About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Wednesday, August 6, 2025

Tahfiz Al Quran Dalam Taman

BAB 6:    Sebuah Memoir Perjuangan Membangunkan Pena Agrofarm dan Madrasah Tahfiz Albiranii


1 April 2020 – Titik Peralihan

Tarikh itu masih segar dalam ingatan saya. 1 April 2020, secara rasmi saya menamatkan tugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Tamatlah sudah satu fasa kehidupan yang dipenuhi dengan kuliah, penyelidikan, penulisan dan pengabdian akademik. Namun saya tidak merasakan kekosongan. Sebaliknya, hati terasa lapang dan tenang. Dunia akademik telah membentuk saya, tetapi saya tahu, hidup ini tidak seharusnya berhenti di pintu persaraan.


Dalam diam, saya telah menyusun sebuah fasa baharu – fasa yang lebih dekat dengan masyarakat, lebih bermakna secara rohani, dan lebih mencabar dari segi tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. Ramai yang bertanya, “Prof, tak sambung kontrak?” Saya hanya tersenyum. Dunia UTM saya tinggalkan dengan kesyukuran. Sekarang, saya mahu menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang lebih hidup – bukan sekadar melalui jurnal dan seminar, tetapi melalui tindakan dan warisan kehidupan.


Tanah: Tapak Sebuah Harapan


Segalanya bermula dengan tanah. Tahun 1989, saya membeli sebidang tanah seluas tujuh ekar. Ia hasil daripada simpanan dan pengorbanan bertahun-tahun. Tanah itu tidak rata, tidak subur, tidak menjanjikan kemewahan. Tetapi bagi saya, ia seperti tanah suci – tanah yang akan saya manfaatkan untuk kebaikan lebih besar.


Pada tahun 1997, saya menambah lagi lima ekar yang bersambung, menjadikan jumlah keseluruhan 12 ekar. Tanah ini saya pandang bukan hanya dari sudut fizikal, tetapi sebagai amanah Allah. Ia menjadi tempat menyemai benih harapan, membina impian, dan menanam amalan yang hidup walau jasad sudah ditimbus waktu. Saya berusaha menjaga hak-hak semua makhluk di atasnya – tumbuhan, haiwan dan manusia – kerana saya tahu, ini sebahagian daripada tanggungjawab hamba kepada Pencipta.


Pena Agrofarm: Ladang Berjiwa Syariah


Pada tahun 2001, saya bersama abang dan sahabat karib, Tuan Haji Shahidan Haji Mad Lazim, memulakan projek Pena Agrofarm. Ia bukan sekadar ladang, tetapi satu gagasan agroekonomi berteraskan muamalat Islam. Kami menggunakan konsep pelaburan Qirad – telus, adil, dan bebas riba. Modal diperoleh daripada International Gold Dinar (IGD). Kami sebagai pengusaha diberi amanah untuk mengurus ladang lembu feedlot.


Ternakan lembu bermula sekitar tahun 2005. Kami mengimport lembu dari Australia, digemukkan di kandang dalam masa tiga hingga empat bulan. Kulit nanas dari kilang berhampiran menjadi makanan utama lembu kami. Setiap minggu, lebih 15 lori masuk ke ladang membawa sisa nanas. Suasana ladang meriah dan penuh harapan. Jumlah lembu meningkat kepada lebih 400 ekor. Kami menjadi antara pembekal lembu korban utama di kawasan itu.


Namun, segalanya berubah bila kilang nanas tidak lagi mampu membekalkan bahan makanan. Mereka kini menternak lembu sendiri. Operasi kami mula terganggu. Kami cuba bertahan – termasuk menanam rumput Napier di atas tanah yang diberikan oleh Jabatan Veterinar. Tapi lokasi yang jauh menyukarkan operasi harian.


Akhirnya, dengan berat hati, kami menutup operasi ladang. Mujur sistem Qirad yang kami amalkan menjadikan perpisahan dengan pelabur satu proses yang jujur dan beradab. Tiada penipuan. Tiada kezaliman. Hanya ukhuwah dan kejujuran yang tinggal.


