Assalamualaikum w.b.t.
Saya menyusun sepuluh jari memohon keampunan dari Allah s.w.t di atas kealpaan untuk sentiasa mengingatiNya. Saya memohon kehadrat Illahi untuk merahmati pengunjung blog ini dan mengambil apa sahaja maklumat serta ilmu yang bermanfaat. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah s.w.t. dan segala kekurangan adalah dari saya sebagai hamba yang sentiasa memohon keampunanNya.
Artikel kali ini akan membincangkan sedikit tentang ilmu tasawuf. Dalam zaman
Rasulullah s.a.w. serta zaman para sahabat, Islam itu diamalkan keseluruhannya
tanpa mengkategorikan bidang ilmu itu kepada ilmu tauhid, ilmu feqah dan ilmu
tasawuf. Kita semua tahu bahawa Islam yang disampaikan kepada baginda Rasulullah s.a.w
adalah dalam bentuk yang sempurna dan tidak dipisah-pisahkan. Apa yang sampaikan kepada baginda Rasulullah
s.a.w terus manjadi amalan dan panduan hidup sebagai seorang manusia yang taat
kepada perintah Allah s.w.t., menjadi hamba yang hanya mengbadikan diri kepada
Allah s.w.t. dan menjauhkan diri daripada menyembah selain daripada Allah
s.w.t. semata-mata. Islam adalah agama amalan.
Setelah Islam berkembang keserata dunia, maka ramailah dikalangan mereka yang bukan berbangsa Arab telah menerima ajaran suci Islam ini. Para ulama dan cendikiawan Islam telah membahagikan atau mengkategorikan ilmu atau muamalat Islam ini kepada apa yang dikenali sekarang ini iaitu ilmu tawhid iaitu bidang ilmu yang bersangkutan dengan iktiqad (pegangan dan kepercayaan); ilmu feqah adalah skop ilmu yang berkaitan dengan ibadah dan kemasyarakatan dan ilmu tasawuf pula merupakan bidang ilmu yang bersangkutan dengan budi pekerti dan akhlak sebagai seorang Muslim dalam menjalankan penghidupan sebagai hamba Allah yang tulin.
Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak akan kupasan ilmu tasawuf yang diberikan oleh seorang guru mursyid, iaitu Shaykh AbdalQadir As-Sufi. Dalam satu ceramah mengenai subjek tasawuf, beliau mengingatkan kita umat Islam supaya berpegang teguh kepada
tawhid, iaitu mengesakan Allah s.w.t. Ini adalah suatu perbuatan bukan suatu konsep. Beliau berkata,” Saya mahu melihat
perkara tawhid ini difahami dengan teguh (kuat), kerana ini adalah
asas Deen (agama Islam) dan menjadi asas Tariqa (jalan) orang-orang yang mahukan ilmu Allah
Subhanahu wa Ta'ala”. Sesungguhnya ilmu ini disahkan pentingnya melalui pesanan Allah s.w.t. dalam Surah Ali Imran ayat
ke 18 yang diterjemahkan sebagai, “Allah
bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia seperti yang dilakukan oleh para
malaikat dan orang yang menegakkan keadilan pengetahuan.". Ketahulah bahawa ini adalah satu pengisytiharan
yang amat penting dimana manusia berikrar akan keesaan Allah Subhanahu wa
Ta'ala. Suatu perkara yang juga telah
disahkan dan diikrarkan oleh para malaikat dan orang yang mempunyai ilmu
pengetahuan dan menegakkan keadilan.
Inilah yang diingatkan oleh Shaykah AbdalQadir bahawa pengisytiharan
mengEsakan Allah ini menjadi pokok utama dalam ilmu tasawuf. Saya ingin mengajak pembaca untuk mempelajari ilmu tasawuf yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ilmu Tasawuf
adalah ilmu yang bersumberkan kepada kitab Al-Quran dan al hadis sepertimana
firman Allah s.w.t. dalam surah As-Syam, ayat 9 dan 10 yang diterjemahkan
seperti berikut,” Sesungguhnya amat beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya
(hatinya). Dan amat rugilah orang yang
mengotori jiwa (hatinya). Juga sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,”Sesungguhnya
di dalam diri anak Adam ada seketul daging.
Apabila baik daging tersebut maka baiklah seluruh anggotanya. Apabila buruk daging tersebut maka buruklah
seluruh anggotanya. Ketahuilah, iatulah
hati" – riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman Basyir r.a..
Di sini kita dapati orang yang berilmu menerima
ikrar ini dan tanda kepada seseorang itu berilmu adalah mereka ini menegakkan
kebenaran. Bagaimana agaknya keadaan
sekarang ini apabila kita melihat mereka yang bergelar “ulama” tidak menegakkan
kebenaran, mereka tidak bersuara untuk menegakkan kebenaran. Menurut Shaykh Abdalqadir, barang siapa yang tidak
mampu menegakkan keadilan, maka tidak layak untuk dia berbicara tentang ilmu
tawhid. Seseorang itu tidak boleh
dikatakan sebagai orang berilmu tawhid dan mengajar ilmu ini sekiranya mereka
ini tidak menegakkan keadilan, mengisytiharkan segala tingkah laku yang betul untuk
manusia amalkan mengikut apa yang telah diajar oleh agama.
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Berkuasa,
lagi Maha Bijaksana." Apa yang disampaikan dan ditunjukkan oleh ulama 'dan
muhaqqiqun mengenai perkara tawhid ini adalah betul dan benar. Mana-mana pengajaran selain daripada mengEsakan
Allah s.w.t. akan membawa kepada kepincangan dan kelemahan di dalamnya. Pengisytiharan
ini adalah satu kebenaran. Oleh itu
hendaklah kita tegakkan kebenaran ini.
Bahagian 1
Tawhid ada tiga aspek utama atau tiga peringkat
utama. Peringkat pertama adalah dari
aspek orang kebanyakan atau “the common people”. Aspek ini berasaskan kepada deklarasi
syahadah iaitu, “Ash-hadu an
la ilaha illallah wa ash-hadu anna Muhammadun- Rasulullah”, iaitu mengucap dua kalimah Syahadah,”Sesungguhnya
tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah”. Ini adalah asas pertama sesorang itu menerima
Islam atau untuk diterima sebagai seorang Muslim.
Shaykh Abdalqadir mentakrifkan aspek kedua kepada golongan
elit (istimewa) atau kumpulan khas dan pembahagian ini berasaskan kepada kenyataan
(realities), dan berasaskan kepada kebenaran (haqa’iq). Apakah yang dimaksudkan golongan elit ini
adalah mereka yang berilmu yang telah dibuka pintu hati untuk menerima ilmu
daripada Allah s.w.t. yang kita namakan ‘ilm
al-Laduni, ilmu yang diterima ‘secara lagsung’ daripada Allah s.w.t. dan mereka
ini mempunyai ilmu yang tinggi mengenai tasawuf. Mereka ini sering kali dikenali sebagai golongan
khass atau elit. Ahli sufi membahagikan
manusia kepada tiga aspek – golongan kebanyakan, golongan elit dan gologan elit
daripada elit (khass al khass).
Aspek ketiga dalam ilmu tawhid ini adalah golongan
khass al khass atau elit dikalangan elit dengan ilmu mereka ini berasaskan pada
prakejadian makhluk. Aspek ilmu yang diasaskan pada sebelum adanya
kejadian, pada realiti yang tulin, mutlak kewujudan Allah,
Subhanahu wa Ta'ala. Apabila Rasulullah s.a.w.
telah ditanya tentang apa yang sebelum penciptaan alam semesta, dia berkata,
"Allah Ada, dan tidak ada yang lain dengan-Nya," dan apabila Imam
Junayd telah ditanya tentang perkara ini beliau hanya menambah, "Dia sekarang,
sebagaimana Dia sebelumnya."
(Bersambung........from Prof Dr Zuhaimy Ismail)
2 comments:
Assalamualaikum prof...di manakah smbungan article ini.berminat mengikuti penerangan prof.terima kasih
subhanallah, lama saya tidak melawati blog saya..maaf lambat menjawab
Post a Comment