About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Saturday, August 9, 2025

Bab 2 memoir pendidikan menengah

BAB 2  Pendidikan Awal

Sekolah Sultan Abdullah ketika itu merupakan salah satu sekolah yang terkenal di Kuantan dengan suasana pembelajaran yang aktif dan kompetitif. Pelajarnya terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk dari Eropah.  Di sinilah saya mula dididik dan belajar sebagai seorang pelajar yang bukan sahaja kehadapan dalam akademik, malah aktif dalam sukan dan disenangi pihak sekolah.  Saya masih ingat, ketika mewakili sekolah ketika baru berusia 9 tahun.  Tubuh saya agak besar dan boleh bermain dengan pelajar darjah 5 dan 6 dan kebolehan saya mengelicik bola menyebabkan saya dipilih.  

Kesempitan kehidupan keluarga, saya terpaksa dibawa pulang ke kampung untuk bersekolah di Jerantut Primary School.  Sekolah ini pula sangat jauh (12 batu) daripada rumah di Kuala Tembeling yang memakan masa hampir satu jam untuk sampai ke sekolah di Jerantut.Jalanrayanya berbatut-batu dan sangat tidak sempurna.  Kesedihan teramat sangat ketika itu kerana saya sangat suka bersekolah di Kuantan kerana saya cemerlang dalam pelajaran dan mewakili sekolah dalam bidang sukan.    Walau apa pun yang berlaku, saya baru sedar bahawa ketika kanak-kanak kita tidak ada upaya untuk memilih.  Kita dipimpin oleh keluarga.  Betullah kata-kata bahawa semua anak itu dilahir seorang Muslim dan ibubapalah yang memimpin samada menyembah Allah atau menyembah api atau berhala.  Anak-anak ikut sahaja.  

Saya terima ketentuan Allah Subhanahuwataala.  Saya tidak menunggu lama untuk dilihat oleh guru-guru dan sejak darjah 4 lagi saya telah menjadi ketua kelas dan pengawas sehinggah dilantik menjadi ketua pengawas ketika darjah enam.  Saya mewakili sekolah dalam beberapa jenis sukan dan olahraga seperti  mewakili sekolah dan daerah dalam larian 400 meter dan 4x400 meter, larian merentas desa, mewakili sekolah dan daerah dalam sukan bola sepak.  Saya aktif dalam sukan dan aktif dalam aktiviti akademik.

Syukur alhamdulillah, dengan kurniaan Allah Subhanahuwataala saya boleh dengan cepat menguasai pelajaran, khususnya dalam subjek Matematik. Minat saya terhadap nombor dan penyelesaian masalah amat ketara – saya sering menjadi murid pertama yang menyiapkan latihan, dan kadang-kala diminta membantu rakan sekelas yang kurang faham atau mahir.  Guru-guru amat menyenangi saya kerana sifat saya yang suka bertanya, berani mencuba dan tidak cepat berputus asa. Dalam setiap pertandingan kuiz Matematik atau aktiviti akademik, nama saya hampir pasti dimasukkan sebagai wakil kelas atau sekolah. Minat saya dalam subjek arithmatik atau matematik terus subur di sekolah baharu di Jerantut. Walau dimanapun jika ditanya kawan2 tentang matematik, khasnya untuk kawan2 yg lemah dalam subjek tersebut saya akan tolong selesaikan untuk mereka.  Cikgu selalu suruh saya ajak kawan2 buat matematik tak kira dibawah pokok, di kantin atau selepas waktu kelas. Saya selalu dengan sabar tunjukkan caraselesaikan masalah Matematik dengan cara yang mudah difahami. Sejak kecil saya suka kongsi selaikan masalah matematik.  Saya rasa bila saya boleh cerita kepada rakan penyelesiannya saya menjadi lebih pandai.  Sesungguhnya ilmu yang baik adalah ilmu yang dikongsi – satu falsafah hidup yang akanmenjadi pegangan dalam kerjaya akademik saya.