Dari Feedlot ke Nanas MD2 – Mencari Nafas Baru


Ladang yang dulunya riuh kini sunyi. Saya tanam nanas MD2 sebagai usaha menjana pendapatan pasif. Penjagaannya mudah, hasilnya menjanjikan. Pada masa sama, saya menggantikan pokok kelapa sawit dengan kelapa mataq dan pandan – hasil yang lebih bernilai tinggi di pasaran.  Saya juga menternak binatang exotik seperti rusa, landak, burung unta dan merak selain ayam itek dan ikan.


Walaupun infrastruktur ladang semakin uzur. Peralatan dicuri, pagar runtuh. Kos ratusan ribu lenyap begitu sahaja. Saya hanya mampu bersangka baik dengan Allah. Di sebalik musibah, pasti ada hikmah.  Setiap kesusahan bersamanya ada kesenangan.  Dulu saya sangka selepas kesusahan baru datang senang, rupanya susah senang itu datangnya bersama.


Ilham Ilahi: Menghidupkan Al-Quran di Tengah Kebun


Dalam kekosongan itu, saya bertemu ayat al-Quran dari Surah al-Waqi’ah: “Sesungguhnya ini adalah al-Quran yang mulia, yang tersimpan dalam kitab yang terpelihara…” – ayat-ayat ini menyentuh hati saya.


Saya teringat kata guru: “Apa yang terkait dengan al-Quran akan dimuliakan Allah.” Saya sedar, tanah ini wajar diberi makna baharu – bukan sekadar ekonomi dunia, tetapi ladang akhirat.


Bersama Cikgu Azrul dan Ustaz Ali, pada awal tahun 2014, kami menubuhkan sebuah madrasah tahfiz. Hanya sembilan orang pelajar ketika itu. Ketua Kampung Jeram Batu menyokong usaha ini. Suara al-Quran mula bergema di tanah ini.  Seperti saya bermimpi dapat bersama ustaz yang hafal AlQuran 30 juzuk membuka pusat mengaji AlQuran.


Madrasah Pertama: Tumbuh dan Gugur


Pelajar kami ajar dengan kasih sayang dan tarbiah. Mereka tidak hanya menghafal, tetapi menghayati. Mereka juga membantu kerja dikebun Pena Agrofarm.  Namun, setelah 18 bulan, sekolah hafazan alquran ini ditutup apabila Ustaz Ali terpaksa pulang ke negara asalnya.


Beberapa guru silih berganti, tetapi tiada yang kekal. Saya hampa, tetapi tidak menganggap ini kegagalan. Ia cuma ujian yang wajib dilalui – satu rehat yang Allah takdirkan.  Setiap peristiwa itu ada maknanya dan tujuannya. Saya membuat refleksi.


Kebangkitan Albiranii: Cahaya Baru di Tanah Lama

Surau yang saya bangunkan kini kosong.  Saya fokus kepada projek di Pena Agrofarm.  Nanas MD2 mula saya tanam secara besar2an.  Dalam masa satu tahun saya mendapat hasil tanaman nanas. Hasilnya dijual dalam bentuk buah dan juga jus.  

Hati ini tetap mengharap untuk membuka kembali pusat alquran. Tetapi saya tidak ada ilmu untuk mengajar AlQuran. Tanpa dijangka, ustaz Sadiq dan ustaz zul datang berjumpa saya di kebun. Ustaz Sadiq mahu hidupkan kembali tahfiz yang ada di Pena Agrofarm.  Kecik tapak tangan, talam saya sediakan.  Tetapi, ujian datang lagi setelah beroperasi 15 bulan. apabila saya pulang daripada merantau, anak2 tahfiz  berkerumun dengan saya, mengapa ustaz sadiq mahu berhenti. Anak2 tidak mahu berpindah, tetapi mereka wajib ikut ustaz. Apabila tidak ada pelajar yang hendak tinggal di tahfiz kita. Semua ini dapat diawasi oleh mudir.

Setelah beberapa cubaan untuk menghidupkan kembali pusat tahfiz alquran, akhirnya pada 1 Jun 2022, bersama Ustaz Riduwan Andy, Cikgu Azrul, Pak Yatim dan beberapa yang lain, kami membuka kembali pusat tahfiz ini – kini dinamakan Madrasah Tahfiz Al-Quran Albiranii, sebagai penghormatan kepada Abu Rayhan Al-Biruni.


Kami bermula kecil – enam pelajar, seorang guru, sebuah rumah lama yang diubahsuai jadi surau. Bangunan asrama kini ada, walau masih tanpa pendingin hawa. Tapi semangat tidak pernah pudar. Kami percaya, keikhlasan akan membuka jalan.


Tiga Teras Madrasah Albiranii

  1. Al-Quran sebagai asas kehidupan.

  2. Kemahiran pertanian dan penternakan sebagai keupayaan berdikari.

  3. Pembinaan akhlak dan spiritual sebagai kekuatan jiwa.


Membina Jiwa dan Akhlak Huffaz


Setiap hari bermula dan berakhir dengan al-Quran. Pelajar berwirid selepas maghrib, membaca wirid Shaykh Muhammad Ibnu Habib atau al-Ma’thurat, dan berqiyamullail secara berkala. Fokus kami bukan hafazan semata-mata, tetapi kefahaman dan penghayatan. Pelajar diberi pendedahan awal tentang Ihsan - beribadahlah seolah2 kita melihat Allah, jika tidak dapat lihat tahulah Allah melihat kita. Bidang ilmu ini dinamakan tasawwuf. Anak-anak di ajar untuk hafal sifat dua puluh dan nama Allah swt. Ada lagu khas untuk anak2 ini menghafalnya.


Saya tegaskan dengan pendidikan AlQuran – tiada makna hafaz 30 juzuk kalau tidak beradab dengan guru, tidak santun dengan rakan, dan tidak jujur dalam perbuatan.  Oleh itu, sifat futuwwah di tanam pada anak anak.


Futuwwah: Membangun Jiwa Kesatria


Kami tanam nilai futuwwah dalam diri pelajar:

  • Membela yang lemah

  • Menolak buli

  • Menyebar kebaikan

  • Bekerjasama tanpa mengharap balasan


Buli saya larang keras. Pelajar digalakkan membentuk jemaah – saling membantu dan menyantuni.  Banyak sekarang ini berlaku sumbang mahram. Liwat di srkolah tahfiz dan dilakukan oleh pelajar Islam. Lagi banyak ilmu lagi banyak dugaannya.


Pertanian, Perkhemahan dan Kehidupan Nyata


Kami ajar mereka bercucuk tanam, menternak ayam, itik, kambing dan ikan. Pelajar juga diajar membiat Ini bukan sekadar penghasilan makanan, tetapi latihan sabar dan amanah.


Setiap dua bulan, pelajar berkhemah di hutan berhampiran. Tanpa elektrik, tilam atau dapur moden. Mereka belajar hidup berdikari, memasak, berkawad, bahkan mendirikan qiyamullail di bawah langit terbuka.


Pendidikan Akademik dan Laluan Masa Depan


Walaupun fokus kepada tahfiz, kami tidak lupakan akademik. Pelajar akan ambil SPM secara persendirian dengan syarat dah lulus Guru sukarelawan mengajar Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Sejarah. Ramai pelajar kami kini melanjutkan pelajaran ke kolej teknikal dan universiti Islam – membawa al-Quran dalam dada dan ilmu di tangan.


Harapan dan Visi Masa Depan


Madrasah ini masih dalam pembinaan. Antara impian saya:

  • Bangunan tiga tingkat yang lengkap

  • Pusat Tadabbur Quran Digital

  • Akademi Futuwwah Huffaz Nusantara

  • Ladang agro-teknologi moden

  • Program TVET + Tahfiz


Penutup: Tanah Ini Ladang Jiwa


Kini, tanah ini bukan lagi sekadar kebun. Ia menjadi ladang ilmu, ladang iman, ladang akhlak. Pelajar kami belajar memegang cangkul dan mushaf, membina kerjaya dan akhirat.


Saya tahu, saya tidak muda lagi. Tetapi selagi hayat dikandung badan, saya akan terus berjuang. Tanah ini amanah. Madrasah ini warisan. Dan doa anak-anak al-Quran di sini kelak – itulah pendinding saya di alam abadi.


“Jika saya tiada suatu hari nanti, biarlah madrasah ini menjadi saksi bahawa saya pernah mencuba.”


Oh Allah ampunilah aku

No comments: