Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat dan sekalian mereka yang mengikuti jalan Baginda sehingga ke hari akhirat.
Suatu Munajat di Kesunyian Malam
Aku tergerak untuk bangun pada malam ini. Entah dari mana datangnya gerakan itu. Belum sempat fikiranku menyusun kata, nama-Mu terlebih dahulu hadir dalam ingatanku. Dalam kesunyian malam, ketika manusia lain masih lena dibuai tidur, hatiku seakan-akan digerakkan untuk mengingati-Mu.
Ya Allah, perkara pertama yang terlintas dalam hatiku ialah betapa banyaknya kelalaian diriku terhadap-Mu. Lalu lidahku mula beristighfar. Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah. Aku memohon keampunan-Mu atas setiap saat yang berlalu tanpa mengingati-Mu, atas setiap perbuatan yang tidak Engkau redai, dan atas setiap detik ketika hatiku lebih cenderung kepada dunia daripada mengingati-Mu.
Aku takut, Ya Allah. Bukan takut kehilangan dunia, bukan takut kehilangan kesenangan atau kedudukan, tetapi aku takut jika hatiku dijauhkan daripada-Mu. Aku takut jika kelalaian dan dosa menjadi hijab yang menghalang hatiku daripada merasai kedekatan dengan-Mu. Aku takut jika aku dibiarkan dengan diriku sendiri, sedangkan aku tidak mempunyai daya dan upaya untuk menyelamatkan diriku tanpa pertolongan-Mu.
Betapa aku mengharapkan-Mu. Betapa aku merindui-Mu. Aku tidak mampu berdiri dengan kekuatan diriku sendiri. Aku tidak mampu mengingati-Mu tanpa taufik dan hidayah-Mu. Bahkan keinginan untuk mengingati-Mu itu sendiri adalah kurniaan daripada-Mu.
Subuh menjelang. Aku duduk berzikir, menyebut nama-Mu, mengulang-ulang kalimah yang diajarkan oleh Rasul-Mu dan diwariskan melalui para masyaikh. Lidahku menyebut nama-Mu, tetapi hatiku tertanya-tanya, siapakah sebenarnya yang menggerakkan lidah ini? Dari manakah datangnya keinginan untuk duduk menghadap-Mu pada waktu ini?
Aku terasa seolah-olah sedang dipanggil. Namun, apabila aku melihat kepada diriku sendiri, aku sedar betapa lemahnya aku. Aku tidak mempunyai kekuatan untuk menyeru-Mu jika bukan Engkau yang terlebih dahulu menggerakkan hatiku. Aku tidak mempunyai kemampuan untuk mencari-Mu jika bukan Engkau yang membuka jalan untuk aku kembali kepada-Mu.
Ya Allah, Engkaulah yang menggerakkan hatiku. Engkaulah yang membangunkan aku daripada tidur. Engkaulah yang menimbulkan rasa rindu dan keinginan untuk berzikir. Engkaulah yang memberikan aku kesedaran untuk beristighfar dan memohon keampunan. Sedangkan aku ini hanya seorang hamba yang lemah, yang sering lalai, sering lupa dan sering terpedaya dengan dirinya sendiri.
Lalu aku mula memahami bahawa bukan aku yang mempunyai kekuatan untuk datang kepada-Mu. Sebaliknya, apabila Engkau menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Engkau bukakan hatinya untuk kembali mengingati-Mu. Rasa rindu itu sendiri adalah kurniaan. Keinginan untuk bertaubat itu adalah rahmat. Kesedaran terhadap kelemahan diri itu juga suatu pemberian daripada-Mu.
Maka, bagaimana mungkin aku mahu berbangga dengan zikirku? Bagaimana mungkin aku mahu merasa bahawa aku telah melakukan sesuatu untuk-Mu? Sedangkan untuk menyebut satu kali nama-Mu pun aku memerlukan izin, pertolongan dan taufik-Mu.
Ya Allah, janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Jika Engkau membiarkan aku dengan diriku, nescaya aku akan kembali kepada kelalaian. Jika Engkau tidak memimpin hatiku, nescaya aku akan tersesat dalam keinginan dan sangkaan diriku sendiri.
Aku tidak mempunyai apa-apa untuk dibanggakan di hadapan-Mu. Aku datang dengan kefakiran, membawa dosa, kelemahan dan segala kekurangan. Aku hanya berharap kepada rahmat-Mu.
Aku ingin agar hatiku sentiasa hidup dengan mengingati-Mu. Bukan sekadar lidahku menyebut nama-Mu, tetapi seluruh kehidupanku menjadi medan untuk aku menyedari kebergantunganku kepada-Mu. Ketika aku bekerja, ketika aku berbicara, ketika aku berhadapan dengan manusia, ketika aku bersendirian, dan ketika aku kembali berbaring untuk tidur, janganlah Engkau biarkan hatiku terputus daripada mengingati-Mu.
Ya Allah, jika malam ini Engkau membangunkan aku, jadikanlah ia permulaan kepada kesedaran yang lebih mendalam. Jika Engkau menggerakkan lidahku untuk berzikir, hidupkanlah hatiku bersama zikir itu. Jika Engkau menggerakkan aku untuk menangis, jadikanlah tangisan itu tangisan seorang hamba yang mengenali kelemahan dirinya dan mengharapkan keampunan-Mu.
Aku tidak meminta agar Engkau memberikan kepadaku sesuatu yang aku sangka baik untuk diriku. Aku memohon agar Engkau memberikan kepadaku apa yang benar-benar baik di sisi-Mu. Aku tidak meminta kemuliaan pada pandangan manusia. Aku hanya memohon agar Engkau tidak menjauhkan hatiku daripada-Mu.
Kerana sesungguhnya, tanpa pertolongan-Mu aku tidak berdaya. Tanpa petunjuk-Mu aku tidak mengetahui jalan. Tanpa rahmat-Mu aku tidak mempunyai apa-apa. Dan tanpa-Mu, aku bukanlah apa-apa.
Ya Allah, janganlah Engkau jadikan aku seorang yang hanya mengingati-Mu ketika Engkau memberikan sesuatu kepadaku. Jadikanlah aku seorang hamba yang mengingati-Mu kerana Engkau adalah Tuhanku.
Janganlah Engkau biarkan aku merasa bahawa aku telah sampai kepada-Mu hanya kerana aku dapat berzikir. Sebaliknya, setiap kali aku menyebut nama-Mu, jadikanlah aku semakin mengenali kefakiran dan kehambaanku.
Aku datang bukan kerana aku mampu mencari-Mu, tetapi kerana aku berharap Engkau sentiasa membimbingku kembali kepada-Mu.
Ya Allah, Engkaulah yang memanggil, Engkaulah yang menggerakkan, Engkaulah yang memberi kemampuan untuk menyahut panggilan itu. Maka janganlah Engkau palingkan hatiku setelah Engkau memberikan petunjuk kepadaku.
Aku menyangka aku sedang mencari-Mu, tetapi semakin aku mengenali diriku, semakin aku menyedari bahawa keinginan untuk mencari-Mu itu sendiri adalah kurniaan-Mu. Aku tidak mempunyai daya untuk datang kepada-Mu melainkan dengan pertolongan-Mu.
Bukan zikir kita yang menjadikan kita mulia, tetapi rahmat Allah yang memberikan kita peluang untuk berzikir.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Prof (B) Dr. Zuhaimy Ismail

No comments:
Post a Comment