About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Wednesday, March 10, 2010

KeArah Merealisasikan Islamic Gold Dinar (IGD)

Assalamualaikum w.b.t.

Saya menulis artikel ini dengan tujuan untuk berkongsi aspirasi usaha mengembalikan dinar emas - wang umat Islam


Usaha untuk merealisaikan kembalinya dinar emas sebagai wang atau alat pertukaran mesti diteruskan. Apa yang boleh dilakukan oleh umat Islam sekarang ini sekurang-kurangnya memiliki dinar emas secara fizikal. Donominasi terkecil dinar emas yang ada sekarang adalah setengah dinar. Harga emas dalam Ringgit Malaysia atau dolar Amerika terus meningkat. Kuasa membeli wang kertas Ringgit dan wang kertas dolar Amerika terus menyusut. Jika dalam tahun 1997 sekeping dinar emas yang beratnya 4.25gram berharga antara RM190 hingga RM220, kini sekeping dinar emas yang sama sudah berharga antara RM450 hingga RM550. Barang siapa yang membuat keputusan untuk melabur atau menyimpan kekayaannya atau hartanya dalam bentuk dinar emas atau logam emas, mereka pasti tidak akan rugi.

Langkah Perlu

Peningkatan penggunaan emas dan dinar emas sangat penting bagi menjayakan usaha ini. Malah kita telah pastikan bahawa kunci kejayaan mengembalikan dinar emas Islam ini terletak pada pembentukan ekonomi baru, kekayaan yang dijanakan melalui perkembangan perdagangan secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran. Pembangunan ekonomi ini perlu dimulakan oleh umat Islam dengan memiliki dinar emas dan membangun kan tempat atau komuniti di mana dinar emas boleh digunakan. Walaupun untuk permulaan ini, ianya digunakan sebagai pembayaran zakat, simpanan, hadiah dan mas kahwin, seterusnya penggunaan seharian mesti lah digalakkan.

Dinar emas tidak dapat dipisahkan daripada perdagangan dan tidak harus dibiarkan kepada sistem perbankan atau institusi kewangan konvesional sahaja untuk melakukanya. Besar kemungkinan mereka akan mengecilkan peranan dinar emas itu. Kita tidak mahu perkara ini tersalah dilaksanakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mungkin hanya akan menggagal kannya. Pengenalan sistem ini akan mengembalikan peranan asal institusi bank hanya sebagai tempat menyimpan dan penjagaan keselama tan dinar emas itu sendiri.

Dengan adanya sistem wang alternatif ini ia akan memberi tawaran pilihan kepada masyarakat untuk memilih dinar emas atau sistem yang sedia dan bukan sesuatu yang dipaksa oleh undang-undang terhadap penggunaanya. Jika kita meletakkan keyakinan kita kepada Allah Subhanahuwataala, kita akan mempunyai segala apa yang kita perlukan dan kita tidak perlu bergantung kepada sistem kufar dan tidak perlu risau dengan apa yang mereka lakukan.

Sistem kewangan yang ada sekarang boleh dibaratkan melakukan kecurian wang kita dengan kebenaran kita. Kita membenarkan sistem ini untuk menyusutkan nilai wang walaupun semasa kita tidur, nasi lemak yang dibeli di sekolah dengan kuantiti dan kualitinya yang sama 20 tahun yang lalu, kini sudah bernilai lebih daripada 10 kali ganda. Kita membenarkan sistem menyusut nilai tanpa kita mempersoalkannya langsung.

Helah Kufar!

Kita umat Islam tidak mungkin membina sebarang kekuatan siasah, atau kekuatan kesatuan umat ke arah kuasa yang utuh selagi kita menerima sistem kewangan yang beroperasi di seluruh dunia sekarang ini sebagai benar atau betul. Para pemikir barat sendiri ramai yang mendedahkan keburukan ini. Yang memburukkan lagi keadaan ialah apabila umat Islam menyatakan bahawa sistem ini boleh diperbaiki dengan melabelkannya sebagai islamik!

Ada juga yang telah mula dan sanggup menyatakan bahawa kecurian yang dilakukan secara sedar ini juga sebagai Islamik! Waspadalah! Bagaimana kalau kita pergi ke kasino dan kita katakan kasino islamik. Mulai dari sini kita telah melahirkan satu agama Islam yang baru. Kita mesti menerima ketetapan kekuasaan Allah s.w.t. dengan 100% ketaqwaan kepadaNya dan beriman dengan la hawla wa la quwwata ila billah. Ini akan menjadikan kita umat yang berbeza suatu hari nanti, insyallah.

