Pengertian Tasawuf.
Para pengkaji ilmu tasawuf berselisih pendapat tentang pengertian atau definisi tasawuf. Perselisihan mereka bermula dari perkataan Sufi (الصوفي) itu sendiri. Ada yang membahas dari sudut maksudnya, ada yang membahas dari sudut asal usulnya dan ada yang membahas dari sudut masa kelahiran perkataan itu sendiri.
Akan tetapi di antara perselisihan ini, yang rajih ialah perkataan “Sufi” hanyalah satu julukan atau gelaran.[1] Yang penting bukanlah perkataan tetapi intipati dan kandungan yang dibawa oleh perkataan tersebut. Pengertian “Sufi” di sisi ‘Abd al Qadir al-Jilani rahimahullah (561H) ialah orang yang berjaya merealisasikan ciri-ciri murni serta sifat-sifat mulia sehingga dia berhak untuk disebut sebagai seorang Sufi. Beliau menulis:[2]
Sufi diambil dari kata al-Mushafaat, iaitu seorang hamba yang disucikan Allah atau orang yang suci daripada penyakit jiwa, bersih dari sifat-sifat tercela, menempuh mazhabnya yang terpuji dan mengikuti hakikat serta tidak tunduk kepada salah seorang makhluk.
Dalam ketika yang lain ‘Abd al-Qadir al-Jilani berkata:[3]
Sufi ialah orang yang bersih batinnya dan zahirnya serta mengikuti Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya.
Kembali kepada perbahasan asal kita tentang pengertian tasawuf (التصوف) (al-Tashawwuf), ‘Abd al-Qadir al-Jilani mengertikannya sebagai:[4]
Tasawuf ialah percaya kepada Yang Haq (Allah) dan berperilaku baik kepada makhluk.
Pengertian ini beliau jelaskan sebagai berikut:[5]
Yaitu bertaqwa kepada Allah, mentaati-Nya, menerapkan syari‘at secara zahir, menyelamatkan hati, memperkayakan hati, mengindahkan wajah, berdakwah, mencegah penganiayaan (ke atas orang lain), sabar menerima penganiayaan dan kefakiran, menjaga kehormatan guru, bersikap baik dengan saudara, menasihati orang kecil dan besar, meninggalkan permusuhan, bersikap lemah lembut, melaksanakan keutamaan, menghindari dari menyimpan (harta benda), menghindari persahabatan dengan orang yang tidak setingkat (dalam keimanan) dan (akhirnya) tolong menolong dalam urusan agama dan dunia.
Daripada nukilan-nukilan di atas, jelas bahawa pengertian Tasawuf di sisi ‘Abd al-Qadir al-Jilani ialah ciri-ciri murni dan sifat-sifat mulia yang patut diterapkan oleh orang Islam ke atas dirinya. Penerapan ini dilakukan dengan bermujahadah, yakni pertarungan ruhani untuk mengawal dan menumpaskan nafsu yang tercela.[6] Apabila seseorang itu berjaya menerap dan merealisasikan ciri-ciri murni dan sifat-sifat mulia tersebut, barulah dia digelar sebagai seorang Ahli Sufi.
Pengertian Tasawuf dan Sufi yang diberikan oleh ‘Abd al-Qadir al-Jilani di atas mungkin berbeza dengan tokoh-tokoh tasawuf yang lain. Namun jika dicermati perbezaan-perbezaan ini, akan didapati bahawa kesemuanya tetap mengarah kepada maksud yang satu. Hal ini sepertimana yang dirumuskan oleh ‘Abd al-Fatah Ahmad al-Fawi:[7]
Secara ringkasnya Risalah al-Qusyairiyyah, Hilyah al-Auliya’, Tazkirah al-Auliya’ dan lain-lain buku yang memperkatakan tentang tasawuf dipenuhi dengan ratusan lafaz dan cerita tentang ahli sufi dan ahli tasawuf. Kesemuanya memiliki perbezaan ta’bir dan sumber pengambilan. Namun begitu kesemuanya tetap menuju kepada satu tujuan sahaja, iaitu menghindarkan diri daripada kelazatan dunia, membersihkan jiwa dan berusaha mencapai cinta Illahi dalam ruang lingkup ketinggian rohani dan mujahadah nafsu.
Kepentingan Ilmu Tasawuf.
Setiap manusia memiliki lima unsur yang penting di dalam dirinya. Lima unsur tersebut adalah (1) Ruh, (2) Qalbu atau hati, (3) Hawa nafsu atau Syahwat, (4) Jasad dan (5) Anggota Badan. Peranan kelima-lima unsur ini boleh diumpamakan sebagai sebuah kerajaan di mana Ruh adalah Sultannya, Qalbu adalah singgahsananya, Hawa Nafsu adalah musuh dalaman, Jasad adalah wilayah kekuasaannya dan Anggota Badan adalah rakyatnya.
Di antara lima unsur ini, sentiasa wujud persaingan antara Ruh sebagai Sultan yang ingin memerintah dengan adil dan Hawa Nafsu sebagai musuh dalaman umpama “duri dalam daging” yang berusaha untuk menzalimi rakyat, malah berhasrat menghancurkan wilayah kekuasaan dan pemerintahan Sultan.
Oleh kerana itu Sultan hendaklah sentiasa berwaspada terhadap perancangan Musuh dan memerhatikan gerak gerinya. Sultan perlu memantau apa-apa tindakan musuh yang akan menzalimi rakyat, apatah lagi jika musuh bertindak ganas untuk menghancurkan wilayah kekuasaannya dan merebut tahta pemerintahannya. Jika tidak rakyat akan ditindas, wilayah akan dijajah oleh musuh luar sementara musuh bermaharajalela membuat kezaliman. Selain daripada itu, Sultan juga sentiasa perlu meningkatkan kecemerlangan dirinya sebagai seorang pemerintah. Dia sentiasa perlu meluaskan ilmunya, meningkatkan iman dan taqwanya, memperbaiki ciri-ciri kepimpinannya ke atas wilayah dan rakyat seperti memiliki wawasan untuk mencapai sesuatu yang jauh lebih baik dan besar pada masa akan datang.
Sebagaimana perumpamaan kerajaan di atas, demikianlah juga peranan unsur-unsur Ruh, Qalbu, Hawa Nafsu, Jasad dan Anggota Badan. Aktiviti Ruh ke atas Hawa Nafsu dinamakan Mujahadah manakala aktiviti Ruh untuk mencemerlangkan dirinya dinamakan Tazkiyat al-Nafs. Ruh sentiasa bermujahadah ke atas Hawa Nafsu supaya dengan itu Hawa Nafsu tidak mengganggu atau mempengaruhi Jasad dan Anggota Badan dengan perbuatan-perbuatan mungkar yang dilarang oleh syari‘at. Ruh juga bermujahadah ke atas Hawa Nafsu agar dengan itu Qalbu tidak diusik oleh Hawa Nafsu dengan sifat-sifat yang tercela. Pada waktu yang sama Ruh sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangannya sendiri agar ia dihiasi dengan sifat-sifat mulia. Sifat-sifat mulia ini kemudian akan terpancar keluar hingga memberi pengaruh kepada Qalbu, Jasad dan Anggota Badan.
Ilmu Tasawuf berperanan membantu Ruh untuk melakukan Mujahadah ke atas Hawa Nafsu dan pada waktu yang membantu meningkatkan lagi kecemerlangan Ruh itu sendiri. Tujuannya tidak lain supaya Ruh dan segala yang dipimpinnya berjaya menjadi manusia yang mulia di sisi Allah dan mencapai kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.
Di sini perlu ditekankan bahawa untuk merealisasikan tujuan di atas, ilmu tasawuf tidak berperanan secara tersendiri atau berasingan. Ia bergandingan bahu dengan lain-lain ilmu syari‘at Islam seperti aqidah yang tulen di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan amal yang ikhlas lagi benar di sisi al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Setiap tokoh dan penuntut tasawuf yang berada di atas jalan yang benar tidak sekali-kali akan memisahkan ilmu tasawuf daripada lain-lain ilmu syari‘at.
Pada waktu yang sama, setiap individu Muslim yang berada di atas jalan yang benar tidak boleh mengasingkan ilmu tasawuf daripada dirinya. Pengasingan daripada ilmu tasawuf akan menyebabkan diri seseorang itu terserlah dengan sifat yang tercela seperti riya’, ujub, hasad, membazir, bakhil, malas, tidak berdisiplin, berburuk sangka dan pelbagai lagi sekalipun dia beriman kepada Allah dan mendirikan solat.
Malah pengasingan ilmu tasawuf akan menyebabkan dia terhindar dari sifat-sifat mulia seperti al-Tawabah (sentiasa beristighfar dan bertaubat), al-Zuhd (membebaskan hati daripada mencintai dunia), al-Shabr (sabar), al-Syukr (berterima kasih), al-Ridha (rela terhadap Allah), al-Khauf (takut kepada Allah), al-Haya’ (malu kepada Allah), al-Raja’ (mengharapkan pertemuan dengan Allah), al-Faqr (berhajat kepada Allah), al-Tawakkul (berserah kepada Allah) dan al-Mahabbah (cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah). Kesemua sifat yang mulia ini digaris dan dituntut oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih manakala ilmu tasawuf hanya berperanan membantu umat Islam untuk mencapainya. Di sinilah letaknya kepentingan ilmu tasawuf.
Beberapa Kritik Atas Ilmu Tasawuf dan Jawapannya.
Menjadi lumrah manusia bahawa setiap yang baik itu pasti menerima kritikan dan ilmu tasawuf tidak terkecuali. Berikut kita akan kupas secara ringkas tiga kritikan yang paling lazim dilontarkan kepada ilmu tasawuf diikuti dengan jawapannya.
Kritikan Pertama:
Istilah “Tasawuf” atau “Sufi” tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini menunjukkan bahawa ilmu tasawuf tidak memiliki tempat di dalam Islam.
Jawapan:
Yang penting bukanlah istilah tetapi intipati dan kandungan yang dibawa oleh istilah tersebut. Istilah “Tasawuf” dan “Sufi” memang tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah akan tetapi ilmu dan peranan yang dimiliki olehnya memiliki dasar daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sesiapa yang lazim mengkaji ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi akan mendapati kedua-dua sumber yang mulia ini sentiasa memberi perhatian ke arah membersihkan umat Islam daripada sifat-sifat yang tercela sambil menerapkan sifat-sifat mulia sebagaimana yang digariskan di atas.
Apabila mengupas istilah “Tasawuf”, Abu Ishaq al-Syathibi rahimahullah (790H) berkata:[8]
Merujuk kepada kata “Tasawuf” di sisi mereka (Ahli Tasawuf) ia menghasilkan dua makna: Yang pertama berakhlak dengan akhlak yang baik dan melepaskan diri dari akhlak yang rendah. Yang kedua ialah kebinasaan (الفناء) bagi diri manusia sendiri sedangkan keabadian (البقاء) adalah bagi Tuhan (Allah).
Kedua-duanya pada penelitian lanjut mengarah kepada makna yang satu. Hanya sahaja yang pertama ditujukan kepada tahap permulaan manakala yang kedua ditujukan kepada tahap akhir. Kedua-dua makna ini adalah satu penyifatan kecuali yang pertama tidak memerlukan kewujudan keadaan rohani (لا يلزمه الحال) manakala yang kedua memerlukan keadaan rohani (يلزمه الحال). Kedua-dua makna tersebut adakalanya diungkap dengan istilah yang lain, yang pertama adalah perbuatan yang dibebankan manakala yang kedua adalah hasil daripada perbuatan tersebut. Oleh itu yang pertama adalah penyifatan yang zahir manakala yang kedua adalah penyifatan yang batin. Perhimpunan kedua-duanya – itulah (yang dinamakan) “Tasawuf.”
Jika telah sabit hal ini, maka perbicaraan tasawuf dengan makna pertama bukanlah satu bid‘ah kerana sesunguhnya ia hanyalah merujuk kepada makna memahami (تفقه). (Dengan tasawuflah) amal perbuatan dibangunkan dan perkara-perkara yang menjadi penghalangnya dapat dikenali secara terperinci. Termasuklah juga pembaikan ke atas perkara-perkara yang dapat menghindari keburukan. Dan ini adalah pemahaman yang benar (وهو فقه صحيح) yang dasar-dasarnya terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang jelas.[9]
Kritikan Kedua:
Di dalam sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia, tasawuf tidak pernah dikenali sebagai satu cabang ilmu.
Jawapan:
Diakui bahawa pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tasawuf tidak pernah dikenali sebagai satu cabang ilmu. Demikianlah juga dengan ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu hadis, ilmu tafsir, ilmu usul fiqh, ilmu nahwu (bahasa) dan pelbagai lagi.
Semua ilmu ini, termasuk ilmu tasawuf, hanya muncul pada masa terkemudian apabila tamadun dan peradaban umat Islam berkembang luas, ditambahi pula dengan pelbagai pengaruh yang datang dari luar Islam. Sebagai contoh, ilmu hadis tidak pernah wujud di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi setelah munculnya pelbagai fitnah dari dalam dan luar umat, para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengusulkan ilmu hadis yang dengannya dapat dibezakan antara hadis yang sahih, dha‘if dan sebagainya. Di sini ilmu hadis berperanan sebagai medium yang membolehkan umat mencapai tujuan, iaitu untuk mentaati dan mengikuti Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ilmu hadis bukanlah agama baru tetapi ia adalah alat yang menyampaikan umat kepada tuntutan agamanya yang asal, iaitu agama Islam.
Demikian juga bagi ilmu tasawuf. Ia muncul apabila umat Islam tenggelam di dalam keburukan akhlak dan kecelaan moral kerana ghairah mengejar permainan dunia. Ini menyebabkan para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengusulkan ilmu tasawuf yang dengannya umat dapat kembali kepada sifat-sifat mulia lagi di pertengahan antara dunia dan akhirat. Ilmu tasawuf bukanlah agama baru tetapi ia adalah medium atau alat yang menyampaikan umat kepada tuntutan agamanya yang asal, iaitu agama Islam.
Sayyid Nur bin Sayyid ‘Ali memiliki penjelasan yang baik untuk menjawab fitnah ini:[10]
Antara sebab utama yang menjadikan orang keliru ialah penggunaan istilah tasawuf yang bukan pada tempatnya. Pada kenyataannya, tasawuf adalah satu istilah bagi jalan transformasi untuk memperbaiki hati (إصلاح القلوب) dan penyucian jiwa (تزكية النفوس). ……Para tokoh tasawuf berpendapat bahawa terdapat kepelbagaian cara (flexibility) (مرونة في باب الوسائل) untuk mencapai maksud agama (المقاصد الدينية). Mereka memandang bahawa peletak garis syari‘at, yakni Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah membatasi jalan dan medium agama kepada formula atau teknik yang terbatas.
Assalamualaikum w.b.t May Allah bless all the Muslim visitors and best greeting to the non Muslim visitors. It is such an honour to greet one another with the best of greeting, that is "assalamualaikum w.b.t.". For those who are not yet a Muslim, do visit your heart and ask for the Truth. It will direct you to Islam. Welcome to Islam From Professor Dr. Zuhaimy Ismail
About Me
- Pena Agrofarm
- A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi
No comments:
Post a Comment