Oleh
Prof. Dr. Zuhaimy Ismail
Akhbar The Star bertarikh 26 Februari 2013
mempamerkan satu berita survey yang dijalankan oleh Malaysian Productivity Corperation (MPC) dan Malaysian Employers Federation (MEF). Hasilnya menunjukkan bahawa pekerja Malaysia
bekerja lebih masa dibandingkan dengan pekerja dari negara seperti Singapura,
Amerika Syarikat, Hong Kong dan beberapa negara lain dengan produktivitinya
yang jauh lebih rendah. Pekerja Malaysia
menghasilan nilai produktiviti hanya sebanyak RM43,952 setahun manakala pekerja
Amerika Syarikat berjumlah RM285,558, Jepun bernilai RM229,568, Singapura
bernilai RM172,202 dan Korea Selatan bernilai RM122,083. Kadar pertumbuhan produktiviti negara kita
hanya pada tahap 4.55 peratus dan jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan
China dengan kadar produktivitinya 8.7%, Indonesia 5% dan India sebanyak
4.8%. Laporan akhbar ini juga melaporkan
bahawa masa bekerja yang produktif pekerja Malaysia hanyalah 4 jam, selebihnya
dihabiskan dalam jaringan social atau internet dan selebihnya untuk makan
tengahari, menghisap rokok, berbual, rehat dan berbual kosong. Benarkah statistik ini? Sejauh manakah relevannya statistik ini
dengan penghidupan kita sebagai seorang ahli akademik dan apakah ertinya
statistik ini kepada kita sebagai seorang pekerja. Sejauh manakah berkesannya sumbangan kita
dalam meningkatkan produktiviti negara? Sekiranya
kita ada sedikit kepercayaan terhadap statistik ini, eloklah kita sama-sama
fikirkan langkah yang boleh diambil oleh setiap individu untuk tidak menjadi
statistik pekerja tak-produktif.
Seterusnya,
mari kita lihat satu lagi statistiks yang dikeluarkan oleh TIMSS (Trends in
International Mathematics and Science Study) yang berpusat di Amerika
Syarikat. TIMSS ini adalah sebuah organisasi
antarabangsa yang telah mengkaji trend dan menilai tahap pencapaian atau
piawaian pembelajaran ilmu sains dan matematik sesebuah negara diseluruh dunia. TIMSS
bersama dengan The International Association
for the Evaluation of Educational Achievement
(IEA) telah membuat kajian terhadap pencapaaian bidang sains dan matematik yang
melibatkan murid tingkatan 2 di Malaysia.
Malaysia, melalui Kementerian Pendidikan terlibat dalam kajian ini
dengan tujuan untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran (p&p)
matematik. Sejauh mana tujuan ini
tercapai tidak ada siapa yang boleh memberi kepastian.
Mari kita sama-sama lihat akan statistiks yang dihasilkan melalui
kajian ini. Kajian yang dijalankan dalam
tahun 2011 telah mengambil seramai 5733 pelajar (responden) daripada 180 buah
sekolah di Malaysia. Hasilnya menunjukkan bahawa tahap pencapaian Sains dan
Matematik di Malaysia terus jatuh merudum iaitu menurun sebanyak 6.3 mata menurun
ketahap penurunan tertinggi selepas negeri Yemen. Malaysia menduduki tangga ke
57, lebih rendah daripada Thailand di tangga ke 52, United Kingdom di tangga ke
28, Finland di tangga ke 6, Singapura di tangga ke 2 dan Shanghai di tangga
teratas. Kedudukan Malaysia dalam Matematik
jatuh daripada kedudukan 20 dalam tahun 2007 kepada 57 dalam tahun 2011; Skor
purata Matematik kita jatuh daripada 474 pada tahun 2007 kepada 440 dalam tahun 2011. Hasil kajian menunjukkan trend
pencapaian dalam sains dan matematik menyusut tiga tahun berturut-turut.
Kita mungkin boleh mempersoalkan teknik pensampelan yang diambil
dalam kajian ini, kita juga boleh mempersoalkan responden yang dipilih dalam
kajian ini. Tetapi hasil kajian tetap
boleh di terima kerana kajian ini dijalankan seragam di seluruh dunia
menggunakan teknik pensampelan yang diterima pakai oleh International Institute of Statistics (IIS). Yang jelas adalah tahap pencapaian sains dan
matematik di kalangan pelajar kita masih rendah dan tidak boleh dibanggakan
lagi. Kenyataan ini boleh disokong
dengan statistik yang kita kumpulkan sendiri terhadap pencapaian matematik
dikalangan pelajar di UTM sendiri.
Kesalahan lazim yang dilakukan disekolah dibawa bersama pelajar ke
universiti. Fahaman konsep yang salah,
interpretasi teorem dan rumusan yang tidak tepat memberikan kesukaran bagi pelajar
diperingkat universiti untuk terus menguasai ilmu matematik yang lebih
mencabar. Malah ramai yang tidak tahu
akan ilmu matematik diperingkat universiti, apa peranannya dan apa tujuannya. Para ilmuan sains matematik tidak turun
padang untuk menyampaikan kepada guru dan pelajar sekolah bahawa ilmu matematik
diperingkat universiti adalah ilmu matematik professional, di mana pelajar
diajar ilmu ini untuk menyelesaikan masalah sebenar (real problem). Ilmu matematik professional ini perlu diberi
penjelasan dalam artikel yang akan datang.
Beberapa kajian telah dijalankan di Jabatan Sains Matematik untuk
mengenalpasti punca kelemahan pelajar dalam bidang matematik diperingkat
universiti. Kami dapati, kelemahan ini
bukan berpunca di universiti tetapi bermula diperingakt sekolah dan matrikulasi
lagi. Sebuah kumpulan telah dibentuk untuk
memantapkan ilmu matematik dikalangan guru dan pelajar disekolah. Matlamat kami adalah untuk menyediakan pelajar
dengan mindset dan ilmu matematik yang mantap untuk memasuki universiti dan
berhadapan dengan ilmu matematik professional.
Oleh itu, kami
berharap supaya kumpulan penyelidikan ini dimantapkan untuk dapat
menjelaskan atau menyelesaikan masalah kejatuhan prestasi matematik disekolah
dan juga diuniversiti seperti yang dinyatakan dalam kajian TIMSS baru-baru ini.
(Pendapat dalam artikel ini
bukan pendirian JSM tetapi milik penulis)
No comments:
Post a Comment