Memoir Profesor Dr Zuhaimy Ismail
Pengenalan
Sebelum memulakan coretan mengenai memoir kehidupan seseorang, elok kalau kita jenguk dan lihat peranan sebuah memoir. Saya difahamkan bahawa memoirmerupakan sebuah karangan yang ikhlas jujur dan perlu ditulis dengan pendekatan yang reflektif dan jujur. Oleh itu, sebuah memoir adalah untuk menyampaikan pengalaman hidup yang bermakna, yang bukan sahaja mencatat peristiwa tetapi juga sebuah coretan yang menggambarkan makna dan kesan pengalaman itu terhadap diri yang boleh dimanfaatkan.
Coretan memoir ini merupakan sebuah perjalanan hidup saya yang dilahirkan disebuah kampung pendalaman negeri Pahang. Kampung ini terletak di muara sungai Tembeling dan muara Sungai Jelai yang dinamakan Kampung Kuala Tembeling. Mengikut cerita orang dahulu, kampung ini dinamakan Kuala Tembeling mengikuti namaSungai Tembeling setelah mereka menimbang air Sungai Tembeling dan Sungai Jelai, didapati air Sungai Tembeling lebih berat. Ini mungkin satu cerita, tetapi saya melihat tradisi orang dulu kala mereka sering mengaitkan kehidupan dengan alam sekitar. Sungai menjadi sumber mencari rezeki dan media pengangkutan utama. Budaya mengaitkan kehidupan dengan alam ini, serba sedikit mempengaruhi kehidupan saya.
Kuala Tembeling merupakan pusat perdagangan penduduk disekitar kawasan dan amat ramai sekali penduduk ketika itu. Hampir lebih 190 tahun yang lalu, kampung ini menjadi tumpuan kepada semua kampung disekitar Kuala Tembeling seperti Kampung Sepial, Pasir Durian, Lahang, Sangkoh, Doja, Mela, Jeram Landak, Pasir Durian, Batu Balak, Sepial, Jeram Landak, Rebus, Keluang dan Kuala Retang. Kuala Tembeling menjadi pusat pentadbiran bagi seluruh kampung dibawah mukim ini dan diketuai seorang penghulu. Kuala Tembeling senjadi suatu kampung yang aktif dari segi ekonomi kawasan persekitaran. Hasil pertanian dan kraftangan penduduk dipasarkan di Kuala Tembeling. Kenderaan di zaman muda ayah dan emak adalah sampan dan basikal. Memiliki basikal ketika itu ibarat memiliki sebuah kereta malah menjadi pengukur kekayaan dan kepentingan seseorang ketika itu.
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga besar yang mempunyai akar pendidikan yang kuat. Ayah saya sejak usia belasan tahun telah memondok (tinggal dan bersekolah di pondok)di pondok Tok Kenali di Benut Payung Kota Baru, Kelantan. Dimaklumkan ayah memondok tidak kurang dua tahun. Ayah selaku pemimpin keluarga memberi contoh kepada keluarga bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan dan telah mendidik anak-anaknya untuk menuntut ilmu. Saya membesar dengan seorang ayah yang bercita-cita besar untuk kejayaan pendidikan anak-anaknya. Ayah tidakmahu anak-anaknya bersekolah dikampung kerana menurutnya dia mahu anaknya melihat kemajuan ditempat orang. Gigih ayah membimbing sehinggakan dia membolehkan abang saya diterima masuk ke Sekolah Malay College Kuala Kangsar (MCKK) Perak sejak 8 ke 9 tahun - kecil lagi. Saya sendiri telah dihantar bersekolah di Kuantan yang sangat jauh daripada rumah. Saya boleh dikatakan berjaya dalam pelajaran kerana latar belakang keluarga yang menitik berat tentang ilmu dan pendidikan. Kejayaan dalam alam pendidikan saya bermula daripada asas yang kukuh sejak di bangku sekolah rendah. Pendidikan awal saya bermula di Sekolah Sultan Abdullah (SAS), Kuantan, sebelum berpindah ke Jerantut Primary School (JPS) dalam tahun 1970. Kedua-dua sekolah inilah yang telah membentuk sahsiah, intelek dan nilai-nilai kehidupan yang menjadi panduan saya hingga ke hari ini.
Keluarga ayah setelah pulang ke kampung agak susah. Bagi ayah, pendidikan anak-anak sangat penting dan kita lihat sekarang ini satu dunia meletakkan pendidikan ditempat tertinggi. Ilmu boleh diperolehi dimana-mana, tetapi alam persekolahan diperingkat awal sangat penting. Kesusahan kehidupan sesebuah keluarga itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberi pendidikan kepada anak-anak dan ibu bapa elaklah daripada memilih untuk tidak menyekolahkan anak. Pendidikan itu adalah proses pembelajaran pengetahuan, keterampilan, dan kebiasaannya sebuah komuniti itu akan menyampaikan ilmu dari satu generasi ke generasi berikutnya melalui pengajaran, pelatihan, atau penelitian. Tidak kira dimana, proses pendidikan awal ini perlu dilakukan. Pendidikanlah yang boleh mengembangkan potensi dalam diri seseorang itu serta membentuk suatu karakter dan peradaban diri. InsyaAllah. Melalui pendidikan, manusia akan memiliki kecerdasan yang berguna bagi dirinya dan persekitarannya, serta boleh mengubah taraf kehidupan yang lebih baik atau layak untuk dirinya, keluarga dan masyarakat.