Saya juga menunjukkan keupayaan kepimpinan dan seringkali dilantik sebagai ketua kelas, dan juga sebagai pengawas. Dalam semua tugas ini, saya pastikan saya berdisiplin tinggi dan mewajibkan diri saya untuk bertanggungjawab terhadap amanah yang diberi. Ini mungkin disebabkan didikan orang tua di kampung semasa saya kecil dahulu.  Sudah tentu keupayaan saya ini membolehkan saya cepat faham subjek  dalam bidang akademik kerana subjek matematik menjadi alat pengukur kepandaian murid itu dengan kepandaian subjek matematik.  Inilah fahaman masyarakat dulu, kini dan selama-lamanya.

Pendidikan awal oleh kedua ibu bapa dan famili yang besar telah membentuk sifat yang suka bersaing secara sihat, cepat menyesuaikan diri, dan mengutamakan kerja berpasukan menjadikan saya sebagai pelajar serba boleh. Sikap inilah yang turut membentuk daya kepimpinan saya setelah dewasa – dimana saya  tidak hanya bergantung pada kebolehan sendiri, tetapi sentiasa memberi semangat dan menyokong rakan sekelas.  Rakan saya yang sangat diingati antarannya saudara Saufi, Datuk Arif Othman, Dr Ghazali, Sdr Ahmad Razali, Sdr Nasharuddin, Sdr Asri dan Sdr Anuiruddin.  Mereka inilah teman belajar dan bermain ketika disekolah.

Perpindahan saya daripada kehidupan bandar di Kuantan ke Jerantut Primary School tidak melemahkan semangat saya untuk cemerlang dalam akademik dan bukan skademik. Saya terima arahan ayah untuk saya pindah balik ke Jerantut kerana masalah kewangan yang tidak mengizinkan.  Inilah ketentuan Allah Subhanahu wataala. Sebaliknya, apa yang berlaku kesan daripada kesusahan kehidupan keluarga di kampung menjadikan ia satu fasa penting dalam membentuk ketahanan emosi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cepat.

Guru-guru di JPS melihat saya sebagai pelajar contoh. Gabungan pengalaman di kedua-dua sekolah ini menjadikan saya seorang pelajar yang matang, seimbang dari segi emosi dan intelek, serta mempunyai asas yang kukuh dalam sahsiah. Oleh itu, apabila saya lulus dengan baik semasa ujian penilaian darjah lima, saya telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di  Sekolah Menengah Sains Pahang (SMSP), salah satu sekolah berasrama penuh terbaik ketika itu. Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuka sekolah sains disetiap negeri dan dinamakan Sekolah Menengah Sains Negeri masing2.  Ketika surat tawaran itu diterima di sekolah, saya diminta oleh guru besar untuk membawa ayah datang ke sekolah dan menanda tangan surat setuju terima tawaran pada hari itu juga. Saya terpaksa naik kereta teksi sapu untuk bawa ayah ke sekolah.Alhamdulillah saya sempat bawa ayah jumpa guru besar dan saya boleh bayangkan betapa gembiranya ayah apabila dapat berita anaknya dapat tawaran masuk ke sekolah asrama penuh.

Pendidikan rendah bagi saya bukan sekadar tempat untuk memperoleh ilmu asas seperti membaca, menulis dan mengira. Ia adalah medan untuk membina watak, mengukuhkan nilai, dan menanam semangat perjuangan. Dua buah sekolah ini – Sultan Abdullah School dan Jerantut Primary School – telah membekalkan bukan sahaja ilmu, tetapi juga pengalaman hidup yang sangat berharga.  Kepada semua ibu bapa yang membaca tulisan ini, jangan sesekali ambil ringan kepada pendidikan awal anak-anak kerana pengalaman saya yang melalui kesusahan kehidupan keluarga dikampung tetapi penat lelah ayah emak mencari rezeki untuk menanggung pelajaran saya telah membentuk nilai-nilai seperti rajin kerja, kerja berpasukan, semangat untuk membantu orang lain, dan keinginan untuk berkongsi ilmu sudah mula tertanam dalam diri saya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Nilai-nilai inilah yang akan membentuk teras kepada seluruh perjalanan hidup saya - sebagai pensyarah, penyelidik, pengurus program masyarakat, dan tokoh pendidikan yang dihormati.

Kisah pendidikan awal saya boleh sahaja dijadikan contoh bahawa sebuah kejayaan itu bukan bergantung pada satu lokasi atau satu sistem, tetapi bergantung kepada sikap diri pelajar itu sendiri. Daripada bilik darjah kecil di Kuantan dan Jerantut, tanpa disedari saya telah membina keupayaan yang kelak akan mewarnai dunia pendidikan tinggi dan penyelidikan negara.

Sehingga ke hari ini, saya masih kenangkan dua sekolah inilah – Sultan Abdullah School dan Jerantut Primary School – yang meletakkan asas kepada segala pencapaian saya. Kepada rakan2 saya di kedua2 sekolah ini tentu  masihmengingati saya seorang pelajar yang tekun, suka membantu suka dengan semua bentuk sukan. Dan memori inilah yang terus hidup, menjadi kenangan indah zaman pendidikan awal seorang tokoh yang berjaya mengangkat martabat ilmu dan pendidikan negara.

 

Memoir Detik Emas di SMSP (1972-1976)

Saya masih terbayang-bayang wajah kedua emak dan ayah ketika saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Pahang (SMSP).  Bagi saya tahun 1972 adalah permulaan sebuah bab yang penuh makna dalam perjalanan hidup saya.  Ketika itu, saya menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Pahang (SMSP), sebuah sekolah berasrama penuh yang baru tetapi mempunyai rangka usaha sebagai sebuah sekolah untuk mencapai kecemerlangan akademik dan budaya.  

Pengetua pertama sekolah ini adalah ayahanda Dtk Hj Abdul Rahim Hamid yang penuh dedikasi kecemerlangan. SMSP baru sahaja ditubuhkan pada awal dekad itu, dan saya menjadi antara kumpulan pelajar awal yang mengisi ruang-ruang kelas dan asrama yang masih segar pembinaannya.  Segar di memori dimana saya terpaksa membersihkan padang untuk kami bersukan, mengangkat kerusi meja dan menyusun kerusi meja untuk memulakan pembelajaran.  Sejak awal lagi, kami didedahkan dengan moto sekolah: "Hidup Berjasa" – satu pegangan yang bukan sekadar kata-kata, tetapi teras kepada setiap program, aktiviti, dan pendekatan pembelajaran di SMSP. Moto ini menggambarkan dengan jelas falsafah pendidikan yang dipegang teguh oleh seluruh warga sekolah. Bahawa tanpa ilmu, tiada arah; dan tanpa kefahaman yang kukuh, tiada kecemerlangan yang hakiki dan tidak akan dapat untuk berjasa. Setiap pelajar diasuh untuk menanamkan ilmu sebagai tunjang hidup – bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk membentuk peribadi dan berjasa kepada Ibubapa, keluarga dan masyarakat.

Sebagai anak jati Kuala Tembeling, Pahang yang datang dari latar belakang keluarga yang tidak mewah, peluang untuk belajar di SMSP ibarat pintu emas yang terbuka ke dunia yang lebih luas.  Peluang untuk tinggal di asrama dengan tilam empuk dibandingkan dengan tidur diatas tikar mengkuang sudah pasti menjadi satu kenikmatan yang tidak dapat saya lupakan dan saya berazam untuk tidak sama sekali mendukacitakan keluarga khasnya emak dan ayah.  Pada usia yang masih mentah, saya mula bersekolah di SMSP ini dengan harapan tinggi, azam yang menyala, dan sedikit debaran. Dunia berasrama sememangnya satu kejutan besar.  Saya tidak akan melukakan hati emak ayah dengan kegagalan.  Segala-galanya di sekolah baru ini teratur, disiplin dikawal ketat, dan jadual seharian kami dipenuhi dengan kelas, prep, sukan dan aktiviti kokurikulum.

Namun begitu, saya segera menyesuaikan diri. Dalam masa beberapa minggu, SMSP menjadi rumah kedua. Suasana di sekolah ini sangat membina: rakan-rakan yang saling menyokong, guru-guru yang komited dan suasana akademik yang mendorong kami untuk sentiasa memberi yang terbaik. Saya sedar bahawa di sinilah tempat untuk saya membina asas kecemerlangan.  Disinilah adik beradik sekawah saya, yang makan daripada nasi kawah, bermain dipadang berbatu yang sama, bersukan dengan apa yang ada kerana sekolah masih baru.  Serba kekurangan.  Kami peneroka SMSP.  

Pengetua kami selalu mengingatkan untuk menghayati moto sekolah dan itulah yang benar-benar menjadi prinsip hidup saya.  Saya bertekad untuk hidup berjasa!  Saya menanam cita-cita untuk setiap hari mesti diisi dengan sesuatu yang berguna dan tidak sia-sia. Dalam bidang akademik, saya memberi fokus penuh terutamanya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Saya sering mengambil inisiatif untuk membaca buku dan nota tambahan, membuat latihan lebih dari apa yang diberi, dan tidak segan bertanya kepada guru. Keputusan peperiksaan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 menunjukkan konsistensi dan peningkatan.Saya bukan sahaja berjaya dalam peperiksaan, malah sering menerima penghargaan sebagai pelajar terbaik.

Namun SMSP bukan hanya tentang buku dan peperiksaan. Saya juga aktif dalam sukan – satu aspek yang sangat saya hargai kerana iamelatih saya menjadi seorang yang seimbang. Saya menyertai pasukan bola sepak dan olahraga sekolah. Setiap petang selepas kelas, padang sekolah menjadi medan latihan fizikal dan mental. Semangat kesukanan, kerjasama dalam pasukan, dan keazaman untuk menang membentuk kekuatan dalaman saya. Saya pernah mewakili sekolah dalam kejohanan antara SBP (Sekolah Berasrama Penuh) iaitu permainan hoki, satu pengalaman yang membuka mata saya terhadap nilai semangat juang dan maruah sekolah.

Gabungan akademik dan kokurikulum ini membentuk peribadi saya secara menyeluruh.Guru-guru di SMSP sangat tegas namun adil.Mereka sentiasa menekankan kepentingan integriti, hormat kepada ilmu, dan semangat untuk terus berusaha. Saya masih ingat pesanan salah seorang guru Matematik saya: “Jangan tunggu orang suruh belajar. Jadikan belajar itu tabiat dan kegembiraan.” Kata-kata ini menjadi prinsip saya hingga ke hari ini. Kehidupan di asrama juga banyak mendidik saya tentang nilai berdikari. Kami perlu mengurus kehidupan harian sendiri – dari membasuh pakaian, menjaga kebersihan dorm, hingga belajar berkongsi ruang dengan rakan-rakan lain. Perbezaan latar belakang menjadikan kami lebih menghargai toleransi dan semangat persaudaraan. Walaupun dalam proses persahabatan ada kalanya kami bergaduh, ada kalanya kita berdengki dan ada kalanya kita dibuli. Semua ini saya lalui dengan tabah. Dalam keadaan apabila di buli dan di iri, saya membawa diri dan bertekad untuk membalas dengan belajar lebih rajin untuk menjadi lebih pandai. Itu tersemat di hati. Tidak sekali-kali saya mengadu. Saya membina persahabatan yang masih kekal hingga ke hari ini – hubungan yang tidak ternilai dalam perjalanan hidup saya.

Sejak awal persekolahan di Sekolah Menengah Sains Pahang (SMSP), saya menyedari bahawa Matematik adalah subjek yang paling dekat di hati saya. Dalam kalangan pelajar, subjek ini sering dianggap mencabar, namun bagi saya, ia adalah satu bentuk seni – teratur, logik, dan penuh dengan keindahan tersendiri. Minat saya terhadap Matematik bukan sahaja mendorong saya untuk menguasainya, tetapi menjadikan saya salah seorang pelajar paling menonjol dalam bidang ini sepanjang tempoh persekolahan menengah saya dari tahun 1972 hingga 1976.  Guru-guru matematik di SMSP semuanya cekap-cekap belaka dan ini menjadi satu peransang untuk menjadi macam guru matematik.  Ketika dalam tingkatan 3, saya diajar oleh Mr Wilson dari Australia yang dibawa untuk mengajar di sekolah-sekolah di Malaysia.  Saya perhatikan pemikiran logik matematik guru ini meransangkan saya untuk cemerlang matematik.  Pencapaian cemerlang dalam sabjek matematik dari tingkatan satu hinggalah ke tingkatan lima.  

Saya masih ingat dengan jelas bagaimana saya begitu teruja apabila mempelajari konsep asas algebra, persamaan linear, dan geometri pada peringkat awal tingkatan satu dan dua.Saya tidak sekadar menerima ilmu itu sebagai satu keperluan peperiksaan, tetapi saya mendalaminya dengan penuh semangat. Buku latihan Matematik saya sentiasa penuh dengan contengan – bukan sahaja jawapan kepada soalan guru, tetapi juga masalah tambahan yang saya reka sendiri untuk menguji kefahaman.  Dalam kelas, sayalah yang pertama menggunakan calculator texas Instrument yang menjadi alat bantu saya untuk cemerlang matematik.

Pada tahun-tahun akhir persekolahan, tumpuan saya semakin berat ke arah peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE). Tekanan untuk cemerlang sangat tinggi, namun saya menjadikannya sebagai cabaran.Pengetua menyatakan kamu adalah penanda aras kecemerlangan akademik SMSP.  Saya menyusun semula kaedah belajar, meluangkan lebih banyak masa dalam prep malam, dan mengikuti kelas tambahan yang disediakan oleh guru. Biasiawa kecil PETRONAS yang saya perolehi sejak tingkatan 4 sangat membantu saya untuk mendapat banyak buku rujukan yang tidak diperolehi oleh pelajar-pelajar lain.  Saya belajar secara berkumpulan dalam kelas bersama Dr Gan, Dr Arif Othman yang juga sangat cemerlang dalam subjek sains dan matematik.  

Kejayaan saya dalam Matematik juga memberi kesan langsung kepada keputusan MCE saya. Saya memperoleh gred A untuk subjek Matematik Moden dan Matematik Tambahan – dua subjek yang menjadi kunci kepada kelayakan saya menyambung pelajaran dalam bidang Sains dan Statistik di peringkat universiti. Tanpa asas kukuh dari sekolah menengah, mustahil saya dapat menempuh bidang ini dengan jayanya.  Bagi saya matematik bagi saya bukan sekadar subjek peperiksaan. Ia mengajar saya tentang pemikiran sistematik, ketekunan dalam menyelesaikan masalah, dan keindahan dalam struktur logik. Ia juga membina daya tahan – kerana tidak semua soalan mudah diselesaikan dalam cubaan pertama. Ada kalanya saya perlu mencuba berulang kali, mencari pendekatan yang berbeza, dan belajar daripada kesilapan.Semua ini menjadikan saya pelajar yang lebih matang, sabar dan berstrategi.  Kini, apabila saya mengimbau kembali perjalanan itu, saya sedar bahawa setiap langkah dalam kelas Matematik, setiap latihan yang saya selesaikan, dan setiap sesi saya membantu rakan-rakan – semuanya adalah batu-bata yang membentuk asas kepada siapa saya hari ini. SMSP bukan sekadar tempat belajar – ia adalah tempat saya menemui arah sebenar kehidupan.  Alhamdulillah, segala usaha itu tidak sia-sia.Keputusan MCE saya sangat memberangsangkan dan membuka pintu untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Saya masih ingat hari pengumuman keputusan – satu hari yang penuh emosi dan kelegaan. Bagi anak kampung seperti saya, menerima tawaran untuk ke luar negara bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi lambang bahawa ilmu benar-benar membuka jalan. Iajuga menjadi bukti kepada keluarga dan masyarakat bahawa SMSP telah berjaya melahirkan insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.  Ayahanda memanggil saya kebiliknya dan menyerahkan surat tawaran dan dengan penuh kesyukuran saya mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Norwich City College, England untuk membuat A-Level dan seterusnya ditawarkan membuat ijazah dalam bidang matematik.

Detik-detik di SMSP merupakan tahun-tahun yang sangat penting dalam membentuk jatidiri saya. Ia bukan sahaja mendidik saya dari segi akademik, tetapi membina keyakinan, disiplin dan semangat berkhidmat. Ia adalah tempoh di mana saya belajar untuk bermimpi besar, dan memahami bahawa impian hanya akan menjadi kenyataan melalui usaha yang tidak kenal lelah.  Saya bersyukur kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada SMSP. Iaadalah sekolah yang benar-benar memegang amanah untuk melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja di atas kertas, tetapi juga dari segi sahsiah dan nilai kemanusiaan. Setiap kali saya menoleh ke belakang, saya tahu bahawa kejayaan saya pada hari ini, sama ada sebagai ahli akademik, perunding, atau aktivis masyarakat – semuanya bermula dari SMSP.

Saya dedikasikan penulisan ini untuk semua guru-guru yang telah mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang, kepada rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memberi semangat, dan kepada pihak pentadbiran sekolah yang meletakkan piawaian yang tinggi untuk kami capai. Sekolah Menengah Sains Pahang adalah kilang melahirkan pemimpin, dan saya bersyukur kerana telah menjadi sebahagian daripadanya.  Penglibatan dalam aktiviti kadet tentera semasa tingkatan 4 dan 5 betul-betul mendisplinkan diri yang membentuk keperibadian saya selepas alam persekolahan.

Untuk generasi pelajar SMSP yang masih meneruskan perjuangan – peganglah teguh moto kita: “Hidup Berjasa”. Dunia di luar sanapenuh cabaran, tetapi asas yang kukuh dari sekolah inilah yang akan menjadi bekal terbaik kita nanti. Jangan takut bermimpi, jangan jemu berusaha. SMSP telah membuktikan bahawa anak dari mana-mana latar sekalipun mampu melakar sejarah, mencipta kecerlangan jika diberi peluang dan dididik dengan penuh hikmah.

 

Kesimpulan

Perjalanan pendidikan awal saya, dari Sekolah Sultan Abdullah di Kuantan hingga Jerantut Primary School, telah membentuk asas yang teguh bagi seluruh kehidupan dan kerjaya saya. Perpindahan akibat kekangan kewangan keluarga bukanlah penghalang, malah menjadi titik mula pembinaan ketahanan diri, kemampuan menyesuaikan diri, dan semangat untuk terus cemerlang. Minat mendalam terhadap Matematik, sifat kepimpinan, disiplin, dan kesediaan membantu rakan menjadi nilai yang saya semai sejak kecil. Pengalaman di dua sekolah rendah ini mengajar saya bahawa kejayaan tidak terletak pada lokasi atau kemewahan fasiliti, tetapi pada sikap, usaha, dan sokongan sekeliling. Ia juga menanam falsafah hidup bahawa ilmu yang benar ialah ilmu yang dikongsi.

Langkah seterusnya di Sekolah Menengah Sains Pahang (SMSP) memperkukuh segala nilai ini. Moto “Hidup Berjasa” bukan sekadar slogan, tetapi prinsip hidup yang menggabungkan kecemerlangan akademik dengan sahsiah mulia. SMSP mengajar saya bahawa disiplin, kesungguhan, dan keseimbangan antara pelajaran dan kokurikulum adalah kunci membentuk insan seimbang. Minat dan pencapaian saya dalam Matematik membuka pintu ke peringkat pendidikan antarabangsa, membuktikan bahawa anak kampung juga mampu bersaing di pentas dunia jika diberikan peluang dan dididik dengan betul.

Bab ini menjadi bukti untuk saya bahawa pendidikan awal adalah pelaburan terpenting dalam membina masa depan. Apa yang saya capai hari ini – sebagai pendidik, penyelidik, dan penggerak masyarakat – berakar kukuh daripada pengalaman, cabaran, dan nilai yang terbentuk sejak di bangku sekolah rendah hingga menengah. Ia adalah perjalanan yang mengajar saya bahawa kejayaan adalah hasil daripada gabungan usaha gigih, doa restu ibu bapa, bimbingan guru, dan yang paling utama keberkatan Ilahi.

No comments: