Mereka turut melakukan keganasan yang tidak menepati ajaran Islam seperti menyerang rumah ibadat bukan Islam, termasuk masjid orang Islam sendiri yang berbeza mazhab dan kaum. Malah, mereka juga menyerang orang awam tanpa mengira wanita, kanak-kanak, warga tua, ataupun golongan-golongan lain.
Pendedahan ini dapat disaksikan melalui perang saudara di Libya, Syria, Yaman, Sudan, Iraq, Afghanistan, Pakistan, dan lain-lain. Mereka bukan sahaja menjadi batu api yang menyalakan peperangan, bahkan berlakon menjadi pendamai yang tidak selesai. Malangnya, ada kalangan negara Islam yang menjemput mereka menjadi tetamu undangan dan diraikan.
Provokasi juga dilakukan di negara bukan Islam dengan berbagai-bagai cara, bahkan mereka sanggup mengorbankan rakyat sendiri menjadi kambing hitam.
Media digunakan dengan meluas bagi memburuk-burukkan Islam dengan mengaitkan Islam dengan semua keganasan yang berlaku. Ada yang terdedah dilakukan oleh penjenayah daripada kalangan mereka sendiri, ada yang disebarkan dengan cara membesar-besarkan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang yang berwajah Islam, dan ada juga yang mempertahankan murtad di samping menggalakkannya. Pendekatan ini dapat dilihat melalui cara pemberitaan beberapa media di Malaysia yang diberikan lesen dan disanjung sebagai media yang berjaya, sama ada secara langsung ataupun menyiarkan berita luar negara yang memenuhi tujuan penyebarannya.
Di samping itu, mereka juga mencipta kumpulan-kumpulan yang berjenama Islam seperti Sisters in Islam (SIS) dan lain-lain, atau memfitnah kumpulan Islam yang sebenar, sehingga menjadi korban segala tindakannya yang nyata zalim dan fitnah. Kumpulan Islam yang sebenar, pusat-pusat pengajian Islam, sekolah agama dan tahfiz, masjid, dan juga penganut Islam yang beramal dengan agamanya daripada mulai beribadat sehinggalah berpakaian, digambarkan dengan wajah yang buruk.
Kini, topeng Islamofobia yang dicipta terkoyak sendiri apabila adanya kalangan bukan Islam yang ingin tahu secara ilmiah tentang Islam yang sebenar, mengkaji Islam melalui al-Quran terjemahan atau buku-buku yang ditulis tentang Islam, serta melalui ceramah dan forum yang diatur dengan penyertaan ilmuwan Islam yang sebenar, sehingga kebenaran Islam didedahkan melalui sumbernya yang sebenar.
Termasuk juga kalangan orientalis yang ditugaskan mengkaji Islam bagi mencari keburukannya, tiba-tiba diberikan hidayah dan keinsafan. Akhirnya, mereka sudah tidak boleh berpihak kepada kebatilan fitnah yang dilakukan terhadap agama Allah, bahkan ada yang terus menganut Islam, berdakwah serta mempertahankannya.
Tindakan ganas di Gaza (Palestin) yang melibatkan kumpulan HAMAS dan kumpulan-kumpulan lain yang bersamanya memberi kesan yang positif kepada Islam. Hal ini demikian kerana, peristiwa itu menunjukkan perbezaan berjihad mengikut hukum Islam yang haram melampau walaupun terhadap musuh, sebaliknya dengan bersabar, matang dan tidak melampau. Hal ini berbeza dengan tentera Israel dan sekutunya yang mengganas tanpa sempadan kemanusiaan dan agama, sehingga menyedarkan masyarakat antarabangsa apabila dilaporkan oleh media yang bebas.
Perbezaan layanan tawanan perang yang dilakukan oleh kumpulan Islam Palestin yang berperikemanusiaan turut didedahkan oleh tawanan Yahudi yang dibebaskan dalam media mereka dan media antarabangsa. Keadaan ini sangat berbeza dengan layanan Israel terhadap tahanan Palestin. Hal ini menyebabkan perasaan simpati masyarakat antarabangsa terhadap Israel selama ini mula hilang, lalu beralih menunjukkan simpati kepada Palestin, malah mereka mula tertarik dengan Islam.
Kenyataan ini mula terbongkar dan mendedahkan pembohongan Islamofobia apabila ada kalangan yang membaca dan mempelajari Islam mengikut disiplin ilmunya melalui sumber al-Quran, hadis dan buku-buku Islam, serta membaca sejarahnya.
Maka, diambil pula tindakan terhadap Islam melalui sekatan undang-undang dan juga aspek pentadbiran.
Sikap yang ditunjukkan oleh Kerajaan PH terhadap negeri-negeri yang diperintah oleh PAS seperti menentang tindakan menutup tempat perjudian di Kedah yang mengikut langkah Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu, adalah tidak selari dengan tindakan mengharamkan perjudian yang sama dalam semua agama.
Selain itu, tindakan mengetepikan hak daripada hasil petroleum dan lain-lain, serta membataskan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang sebahagian besarnya daripada PAS, adalah bertujuan menyekat pengaruh Islam yang ditunjukkan oleh PAS walaupun sudah sangat terbatas.
Allah melaporkan dengan benar tindakan kumpulan munafiq pada zaman Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُواْ عَلَىٰ مَنۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّواْۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَفۡقَهُونَ ٧
“Merekalah orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allah jua segala perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami.” [Surah al-Munafiqun: 7]
Ada negara Islam yang boleh diperalatkan sehingga mengharamkan parti Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dengan mencipta fitnah atau melakukan provokasi upahan yang dicipta. Sehinggakan, ramai tokoh ilmuwan Islam dalam segala lapangan menjadi mangsa kezaliman fitnah.
Bahkan, di peringkat antarabangsa pula, terdedah kezaliman mereka menceroboh beberapa negara sehingga mengorbankan ribuan rakyat dengan pelbagai bukti keganasan seperti serangan ke atas Libya, Iraq, Afghanistan, dan Iran. Setelah selesai peperangan tersebut, didedahkan pembohongannya oleh media atau anggota tenteranya sendiri yang tidak boleh menahan perasaan kemanusiaannya apabila ditipu dengan alasan bohong yang dicipta.
Allah mendedahkan kejahatan ini dalam al-Quran dengan firman-Nya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ ٦
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang sebenar, menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu!”[Surah al-Hujurat: 6]
Fitnah yang zalim ini sedang berlaku pada zaman media baharu yang diberikan kebebasan oleh pihak yang berkuasa melalui pelbagai cara dan juga alat yang canggih.
Allah memberi keyakinan kepada orang-orang yang beriman bahawa cahaya Islam daripada Allah mustahil dapat dipadamkan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفُِٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membenci. (8) Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8–9]
Maka, bangsa Melayu yang beragama Islam juga berhak bangkit menjadi bangsa yang kuat membawa obor Islam memimpin dunia yang bermasyarakat majmuk dan daripada berbagai-bagai agama dan bangsa, berkonsepkan Islam adil kepada semua yang pernah berjaya dalam sejarah keemasannya.
Maka, cabarannya yang paling besar dan ujiannya yang paling berat, kerana Islam adalah yang paling dibenci dan dimusuhi oleh syaitan besar kerana berjaya memadamkan kesesatannya dan mengalahkan kezalimannya. Islamofobia menjadi dalil bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar daripada Allah.
Firman Allah SWT:
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ ١٤٧
“Kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu, sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.” [Surah al-Baqarah: 147]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Jumada al-Akhir 1447 / 19 Disember 2025
[Bil: 88 / 2025] - HARAKAHDAILY 19/12/2025


No comments:
Post a Comment