Rencana
dan Pendapat –
Akhbar Sinar Harian
Saya berpengalaman meminta
pelajar di Universiti Teknologi Malaysia yang mengikuti kursus “havard business
school case study” untuk memberikan takrifan wang. Tujuan saya hanyalah untuk mengetahui sejauh
mana pelajar kita mengerti apa yang dikatakan wang. Adakah anda sendiri dengan yakin dapat memberikan
takrifan wang. Cuba renungkan seketika
sebelum terus membaca artikel ini.
Pelbagai
jawapan yang diterima daripada peserta kursus tetapi semuanya tidak menepati
takrifan wang. Ramai yang terkejut
dengan soalan yang dikemukakan dan ramai yang merasakan mereka patut tahu
tentang wang tetapi mereka terima hakikat bahawa mereka tidak tahu atau tidak
jelas apa itu wang. Mereka sedar bahawa
mereka selama ini tidak ambil peduli tentang takrifan wang dan hanya ‘take for
granted’ sahaja dalam bahasa Inggeris.
Mereka tidak ambil peduli kerana merasakan itu adalah pengetahuan umum
yang jelas. Malangnya apa sebenarnya wang
itu begitu ramai yang tidak jelas.
Duit
adalah sesuatu barang yang digunakan untuk mendapatkan
barang yang diinginkan. Umpamanya kita
mahu beras yang tidak kita usaha sendiri maka duit digunakan dan begitu juga
duit digunakan untuk membayar upah membersih kereta. Oleh itu, duit itu adalah sesuatu
yang digunakan sebagai alat tukar.
Sejarah menunjukkan bahawa manusia telah menggunakan pelbagai jenis
barang sebagai duit seperti kulit
kerang, garam, rempah, timah, emas dan sebagainya. Berbagai jenis barang yang berguna dan
bernilai boleh dijadikan alat pertukaran.
Mengikut
hukum Islam, tidak ada barang yang boleh dipaksa sebagai satu-satunya barang
niaga yang boleh digunakan sebagai wang.
Imam Malik mentakrifkan wang sebagai “apa sahaja barang yang diterima
pakai secara umum sebagai alat pertukaran’.
Ini bermakna bahawa manusia itu bebas untuk memilih apa sahaja barang
niaga sebagai alat pertukaran. Sejarah
menunjukkan bahawa jika manusia diberi kebebasan untuk memilih, mereka akan
memilih emas dan perak sebagai wang.
Di
seluruh dunia kini menggunakan duit kertas yang tidak ada
nilai sebagai barang niaga. Nilai yang
ada pada kertas itu hanyalah ‘nilai paksa’ atau
‘hutang janji’ melalui undang-undang yang ditetapkan
oleh sesebuah negara. Walaupun sekeping kertas itu disandarkan kepada kekayaan
sebenar seperti emas dan perak, kertas tersebut tidak boleh digunakan sebagai
matawang kerana mengikut hukum Islam,
hutang tidak boleh digunakan sebagai alat pertukaran. Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta, no 44 ada
menyatakan, “ Yahya meriwayatkan daripada Malik bahawa dia ada mendengar bahawa
resit telah diberikan kepada orang pada zaman Marwan ibn al-Hakam untuk
mendapatkan barang daripada pasar di al-Jar.
Orang
membeli dan menjual resit dikalangan mereka sebelum mengambil barang yang
dibeli atau dijual. Zayd ibn Thabit dan
seorang sahabat Rasulullah s.a.w. pergi menemui Marwan ibn al-Hakam dan
berkata,”Marwan! Adakah kamu menghalalkan riba?
Dia berkata, Aku memohon perlindungan Allah! Apa ini?, Dia berkata,”Resit
ini [sukuukun] yang orang gunakan untuk jual beli sebelum menerima
barangan”. Marwan telah menghantar
pengawalnya untuk mengikuti mereka dan mengambil semua resit yang diedarkan dan
mengembalikan resit tersebut kepada tuan masing-masing.”
Wang kertas sekarang ini adalah resit,
wang janji. Wang kertas sekarang ini
adalah hasil daripada proses perubahan daripada emas kepada kertas yang
mewakili emas, kepada kertas yang diberi nilai oleh sesebuah negara yang disandarkan
kepada emas sehinggalah kepada keadaan sekarang ini di mana wang tidak lagi
disandarkan kepada apa-apa selain janji yang diberikan oleh sesebuah
pemerintah. Malah sekarang ini wang
bukan lagi kertas tetapi unit pada skrin komputer.
Ciptaan wang kertas bukan dari rekaan
dan sumbangan umat Islam atau datang daripada umat Islam. Wang ini diperkenalkan kepada umat Islam di
Malaysia dan di seluruh dunia Islam melalui penaklukan bumi umat Islam dan
tekanan intelektual oleh orang-orang kafir.
Proses ini dilakukan dengan bantuan
golongan munafikun dan pengkhianat di kalangan umat Islam. Mereka ini ada di zaman dahulu dan ada juga
di zaman kita sekarang dan mereka yang mengkhianati umat Islam ini insyallah
akan menerima seksaan jauh lebih teruk daripada orang kafir. Mari kita lihat
peranan wang dan sistem kewangan yang ada sekarang.
Allah s.w.t memberi peringatan dalam
ayat, “Sesungguhnya pada yang demikian
itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai kalbu atau
menggunakan pendengarannya sedang dia menyaksikannya”, Surah Al-Qaaf ayat
37. Nilai wang kertas bukan
ditentukan oleh sesebuah kerajaan tetapi ‘kuasa’ pasaran.
Turun naik nilai sesuatu matawang kertas
adalah hasil perdagangan matawang yang dilarang dalam agama kita. Cuba renungkan dan sama-sama berfikir dan
bertanya adakah umat Islam terus mahu mengekalkan wang yang tidak mempunyai
nilai intrinsik ini.
Rasanya sudah sampai masa umat Islam
mengambil apa yang pernah di amalkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabah
iaitu emas dan perak. Banyak negara yang diberikan kemerdekaan tetapi mereka
tidak dapat menentukan nilai matawang negara masing-masing!
Dalam penghidupan bermasyarakat, sudah
pasti kita perlukan pertukaran barangan atau perkhidmatan dan wang merupakan
alat yang digunakan sebagai agen pertukaran tersebut.
Wang digunakan bagi membolehkan
masyarakat mendapat manfaat daripada pembahagian buruh dan kepakaran dalam
pengeluaran. Kita tahu bahawa manusia
tidak sama dari segi kebolehan, kepakaran, harta dan kekuatan. Manusia akan berjaya dalam hidupnya dengan
menumpukan kepada kekuatan yang ada padanya.
Pertukaran kebolehan seseorang dengan
hasil pertanian misalnya. Melalui
pertukaran begini, masyarakat berkembang dan dapat menikmati penghidupan yang
lebih sempurna. Aktiviti ini adalah asas
ekonomi masyarakat dan pembangunan sosial.
Oleh itu pertukaran hasil pengeluaran
dan kebolehan seseorang amat diperlukan. Secara prinsipnya, kebaikan dalam
pengeluaran barangan tertentu boleh dimanfaatkan dengan membuat pertukaran
barangan secara langsung.
Proses pertukaran barangan ini dikenali
sebagai “barter trade” tetapi kaedah ini
mempunyai banyak kelemahannya. Sekiranya
barang dan perkhidmatan tidak ditukarkan dan dijual untuk wang, ianya perlu
ditukarkan dengan barang yang lain. Jika
seseorang itu ingin memanfaatkan kebolehan istimewanya, katalah mengeluarkan
jagung, maka beliau perlu mencari seseorang supaya dia boleh membuat pertukaran
(barter) pengeluaran jagung berlebihan dengan barang keperluan harian seperti
barangan bangunan, baju, daging dan sayuran.
Oleh itu, jika seseorang itu memerlukan
sesuatu barang untuk dirinya, beliau perlulah terlebih dahulu mencari seseorang
yang mempunyai barangan tersebut dan orang itu bersedia untuk barangan tersebut
ditukar dengan jagung yang dimilikinya.
Kedua-dua pula perlulah bersetuju dengan kuantiti dan kualiti barang
yang ditukar.
Ini menjadikan pertemuan di antara dua
individu yang mempunyai barangan yang berlainan dan saling memerlukan untuk
pertukaran dan pada waktu yang sama bersetuju dangan kuantiti pertukaran
amatlah kecil kebarangkaliannya. Sebab
itulah wang sangat diperlukan.
Sejarah awal wang mendapati masyarakat
menggunakan berbagai-bagai komoditi sebagai wang. Di zaman moden rokok juga pernah digunakan
sebagai alat pertukaran bagi perkhidmatan dalam penjara di kalangan
banduan.
Logam bernilai (precious metal) sentiasa
mendapat perhatian umum sebagai alat pertukaran terbaik dan mengambil bentuk
wang dan dengan ini terbentuklah wang syiling.
Syiling negeri Cina ditemui digunakan lebih daripada 2.5 ribu tahun,
perak dijadikan wang syiling di Dunia Hellenic
pada kurun ke-8 sebelum Masehi. Malah
wang syiling digunakan secara meluas di Britain sebelum datangnya orang-orang
Roman.
Seperti mana yang dikatakan di atas dan
sejarah menunjukkan bahawa manusia telah mencuba atau menggunakan
berbagai-bagai benda untuk dijadikan alat pertukaran atau agen pertukaran.
Kalau tidak ada kuasa luar yang
menentukan dan memaksakan sesuatu itu menjadi wang, manusia akan memilih benda
yang mempunyai nilai intrinsik.
Nilai intrinsik bermaksud bahawa benda
itu bukan sahaja mempunyai nilai sebagai barang tukaran tetapi mempunyai
nilainya tersendiri, suatu komoditi yang diperlukan (seperti makanan,
peralatan).
Ianya boleh digunakan bagi mendapatkan
barangan lain dan memenuhi keperluan psikologi sebagai contoh logam emas, perak
dan kupram. Barangan yang mempunyai
nilai intrinsik boleh dikatakan sebagai barangan yang sukar diperoleh atau
tidak terlalu banyak dan tidak cukup untuk memenuhi permintaan.
Untuk mendapatkan sesuatu barang
tersebut, memerlukan perbelanjaan yang agak besar atau dengan darjah kesukaran
yang agak tinggi. Logam berharga
mempunyai ciri yang dikatakan. Barang
yang kita boleh diperoleh dengan mudah seperti pasir, air bagi masyarakat yang
tinggal di tepi sungai atau tasik tidak akan dapat memberikan ‘nilai’
ekonomi. Jika diteliti, kita boleh buat
beberapa kesimpulan mengenai sifat-sifat barang yang boleh dijadikan alat
pertukaran seperti bersifat ketahanan, bekalan stabil, keseragaman, bolehbahagi
dan mudahalih
Sifat tahan lasak pada sesuatu benda itu
merupakan sifat utama untuk barang itu boleh dijadikan matawang yang digunakan
untuk menyimpan nilai. Oleh kerana
terdapatnya selang masa di antara sesuatu pendapatan dengan perbelanjaan, tidak
ada pedagang atau pengusaha sanggup untuk menyimpan sesuatu yang akan susut
asetnya dalam masa pegangannya.
Oleh itu makanan yang mudah reput adalah
contoh benda yang tidak tahan disimpan, dan nilainya akan berkurangan setiap
hari. Logam seperti emas dan perak
adalah logam yang sesuai sekali digunakan kerana nilai dan kuantitinya tidak
susut sedikitpun.
Oleh kerana pemegang tidak mahukan
wangnya menyusut nilai atau kurang nilai dalam selang masa, apakah kedudukan
wang kertas yang diberi nilai dan sentiasa disusut nilai oleh spekulasi dan
riba.
Sesuatu benda yang boleh digunakan sebagai alat pertukaran
mestilah berupaya menyimpan nilai dan bekalan barangan mestilah stabil dan
mempunyai permintaan. Ini bermakna
barang tersebut tidak berubah turun-naik dengan banyak dibandingkan dengan
purata barangan lain.
Barang keluaran pertanian misalnya tidak
sesuai kerana banyak bergantung kepada perubahan cuaca, kerana cuaca buruk akan
menyebabkan kekurangan pengeluaran dan kurangnya pengeluaran akan meningkatkan
harga dengan mendadak sementara cuaca baik dan pengeluaran banyak akan
membuatkan nilai hasil pertanian ini susut nilai.
Oleh itu, jika manusia diberi kebebasan
memilih maka mereka tidak akan menggunakan wang kertas yang nilainya bergantung
kepada faktor luaran yang tidak terkawal.
Barang yang boleh dijadikan matawang
seharusnya mempunyai sifat keseragaman.
Keseragaman ini juga mestilah mempunyai sifat ketahanan yang seragam
juga. Sebab itulah hasil pertanian tidak
boleh digunakan sebagai matawang.
Logam boleh digunakan sebagai matatawang
dan logam dipotong mengikut ukuran seragam tertentu untuk dijadikan matawang
dan alat pertukaran. Logam seperti
emas dan perak telah diterima pakai oleh masyarakat dulu kala sebagai matawang
kerana mempunyai sifat yang seragam.
Logam ini tidak berubah sifatnya dan
keseragamannya walau apa yang dilakukan terhadapnya. Logam emas walau dibakar dan dicairkan
mempunyai keseragaman dari segi sifatnya.
Apakah yang akan terjadi kepada wang kertas jika dibakar, dikoyak
dilakarkan gambar diatasnya?
Sesuatu benda yang hendak dijadikan
matawang seharusnya bersifat boleh bahagi iaitu boleh dikecilkan kepada
beberapa bahagian. Jika kita ambil
contoh kulit kerang tadi, walaupun ianya mempunyai sifat keseragaman, tetapi
tidak boleh dibahagi-bahagikan kepada unit yang lebih kecil.
Ini bertujuan supaya memudahkan proses
pertukaran kerana wang sebenarnya hanyalah suatu alat pertukaran dan tidak
lebih daripada itu. Oleh itu jelas
bahawa logam seperti emas dan perak menjadi pilihan utama umat manusia untuk
dijadikan matawang. Emas atau perak
dibentuk menjadi kepingan wang yang boleh dibahagikan kepada dua mengikut
separuh ukuran berat atau seterusnya dibahagikan kepada bahagian yang lebih
kecil.
Bagaimana pula dengan kertas? Apakah yang dibahagikan pada wang kertas
adalah nombor. Kos untuk mencetak 1
dolar Amerika ialah 4 USCent, kos mencetak 20 dolar Amerika juga adalah 4
USCent? Sekeping kertas yang sama tetapi
nilainya berlainan. Bukankah ini suatu
silap mata? Satu sama dengan dua puluh!
Salah satu sifat yang harus ada pada
barang yang akan digunakan sebagai matawang adalah bersifat mudahalih. Oleh itu, sejarah menunjukkan bahawa garam
pernah digunakan sebagai matawang kerana ianya mudah alih bagi kuantiti yang
kecil.
Masyarakat memilih logam seperti emas
dan perak sebagai bahan yang amat diminati dan sukar diperolehi tetapi bersifat
mudahalih. Kertas menjadi pilihan
masyarakat kerana kertas bersifat mudahalih.
Tetapi yang menjadi masalah adalah nilai
kertas itu diberikan oleh orang ketiga yang tidak ada langsung hubungan dengan
urusan pertukaran antara dua individu.
Tambahan lagi wang kertas tidak dapat bertahan dengan masa.
Di zaman sekarang ini kita dapati pada
asasnya wang kertas disimpan oleh bank yang berperanan menjaga keselamatan,
kuantiti dan kualiti nilai. Pihak bank
mungkin boleh menjaga kuantiti kerana institusi tersebut dapat mencetak wang
tanpa sandaran. Kita semua tahu bahawa
wang kertas akan susut nilai mengikut masa.
Kualiti wang kertas tidak boleh
dijamin lagi. Sistem bank atau atas nama apapun sebenarnya sudah gagal
berfungsi. Ini seolah-olah peti besi tukang emas (bank) sudah dicerobohi.
Penceroboh seperti spekulator matawang telah berjaya mengikis nilai wang dan
pihak bank juga 'mengikis' nilai wang dengan mencetak wang berlebihan.
Ada yang cuba mengatakan nilai ini
hilang kerana inflasi tetapi Adam Smith di dalam bukunya Paper Money mengatakan inflasi bererti cukai tersirat yang
disebabkan oleh lebihan cetakan wang kertas - Adam Smith (1982).
Nilai wang tidak dapat ditetapkan
bahkan manusia melihat lambang wang pula sebagai barangan yang boleh dijual
beli. Akhirnya nilai wang tidak dapat
dikawal oleh kerajaan tetapi dikawal selia oleh hegemoni perbankan, pencetak
wang dan pemain-pemain bursa saham dunia dan spekulator.
Oleh itu dapatlah kita lihat betapa
bank Islam belum cukup jika tiada wang Islam iaitu dinar dan dirham. Wang Islam
bukan sekadar lambang tetapi pada hakikatnya memang wang tanpa perlu kepada
perundangan kerajaan atau mana-mana institusi.
Sekiranya manusia diberi kebebasan untuk memilih, mereka akan memilih
emas dan perak sebagai matawang.
No comments:
Post a Comment