Pengalaman lebih daripada 36 tahun sebagai seorang pensyarah dan pendidik,menjadikan menuntut ilmu itu satu budaya dalam diri. Banyak maklumat boleh diperolehi daripada buku atau media sosial, tetapi sesuatu ilmu itu untuk benar-benar bermanfaat wajiblah seseorang itu berguru. Setiap maklumat yang diperoleh itu wajib ditentusahkan oleh guru supaya ilmu itu bermanfaat. Guru menjadijambatan yang boleh menghubungkan pengetahuan dengan murid, membimbing dan memberi arahan dalam proses pembelajaran. Guru berkongsi maklumat dan membentuk karakter murid dalam memahami ilmu yang diterimanya.
Dalam memoir ringkas saya ini, dalam bab-bab berikutnya akan dikongsikan pengalaman hidup mencari ilmu dan mempelajari ilmu melalui pengalaman kehidupan. Setiap peristiwa terkait dengan masa dan tempat yang sentiasa boleh kita pelajari untuk meningkatkan lagi kualiti keimanan kepada Sang Pencipta, yang akan semua kita temui di alam baru nanti.
BAB 1:Keluarga Saya
Saya menulis memoir ini dengan penuh rasa syukur dan rendah hati kepada Allah Subhanahuwataala. Segala pujian hanya kepada Allah Subhanahuwataala (SWT) yang mencipta kehidupan dan kematian. Selawat dan salam kepada Baginda Rasullah SAW.
Tiada satu pun yang berlaku tanpa izin Allah SWT. Setiap takdir dan perjalanan hidup kita telah ditentukan. Telah ditentukan mengikuti catatan kad pengenalan, saya dilahirkan pada 3 Mei, 1960 di Kampung Kuala Tembeling. Kuala Tembeling merupakan sebuah mukim dan bandar di daerah Jerantut, Pahang, berhampiran Taman Negara Malaysia.Kampung ini sebagai satu titik pemindahan untuk ke taman negara, menghubungkan jalan pengangkutan dari pelbagai bandaraya lain dengan bot ke taman melalui jeti kampung Kuala Tembeling itu. Kelahiran saya di sini sudah tentu sesuatu yang terpilih dan terbaik untuk saya menjalankan kehidupan sebagai insan yang sedar akan kewajipannya kepada Sang Pencipta.
Dalam menyelusuri kehidupan di dunia, kita sebagai hamba-Nya dan khalifah di muka bumi ini harus menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab dan keimanan. Ayah saya, Imam Haji Ismail bin Imam Hassan, adalah satu contoh insan yang memahami erti tanggungjawab itu. Hidupnya sarat dengan perjuangan, kesederhanaan, ilmu dan kebaktian kepada masyarakat. Beliau dilahirkan dari keluarga sederhana tetapi dengan pendidikan agama yang kuat. Atuk saya seorang imam yang membangunkan komuniti beragama di Kuala Tembeling dan menjadi imam diikuti oleh ayah saya yang juga seorang imam masjid. Pemergian ayah saya pada malam Jumaat, 19 Julai 2001 bukan sekadar kehilangan bagi keluarga, tetapi juga bagi penduduk Kampung Kuala Tembeling yang mengenali beliau sebagai seorang imam, seorang Tok wali hakim dan insan pendamai. Beliau adalah tempat orang-orang kampung datang untuk mendapat nasihat dan juga kadang-kadang tempat meminjam duit belanja. Alhamdulillah, saya juga mendapat tauliah menjadi imam di Surau Solat Jumaat Taman Desa Skudai, Johor Bahru - meneruskan tradisi keluarga.
Adik beradik saya terdiri daripada 4 lelaki dan 2 perempuan. Dalam tahun 2025, kami hanya tinggal 4 beradik. Abang Sulung Mohd Idris Ismail, abang ngah, Mokhtar Ismail, Abang De Samsuddin Ismail, Kaka saya Noehan Isail dan adik bongsu saya Noriza Ismail. Saya anak kelima. Dua telah meninggal dunia. Ayah telah meninggalkan kami enam orang anak, 33 cucu dan empat cicit ketika itu. Empat bulan sebelum itu, ibu saya Hajjah Habsah binti Abdul Rahman juga telah dahulu kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Februari 2001, dalam keadaan berwuduk dan bersedia menunaikan solat tahajud — satu pemergian yang sering diidamkan oleh insan solehah sepertinya. Memoir ini saya tulis untuk mengenang kedua-duanya — cinta dan hormat yang tak berbelah bahagi.
Bagi saya seorang ayah itu bukan sekadar ketua keluarga, tetapi juga simbol keteguhan, kebijaksanaan dan kesederhanaan dalam hidup. Secara tidak sedar, pendidikan yang disampaikan ayah kepada kami sejak kecil lagi, dimana kami dibesarkan dengan nasihat-nasihatnya yang ringkas tetapi mendalam: “Kejayaan itu bukan hanya pada pangkat dan nama, tetapi pada ketaqwaan.” Ingat anak! Kita boleh banyak kawan tetapi jangan sesekali cari lawan, susah kita dibuatnya nanti. Kata-kata ini menjadi bekalan hidup saya sehingga saya berjaya menggapai impian untuk menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi. Ayah seringmemberi ingatan.
Zaman Awal dan Kesusahan Hidup
Kehidupan ayah melangkaui empat zaman: zaman sebelum Jepun, zaman penjajahan Jepun, zaman British, zaman kemerdekaan dan kini zaman moden. Ayah meninggal ketika berusia 92 tahun. Ini menjadikan beliau sebagai satu khazanah hidup yang menyimpan sejarah dan pengalaman yang amat berharga. Ayah tidak mendapat pendidikan formal yang tinggisebaliknya pengajian memondok di Kelantan. Ilmu yang diturunkan oleh ayah kepada kami anak-anaknya — sama ada dalam bentuk nasihat, amalan atau contoh teladan — jauh lebih bermakna daripada apa yang diajarkan di sekolah-sekolah. Pengajian dan pendidikan tidak formal dirumah membentuk keperibadian dan peradaban yang membentuk cara hidup setelah dewasa.
Keluarga ayah adalah dari kalangan mereka yang membangunkan kependudukan di Kampung Kuala Tembeling. Saya masih ingat bagaimana ayah bercerita tentang zaman mudanya, bagaimana beliau dan datukku, Imam Hassan, berpindah dari Doja ke Kuala Lahang dan akhirnya menetap di Kuala Retang. Hidup berpindah-randah itu bukanlah kerana kemewahan, tetapi kerana keperluan — demi membina kehidupan yang lebih baik. Keluarga ayah banyak meneroka tanah dan membuat kebun getah. Waktu itu, ayah pernah tinggal di kampung-kampung yang sunyi dan terpencil, di mana bekalan elektrik belum wujud dan sungai menjadi nadi kehidupan.
Masa mudanya banyak dihabiskan dengan kerja-kerja berat: membuka hutan teroka tanah, membajak sawah, membuat kebun getah, menanam sayur, dan membawa hasil membeli getah keeping untuk dihantar ke Pekan Seharai dan juga ke bandar Jerantut. Walaupun hidup dalam kesederhanaan, ayah tetap menjaga agama dan sangat kuat solat dan bangun malam. Boleh dikatakan setiap malam, ayah bangun untuk solat dan berzikir dan zikir yang saya ingat adalah “laa illahaillah”. Zikir tauhid. Saya dibilik selalu dengar dan selalunya panjang sehinggalah sampai waktu subuh. Beliau sentiasa mengajar kami agar tidak malu dengan apa juga kesusahan dan pastikan anak-anak tidak sombong bila senang. Jika hendak dekat kepada Allah, ingatlah bahawa “Orang yang beriman itu diuji,”. Kita dijadikan untuk mengabdi diri pada Allah dan hendaklah sabar selalu, ingatlah, “orang yang sabar, pasti akan menang.” Ingat anak, hendaklah kuatkan “solat dan sabar”, ayah berpesan. Ayah tidak sunyi daripada memberi nasihat dan sangat suka bercerita pengalamannya menunaikan ibadah haji dan ujian yang dilaluinya.
Setelah zaman merdeka, ayah diberi amanah sebagai imam utama kampung. Beliau memimpin solat berjemaah, menjadi rujukan dalam hal hukum-hakam, dan sering diundang ke majlis kenduri, aqiqah, walimatulurus serta pengebumian. Ucapannya ringkas, jelas dan berisi. Tidak ramai imam yang dihormati oleh orang tua dan muda seperti beliau. Jika ada pertikaian tanah, pusaka, atau perselisihan keluarga — ayah menjadi orang tengah yang menenangkan suasana. Ramai anak muda datang meminta restu sebelum ke bandar atau menyambung pelajaran. Ayah akan meletakkan tangan di kepala mereka dan membaca doa ringkas, tetapi penuh makna. “Semoga engkau menjadi anak yang bermanfaat untuk agama dan ummah,” katanya. Walaupun beliau tidak bergelar ustaz, orang kampung memanggilnya “Tok Imam yang alim.”
Ayah Berniaga
Sekembalinya ayah daripada menuntut ilmu, beliau menjadi guru dan imam dikampung. Ayah terkenal dengan kemampuannya dalam mengajar dan dihormati dikalangan masyarakat ketika itu. Salah satu pengalaman yang diambil dari negeri Kelantan adalah perniagaan. Melalui pengalaman serta ilmu yang ada dalam diri ayah tidak disimpan begitu sahaja. Ayah mula merasakan tanggungjawabnya terhadap keluarga dan masyarakat. Berniaga merupakan satu jenis pekerjaan mencari rezeki yang paling tinggi daripada semua jenis pekerjaan untuk mendapatkan rezeki. Ayah mempraktikkan ilmu yang ada. Ayah amat arif akan kedudukan mencari rezeki malah kita tahu bahawa setelah perniagaan taraf punca rezeki yang berikutnya adalah berusaha dalam bidang penternakan, pertanian, dan yang akhir sekali barulah makan gaji. Ayah sangat suka berkongsi ilmu yang ada padanya dan sering membaca hadis dan cerita apabila saya bertanyakan sesuatu padanya. Berkaitan dengan mencari rezeki, berdagang adalah sesuatu yang amat digalakkan oleh Islam dan beliau sering menyatakan bahawa 9 daripada 10 sumber rezeki adalah dari perdagangan dan perniagaan. Beliau sering menyatakan bahawa punca orang kita tidak mendapat ‘banyak’ kerana kita tidak berada didalam aliran yang membawa rezeki yang paling banyak dan perkara ini banyak tidak diketahui ulama. Ilmu perdagangan yang sepatutnya menjadi darah daging umat Islam kini tidak disampaikan dan para ulama sendiri tidak mengerti ilmu ini. Umat islam dulunya berdagang, kini umat Islam dan agama diperdagangkan. Inilah keluhan yang selalu disebut ayah.
Dengan pengalaman merantau di Kelantan, sebuah negeri yang kaya dengan perniagaan, ayah mulakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Dibukanya kedai runcit di Kuala Tembeling. Ketika itu ada beberapa buah kedai runcit dan kebanyakannya adalah milik kaum bukan Melayu. Jadi persaingan ketika itu sudah pasti sehebat persaingan sekarang. Usaha gigih ayah dengan kejujuran dalam penimbangan dan mempunyai sifat tolong menolong, perniagaan ayah telah maju dalam beberapa tahun sahaja.
Suasana perniagaan ketika itu agak rumit untuk diceritakan, tetapi yang pasti begitu ramai orang yang mendampingi keluarga ayah. Rumah kedai ayah, difahamkan dijadikan seolah-olah seperti hotel tempat penginapan kaum keluarga dan sahabat handai. Di kedai itu jugalah boleh dikatakan ibarat berkenduri setiap hari dengan pengunjung yang tidah berhenti-henti. Suasana ini amat meriah tetapi begitu penat bagi yang menyediakan makanan dan minuman. Inilah semangat persaudaraan yang ada ketika itu. Rumah ayah tidak pernah sunyi dengan orang yang datang menziarahnya.
Kejayaan ayah dalam perniagaan barang-barang runcit dibesarkan lagi. Dengan duit yang telah dikumpul, ayah menceburi bidang perniagaan jual-beli getah. Perniagaan ini memerlukan modal yang besar dan memerlukan wang tunai yang banyak. Maklumlah, orang kampung yang datang untuk menjual getah keping mereka, dan mereka perlu dibayar dengan wang tunai. Orang kampung jual getah untuk membeli belah keperluan harian. Mereka menjual getah dengan ayah, kemudian menggunakan wang diperolehi daripada hasil jualan dan akan dibelanjakan dikedai ayah untuk membeli barang keperluan harian. Jadi perniagaan yang begini, tidak mungkin rugi jika tidak berlaku penyelewengan atau hal-hal yang tidak boleh dikawal.
Inilah yang berlaku pada perniagaan ayah. Ayah dengan sifat ikhlas dan jujurnya dalam perniagaan telah menarik ramai orang untuk menjual getah kepadanya. Beliau tentu sekali memerlukan wang yang banyak dan langkah yang boleh kita katakan suatu kesilapan adalah membuat pinjaman daripada taukeh di Kuala Lipis atau Kuala Lumpur. Untuk beroperasi pada ketika itu dijangkakan memang tidak ada pilihan lain. Beliau mengambil untung dari segi harga jualan yang lebih tinggi daripada harga beli. Jumlah yang diambilnya agak banyak kerana keuntungan perniagaan ketika itu agak menggalakkan. Mengikut ceritanya, Ayah telahmembeli getah dengan harga RM200 setan ketika itu. Harga getah meyusut, hari demi hari dan seterusnya menyusut hinggalah kepada ayah menjualnya dengan harga cuma RM80 sahaja. Beliau telah rugi sebanyak RM120 bagi setiap tan getah dan beliau mempunyai getah dalam simpanan sebanyak ratusan ton jika tidak ribuan ton.
Ayah terpaksa menanggung hutang yang begitu banyak. Perniagaan yang besar berpotensi menjadikan ayah seorang yang mewah telah hancur desebabkan manipulasi harga dan nilai ringgit Malaysia ketika itu. Orang yag tidak berdosa menjalankan perniagaan membantu masyarakat terpaksa mengalami sesuatu diluar kawalannya. Ini suatu kenyataan. Sekarang ini keadaan perniagaan adalah sama seperti dahulu, harga getah dan sawit bukan ditentukan oleh negara tetapi oleh orang lain di London. Harga getah meleset!
Kemerosotan perniagaan ini menyebabkan begitu banyak barang kemas emak dan tanah ayah tergadai. Mereka menjual tanah bagi membayar hutang. Ceti berduyun-duyun datang mencari ayah menuntuk wang yang dipinjamkan dalam perniagaan. Inilah keadaan yang pernah berlaku kepada ayah dan emak. Hidup mereka begitu susah selepas kejatuhan mereka dalam perniagaan. Ayah tidak ada pilihan lain tetapi berhijrah, berhijrah daripada urusan perniagaan kepada pertanian. Ayah tiada pilihan lain ketika itu. Sedih sayamendengar riwayat hidup ayah ketika beliau menceritakan keadaan ketika itu. Ayah cekal, ayah yakin Allah akan menggantikan ayah dengan sesuatu yang lebih baik. Sayabertanya,”Apa maksud Ayah”, katanya ayah mendapat anak yang baik-baik. Semua anak ayah berjaya dalam hidup, semua anak ayah tak tinggal sembahyang. Ayah selalumenceritakan tentang agama. Nasihatnya supaya kita perlu memahami kita sebagai hamba Allah dan perlu menghayati ajaran islamsepenuhnya dengan melaksanakan rukun-rukunya. Rukun utama adalah solat lima waktu yang diwajibkan kepada setiap umat Islam dan meninggalkan segala dosa besar. Selalu diingatkan bahawa ibadah solat ini merupakan hubungan langsung antara hamba dengan Allah sama ada ianya orang biasa mahupun seorang wali. Kata Ayah terus, Nabi Lokman selalu menasihat anaknya untuk mendirikan solat dalam firman Allah,”Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat”. Mengikut ayah, solat dapat membentuk peribadi kita menjadi taqwa dengan melengkapkan diri dengan sifiat-sifat mulia.
Allah SWT ada menerangkan di dalam Al-Quran bahawa solat dapat memberi kesan terhadap pembersihan diri dan mengawal diri dari terjerumus ke dalam lembah kehinaan. Firman Allah Taala,” Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar”. Inilah pesanan yang sering diceritakan dan inilah yang dihajatkan dan diharapkan dari anak-anaknya. Iniah insyallah yang dicapainya.
Keluarga dan Didikan Anak-anak
Ayah sangat mementingkan didikan agama. Kami enam beradik dibesarkan dalam suasana penuh adab dan disiplin. Waktu solat adalah waktu keramat. Tidak kira sedang bermain, membaca atau menonton televisyen (jika ada), bila azan berkumandang, semua perlu berhenti.Ayah akan berdiri di depan kami dan berkata, “Kita tak tahu bila mati. Mungkin sekarang. Jadi jangan tangguh perintah Allah.” Saya juga mengikutnya ke kebun dan apabila sampai ke tebing, apabila masuk waktu zohor dia akandirikan solat diatas pasir di sungai. Dia tidak tunggu sampai kerumah untuk solat, masuk waktu dan ada ruang solat dia terus solat. Dihujung usianya, ketika saya membesar ayah sudah kurang merotan. Tidak seperti zaman abang-abang saya. Masa zaman saya membesar, ayah lebih menggunakan pandangan dan kata-kata yang membuatkan hati kami terima nasihat dan tunjuk ajar. Pernah suatu ketika saya bergaduh dengan Kak Norehan, ayah hanya pandang dan berkata, “Kalau Allah tarik kasih sayang antara kamu adik-beradik, siapa lagi akan sayang kamu nanti?” Kata-katanya menusuk ke hati dan kami terus berbaik. Saya sangat sayang dengan kakak dan adik.
Walaupun disini saya menceritakan hal peranan ayah sahaja, sebenarnya emak memainkan peranan yang sangat banyak membantu ayah. Hubungan ayah dan emak sangat rapat. Mereka seperti dua sayap burung — saling melengkapi. Ayah denganketegasannya, ibu dengan kelembutan. Ibu menjadi tempat kami mengadu. Ayah sering membiarkan emak menguruskan rumah, tetapi dalam perkara prinsip, ayah akan tegas. Mereka jarang bertengkar di hadapan kami. Bila ada masalah, mereka akan bercakap perlahan dalam bilik terutamanya pada sebelah awal pagi. Mereka akan berbual, saya hanya mendengar bualan mereka dipagi hari. Tabiat bangun pagi ayah dan emak dari muda hingga ketua.
Hari-hari Terakhir Ayah
Beberapa bulan sebelum pemergiannya, ayah semakin kerap berzikir. Beliau duduk lama selepas solat dan kadang-kadang termenung melihat pokok-pokok di halaman. Sayabertanya, “Ayah ingat siapa?” Jawabnya, “Ingat Tuhan. Sebab mungkin Dia dah jemput, cuma saya belum tahu tarikhnya.” Pada malam Jumaat itu, selepas solat Isyak, ayah mengadu sedikit penat. Kami selalu duduk bersama di lambor rumah dan ayah selalu bercerita dan saya selalu bertanya tentang masalah agama. Ketika hendak berguru dengan Shaykh AbdalQadir As Sufi di England, saya menceritakan ilmu tasawwuf yang diajar oleh Shaykh. Ayah memberi izin dengan berkata, “pergilah belajar dengan dia kerana ilmu itu ayah tidak mampu untuk mengajar”. Ayah meyakinkan saya. Saya tahu dia juga berguru dengan guru Tok Kenali dan murid-muridnya dan ayah tahu ilmu ini. Saya memeluk ayah dan mencium ayah dan saya ucapkan, “Terima kasih jaga saya dan bimbing saya selama ini.” Tak lama selepas ibu meninggal dunia, ayah menghembuskan nafas terakhir dengan tenangdi rumah kak Nehan di Kuantan, dalam keadaan tenang setelah bacaan yasin dilakukan sebanyak tiga pusingan. Orang kampung berpusu-pusu datang memberi penghormatan terakhir pada hari pengkebumiannya. Pemergian ayah benar-benar meninggalkan kekosongan dalam diri saya, namun juga meninggalkan warisan yang tidak ternilai. Bukan warisan harta benda, tetapi warisan nilai, prinsip, dan kekuatan rohani. Ayah adalahorang yang tidak banyak bercakap, tetapi setiap katanya penuh hikmah. Ketika mengadu kesusahan belajar, dia akan berkata, “Jangan berhenti, teruskan usaha. Kejayaan akan datang dengan sabar dan tawakkal.” Terdengar dengar suara ayah berpesan.
Saya ingin menutup memoir ini dengan satu harapan — agar anak-anak dan cucu-cucu saya tidak melupakan asal-usul. Ketahuilah bahawa apa yang kita miliki hari ini adalah hasil keringat dan airmata mereka yang datang sebelum kita. Ayah saya, Imam Haji Ismail, bukanlah seorang yang menuntut pujian. Tetapi saya ingin dunia tahu — bahawa seorang lelaki sederhana dari Kuala Tembeling ini telah mencipta dunia yang besar di hati kami semua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ayah dan emak.Semoga Allah menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh, diluaskan kuburnya, dan dikurniakan Syurga Firdaus. Amin Ya Rabbal Alamin.
Kenangan Tangisan dan Kayu Api
Dalam kehidupan yang kita lalui setiap hari, terlalu banyak peristiwa yang berlaku, namun tidak semuanya dicatat atau diabadikan. Kita bukan seperti masyarakat Barat yang tekun menulis diari harian mereka. Dalam budaya kita, mencatat kenangan atau peristiwa seharian bukanlah amalan biasa. Lalu, banyaklah momen penting yang hanya hidup dalam ingatan, dan akan hilang bersama berlalunya usia jika tidak ditulis. Apabila saya cuba mengimbau kembali kenangan bersama ayah, terasa kesal kerana tidak menulis semua itu selepas peristiwa ituberlaku. Namun, ada peristiwa yang begitu kuat terpahat dalam memori, sehingga tidak mungkin dilupakan – peristiwa yang membentuk diri saya menjadi diri saya hari ini.
Salah satu kenangan paling awal dan paling kuat kesannya ialah ketika saya bersekolah di Sekolah Inggeris Jerantut. Suatu pagi, emak terlewat mengejutkan saya untuk kesekolah. Tidak Tahu mengapa emak lambat bangun. Emak selalunya dikejutkan dengan tempikan semboyan keretapi yang singgah di stesen Kuala Tembeling damam pukul 5 pagi. Biasanya emak bangun dulu dan saya juga akan bangun awal, bersiap, bersarapan dan berjalan kaki menuju stesen bas di Kuala Tembeling. Tetapi pagi itu, saya bangun lewat.Dalam panik, saya rasa sudah terlambat dan pastinya bas sudah berlalu pergi. Saya ingat, ketika itu saya melenting marah kepada emak.Saya menangis bukan sekadar tangisan kecewa, tetapi lebih kepada kemarahan yang tidak terkawal – menuduh emak yang menyebabkan saya tidak dapat ke sekolah.Emak memujuk dengan lembut, berkata sempat lagi, tetapi saya tetap tidak percaya. Mengikut cerita emak saya terus menangis dan membentak. Apakah saya mencari dalih untuk terus tidak ke sekolah?
Ayah ketika itu berada di surau menunaikan solat Subuh. Sejurus pulang, dia melihat suasana kecoh di rumah. Seperti biasa, ayah tidak terus masuk campur. Dia diam, mendengar dengan tenang. Namun apabila saya berkeras mahu ponteng sekolah, ayah mula menampakkan perubahan wajah – dari sabar menjadi tegang. Dia memandang kearah saya, dia menyuruh saya bersiap dan pergi ke sekolah. Kata-katanya ringkas: “Kalau nak pandai, pergilah sekolah.”
Tetapi saya degil. Saya terus menangis menyalahkan emak, terus membrontak.Akhirnya ayah mula hilang sabar. Dia turun ke bawah rumah dan mengambil sebatang kayu api—kayu getah yang biasanya digunakan untuk memasak. Dengan itu dia naik semula dan mendekati cuba mendekati saya dengan kayu api.
Melihat situasi itu, saya terasa panik dan terus melarikan diri keluar rumah. Menurut ibu, saya terus menangis, kini bukan hanya kerana marah pada emak atau takut lambat ke sekolah, tetapi kerana takut akan kemarahan ayah yang tidak seperti biasa. Pengalaman dengan ayah, jika saya tidak melarikan diri, besar mungkin akan dibelasah dipukul dengan kuat oleh ayah. Itulah cara didikan orang-orang dulu. Bukan ayah saja yang berperangai begini, malah tidak menjadi kehairanan seorang ayah memukul anak. Saya berlari sejauh mungkin, melintasi kawasan kampung, hingga ke rumah Pak TehKadir dan terus ke rumah Pak Teh Yunan, sejauh hampir satu kilometer saya belari. Ayah dah tua, mesti kalah dengan saya bila belari. Ayah terus mengejar saya tanpa henti. Emak menjerit dari jauh, merayu: “Tak usahlah, bang Haji... biarlah dia... nanti dia pergilah...” Tetapi ayah tidak peduli. Dia mahu “mendidik”, dan baginya saya perlu diajar.
Saya masih ingat jelas, ketika saya menoleh ke belakang sambil belari iru, saya melihat kayu api itu melayang ke arah saya. Boleh dibayangkan lagi kayu itu berpusing-pusing di udara seperti dalam gerakan perlahan. Secara spontan saya mesti mengelak. Saya melompat sekuat hati, dan syukur, kayu itu meluncur tepat melepasi di bawah kaki saya dan tidak mengena. Kalau tidak, mungkin betis sayapatah. Saya akhirnya sampai ke rumah jiran dan bersembunyi di belakang emak yang mengejar dari jauh. Ayah terhenti, dan saya tahu dia tidak sampai hati meneruskan. Tetapi mesejnya sudah sampai—saya sedar saya telah keterlaluan. Saya sungguh insaf. Saya tidak hormat emak, saya bersalah. “Ami taksayang emak? Emak bertanya. Emak hanya mahu saya berjaya. Ayah mahu saya belajar menjadi manusia yang bertanggungjawab. Saya akhirnya dihantar juga kesekolah tanpa kompromi.
Itulah hari yang saya pelajari tentang ketegasan kasih seorang ayah. Dia bukan garang tanpa sebab, tetapi tegas pada tempatnya. Kata emak, “Ayah kamu jarang marah, tapi kalau marah, memang teruk ayah kerjakan.”
Malam Pelita dan Tasbih
Di rumah kami yang serba sederhana, ayah menjadikan pelajaran sebagai keutamaan. Tiada lampu elektrik pada waktu itu, hanya pelita kecil menjadi teman belajar di waktu malam. Selepas makan malam, saya diwajibkan duduk di meja belajar. Ayah akan duduk berdekatan—kadang-kadang di kerusi panjang, kadang-kadang di lantai, dengan tasbih di tangan, berzikir dalam diam sambil menunggu saya, abang dan kakak menyiapkan kerja sekolah.
Kadangkala dan abang hanya berpura-pura belajar, mata di buku tetapi fikiran di tempat lain. Namun kehadiran ayah cukup membuatkan saya rasa bertanggungjawab. Melihat kesungguhannya menunggu kami belajar. Saya tahu dia letih, tetapi dia tidak pernah tinggalkan saya sendirian setiap malam memastikan semua kerja rumah saya siapkan. Kadang-kadang saya lihat dia terlelap, tetapi dia tetap di situ, sebagai tanda sokongan dan harapan. Ayah tidak pernah menjerit-jerit menyuruh belajar, cukup dengan pandangan dan kehadiran senyapnya. Itu sudah cukup untuk membuat saya dan adik beradik lain sedar bahawa pelajaran adalah jalan keluar dari kehidupan susah, dan jalan untuk membanggakan ayah dan emak. Ayah seringberpesan, anak-anak mesti lebih baik daripada ayah dalam pelajaran. Pelajaran adalah masa depan. Selalu juga diselitkan panduan agama ketika menasihati kami. Jangan jadi macam ayah! Maksudnya tidak ada sijil dan pelajaran formal.
Matematik dan Kenakalan Kecil
Harap tidak keterlaluan jika saya katakansaya cemerlang dalam pelajaran disekolah dikampung, terutamanya dalam subjek Matematik. Ramai kawan-kawan kampung datang ke rumah untuk belajar bersama. Ada serlalu juga yang meminta saya buatkan kerja rumah mereka. Mereka sanggup membayar sepuluh sen untuk saya buat kerja rumah. Ini kadang-kadang berlaku. Ayah tak tahu. Kalau dia tahu pasti saya dimarahinya. Walaupun sepuluh sen —ia satu jumlah yang besar untuk seorang budak kampung ketika itu. Akhirnya ayah tahu juga perbuatan itu. Dia terus melarang mengambil upah kerana kerja sekolah haruslah dibuat sendiri. Tapi saya ini budak nakal dan agak degil—dan terus menerima “upah kecil” itu sebagai belanja tambahan.Namun, dalam proses itu, saya semakin cekap menyelesaikan masalah matematik, kerana saya ulang buat matematik untuk kawan banyak kali. Makin banyak saya menolong kawan-kawan membuat matematik, saya menjadi lebih cekap kerana itulah cara untuk cekap matematikdengan membuat banyak latihan, latih tubi dan menerangkan apa yang kita faham kepada orang lain.
Saya tidak pernah lupa bagaimana zaman dahulu, pelajar yang tidak siapkan kerja rumah akan dimasukkan ke dalam bakul sampah oleh guru. Saya tidak mahu itu terjadi kepada rakan-rakan, jadi saya bantu mereka. Ayah tidak setuju cara itu, tapi dia tahu niat saya tidak jahathanya untuk menolong kawan. Dia tetap memuji kerajinan saya dalam belajar.
Keputusan Peperiksaan Membanggakan
Tahun 1971 adalah tahun penting. Dalam Darjah Lima, kami disekolah rendah mengambil Peperiksaan Penilaian Darjah 5, peperiksaan yang pada waktu itu dianggap biasa-biasa sahaja. Sekolah kami pun hanya memberitahu sehari sebelum peperiksaan. Kami hanya diminta menyusun meja di bilik darjah sebelum balik tengahari—langsung tidak ada penekanan tentang pentingnya ujian itu. Namun, tanpa disangka, saya mendapat keputusan yang agak baik malah terbaik dalam kelas ketika itu, iaitu —3A dan 2B—dan hanya dua atau tiga orang pelajar sahaja di sekolah yang mendapat keputusan sebegitu.
Emak ayah sangat bangga. Wajahnya bersinar kegembiraan apabila saya memberitahu. Itu antara detik-detik yang saya rasa benar-benar membahagiakan ayah. Dia tidak peluk saya secara dramatik, tetapi senyum dan matanya menceritakan segala-galanya.
Setahun kemudian, satu lagi peristiwa besar berlaku. Saya dipanggil oleh guru besar ke pejabat. Beliau memberitahu saya telah mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains Pahang—sekolah berasrama penuh. Namun surat tawaran itu perlu disahkan oleh ayah sebelum tengah hari. Waktu itu, jam sudah hampir 9 pagi, saya terus pulang ke rumah dengan menaiki kereta teksi sapu. Rumah saya sejauh 12 batu daripada sekolah dan tidak ada bas regular. Nasib baik pemandu kereta sapu itu saya kenal. Apabila sampai di rumah, rumah sunyi. Ayah dan emak ke kebun. Saya jadi cemas. Saya dimaklum Wan Aminah, emak ayah pergi ke kebun Doja dan saya terus turun ke sungai, mendayung perahu ke seberang, memanjat bukit di tengah hutan untuk mencari mereka. Hutan itu tidak sunyi—ada bunyi unggas, ada kemungkinan binatang buas. Tetapi terus menjerit memanggil ayah dan emak. Dengan jeritan itu juga diharap menghalau binatang buas.
Akhirnya, suara saya disahut. Saya berlari pantas ke arah suara itu dan apabila tiba, saya melihat wajah ayah dan emak terkejut, pucatmelihat saya dengan baju sekolah. “Kenapa?” tanya ayah. Apa dah jadi? Siapa mati? Ada kemalangan ke?. Saya mendekati dan berbisik: “Ayah, saya dapat masuk ke sekolah asrama penuh. Cikgu nak ayah datang sekarang juga ke sekolah, kena tandatangan surat. Surat terimatawaran itu wajib dihantar hari ini juga”. Ayah terpaku! Dia memeluk saya, satu pelukan kasih sayang seorang ayah. Saya tidak akan lupa pelukan itu. Wajahnya berubah menjadi sayu. Saya tahu, dia bangga. Kami bertiga segera pulang. Dalam perjalanan menuruni bukit, ayah bertanya siapa lagi yang dapat tawaran. Saya jawab, setakat yang saya tahu, hanya saya seorang dari Kuala Tembeling. Ayah diamseketika, kemudian tersenyum lebar. Terbayang ayah bersyukur.
Di sekolah, Mr Sohan Singh Guru Besar menyambut kami dengan ucapan tahniah. Ayah setuju untuk melepaskan saya ke sekolah asrama penuh. Dia menandatangani borang itu dengan yakin di depan guru besar, dan memuji pihak sekolah yang telah mendidik saya. Sebelum pulang, emak sempat berpesan supaya membeli barang-barang keperluan di Jerantut. Hari itu menjadi hari yang paling membanggakan dalam hidup saya dan dalam hidup ayah juga. Ia menjadi titik tolak kepada perjalanan pendidikan saya yang seterusnya, dan segala yang saya capai hari ini.
Ayah bukan orang yang banyak bercakap. Tetapi tindakannya adalah bahasa kasih sayang yang dalam. Daripada membiarkan saya belajar di bawah cahaya pelita, kepada mengejar aku kerana terlalu degil, hingga memeluk saya di tengah kebun ketika mendapat berita gembira—semua itu adalah manifestasi cinta ayah kepada saya. Kini, apabila saya renungkan semua itu, saya sedar – ayah bukan sekadar seorang bapa, tetapi juga guru, pemimpin dan pendorong utama dalam hidup saya dan adik beradik yang lain. Segala kejayaan saya bermula dari pelita kecil di rumah kampung, dari tangan ayah yang memegang tasbih, dari doaemak yang tidak pernah putus. Walaupun tidak tercatat dalam diari, tetapi kenangan ini kekal terukir dalam hati, dan kini diabadikan dalam catatan sebuah memoir agar tidak hilang ditelan masa.
Kesimpulan
Secara ringkasnya bolehlah saya katakana keluarga saya adalah madrasah pertama tempat saya belajar tentang kehidupan — di situlah saya memahami erti kasih sayang, hormat, tanggungjawab, dan ketabahan. Didikan ibu bapa yang tegas tetapi penuh hikmah menjadi pelita yang memandu langkah saya, walaupun jalan kadang-kadang gelap dan penuh liku. Mereka mengajar bahawa rezeki bukan hanya datang dari usaha, tetapi juga dari keberkatan doa dan keikhlasan hati.
Pendidikan awal pula menjadi jambatan yang menghubungkan impian kecil saya kepada cita-cita yang lebih besar. Di bilik darjah, saya mempelajari ilmu; di rumah, saya mempelajari makna ilmu itu. Setiap guru yang mendidik, setiap rakan yang memberi persaingan sihat, dan setiap ujian yang dilalui telah membina keyakinan untuk melangkah lebih jauh.
Apabila saya menoleh ke belakang, saya melihat dua tiang yang kukuh — keluarga dan pendidikan — yang memegang teguh bangunan kehidupan saya -nasihat menasihati menjadi tunjang pembentukan keluarga. Dan apabila saya menoleh ke hadapan, saya melihat pintu-pintu baru yang terbuka, menunggu untuk diterokai dengan bekalan nilai yang telah diasuh sejak kecil.
No comments:
Post a Comment