Bagaimana kalau kita umat Islam bersepakat untuk kembalikan semula wang kertas mereka ini dan katakan kepada mereka bahawa kita tidak mahu, sudah pasti mereka akan menjadi kelam kabut. Ada umat Islam kita, seperti di Indonesia yang hidup dengan pendapatan RM100 sebulan atau kurang. Keadaan begini memberikan mereka kebebasan dan sudah pasti untuk mereka kembali menggunakan dinar emas tidak langsung mendatangkan kerugian. Apa yang kuasa barat boleh lakukan? Mereka pasti tidak mampu untuk menghapuskan umat Islam semuanya. Jika umat Islam memilih untuk tidak menggunakan sistem kewangan kufar tidak sedikitpun merugikan, kerana sesungguhnya tidak ada apa yang boleh merugikan. Yang rugi adalah mereka sendiri, kerana mereka kebanyakan hanya memiliki kertas yang dikatakan bernilai!

Dinar Emas Isu Semasa

Isu dinar emas adalah isu umat Islam. Dan inilah satu-satunya harapan umat Islam di masa hadapan. Inilah yang disarankan oleh Tun Dr. Mahathir dalam bentuk yang begitu ‘subtle’ tanpa perlu mengganggu gugat sistem yang ada, inilah yang banyak ditulis oleh Shaykh Abdal Qadir As-Sufi dan Umar Vadillo Parsha supaya umat Islam bersatu di bawahnya; berdagang, berzakat dan bersedekah menggunakannya sehingga kan sampai kepada suatu ketika, umat Islam boleh menyatakan ‘kami tidak mahu sistem kamu, kami ada sistem kami sendiri tanpa riba dan tanpa penipuan’. Inilah harapan kita umat Islam seluruhnya.

Umat Islam akan mula dapat melihat akan pentingnya dinar emas ini. Katakan dalam diri kita bahawa mengembalikan dinar emas ini untuk melabur bagi kepentingan diri sendiri, agama dan negara ini adalah tidak susah. Riba itu susah kerana bahana dosanya susah. Balasan Illahinya berat. Apa susahnya kalau kita hanya mulakan dengan memiliki beberapa keping dinar dan dirham dan gunakan di mana ianya boleh digunakan.

Setiap kali kita gunakan dinar, kita mencabut salah satu akar pokok sistem kewangan yang diketuai Amerika Syarikat sekarang ini. Umat Islam sangat pandai berfikiran ringkas atau mudah, kerana agama kita mudah, puasa bagi kita mudah, zakat bagi kita mudah. Mulai sekarang kita akan berfikiran bahwa sistem kewangan yang ada itu nampak sahaja besar, tetapi sebenarnya kebesarannya adalah di atas dasar kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh kita sahaja. Ini ibarat sihir semata-mata. Umat Islam harus renungkan peristiwa Saidina Musa A.S. yang datang kepada Firaun dengan tongkat yang nyata, bukan khayalan. Mereka mencampak ular sihir sementara Saidina Musa a.s. mengeluarkan ular sebenar. Apabila lahirnya kebenaran, maka kebathilan dengan sendirinya akan terhapus. Inilah pegangan umat Islam. Umat Islam kembali berpegang kepada la hawla wa la quwwata ila billah.

Kita umat Islam akan menggantikan sistem kapitalisme ini dengan sistem ekonomi yang berteraskan emas atau komoditi. Perhatikan bagaimana sistem pemerintahan Soviet Union musnah, tidak sebiji bom pun digunakan. Kehancuran negara itu adalah dengan merosakkan sistem kewangan mereka, menjadikan wang Rubel tidak bernilai, iaitu dengan hanya menghilangkan kepercayaan yang ada pada matawang Soviet Union. Begitu juga dengan kapitalisme tidak mungkin dapat dimusnahkan dengan peperangan menggunakan senjata canggih, ianya hanya akan dapat dikalahkan dengan menggantikannya dengan sistem kewangan alternatif. Oleh itu dinar emas yang kita ada ini adalah senjata peperangan ini dan umat Islam mempunyai senjata ini. Kemenanganan adalah suatu kepastian, insyallah.

Di sini ingin kita mengajak umat Islam supaya berfikiran begini dan ingatkan akan kebenaran firman Allah s.a.w. hasbuna’llahu wa nia’ mal wakil. Segala bimbingan datangnya dari Allah dan kita pasti mempunyai jalan untuk menang dalam perjuangan ini. Kita mesti lakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa orang kufar lakukan, mereka menyediakan pasar tertutup dan mengamalkan monopoli dan riba, kita menyediakan pasar terbuka dan bebas dan menghalang monopoli serta bebas daripada riba.

Umat Islam Tentukan Kejayaannya

Kejayaan untuk mengembalikan dinar emas, wang umat Islam ini terletak di tangan umat Islam seluruhnya, ianya bukan terletak ditangan ahli politik tertentu, bukan di tangan institusi kewangan. Ianya tanggungjawab kita semua. Kita kena ubah pemikiran kita, pemikiran yang berkisar pada teori ekonomi tidak akan dapat membebaskan kita sebaliknya akan memeningkan lagi. Apa yang dikatakan Allah S.W.T di dalam Al-Quran perlu diyakini 100%, tidak boleh kurang daripada itu dan tidak ada alasan lagi. Perlu ada dalam jiwa kita kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. dan terus tanamkan kecintaan ini. Rasulullah S.A.W. pernah ditanya sahabah tentang kerinduan baginda kepada saudaranya, para sahabah bertanyakan apakah kami ini bukan saudara kamu, jawab baginda, “tidak, kamu sahabat aku”, Jadi siapakah saudara kamu,’ Baginda menjawab, ”Saudaraku adalah mereka yang mencintai aku walaupun tidak pernah melihatku”. Beliau menceritakan tentang orang yang akan mencintainya dan ini memberikan umat Islam yang ada kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. suatu kedudukan yang amat tinggi dan istimewa.

Jangan Biarkan Orang Kafir terajui dinar emas

Usaha ke arah mengembalikan dinar emas ini tidak akan mantap dan berkesan sekiranya tidak disertakan dengan memasukkan pengetahuan tentang ekonomi dinar emas ke dalam sistem pendidikan. Malah sudah menjadi pengetahuan umum bahawa untuk masyarakat menerima pengislaman bank ianya dimulakan dengan pengislaman ilmu iaitu melalui pendidikan. Ilmu matematik hendak di islamkan, ilmu fizik dan kimia juga di Islamkan. Tetapi kini semua sudah tahu bahawa ilmu yang lain tidak menjadi kenyataan kerana ilmu adalah pemberian Allah s.w.t. untuk semua makluknya dan tidak perlu diislamkan tetapi yang kekal aktif adalah ekonomi islam, iaitu mengislamkan institusi kewangan; daripada pengislaman bank kepada saham dan seterusnya kepada kad kredit. Ini helah kufar dengan menggunakan munafikun dikalangan umat Islam. Sebab itulah dalam usaha dinar emas ini, amat penting gerakan mengembali dinar emas ini bukan diteraju oleh orang kafir. Orang kafir tidak tahu halal haram dan tidak percaya keEsaan Allah s.w.t. Orang kafir yang terlibat dalam usaha dinar emas tidak akan menerima perundangan dan peradaban yang datang bersama dengan dinar emas ini. Kepada yang kafir itu, ajaklah mereka ini menerima Islam. Setelah itu, sokonglah usaha ini. Jadi fahami lah! Waspadalah!

Akhir sekali, ambillah langkah pertama untuk terlibat sama dalam penjanaan ekonomi dinar emas dengan mendapatkan dinar emas. Seterusnya digunakan dinar emas ini untuk pertukaran sesama kita, dijadikan wang mas kawin dan membayar zakat dengan dinar emas. Jika kita mempunyai dinar emas yang lebih, laburlah dalam program perdagangan dinar emas supaya dinar ini digunakan dalam perdagangan dan menjana ekonomi baru dan pulangan yang lumayan. Selamat melabur dalam dinar emas. Anda tidak rugi. Dinar emas yang anda pegang tidak akan susut nilai seperti wang kertas. Sesungguhnya kemenangan itu di tangan Allah s.w.t.

1 comment: