MEMOIR PROF. DR. ZUHAIMY ISMAIL
“Menabur Ilmu, Membangun Masyarakat”
Bab 1: Jejak Awal di Menara Gading – Ilmu Itu Cahaya Amanah
Saya memulakan kerjaya akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada awal tahun 1990-an dengan harapan untuk mencari rezeki yang diberkati Allah swt. Bersamanya diharap untuk menimba semangat bersama membina diri dan negara melalui ilmu matematik dengan satu tekad: menjadikan ilmu satu jalan khidmat, bukan setakat sebuah kerjaya.
Sebagai pensyarah muda, saya belajar dari bawah – bukan sahaja dalam bidang pengajaran, tetapi juga dalam memahami sistem akademik, birokrasi, dan yang paling mencabar, membentuk hubungan manusiawi dengan pelajar yang datang dari pelbagai latar belakang. Dalam bidang matematik dan statistik, saya dapati ramai pelajar datang dengan perasaan takut atau rendah diri. Mereka dari bangku sekolah lagi telah ditanam persepsi bahawa matematik itu susah. Persepsi ini harus dihentikan. Sebab itu saya ambil pendekatan untuk menjadikan kelas lebih interaktif, membina keyakinan mereka terlebih dahulu sebelum menyampaikan isi kandungan yang lebih dalam. Terdapat berbagai teknik yang ada untuk membuka minda pelajar sebelum memulakan pengajaran yang kompleks.
Saya berpegang kepada mengajar supaya pelajar mendapat ilmu itu bukan hanya mengajar untuk peperiksaan. Saya mahu pelajar faham n mengerti “apa guna statistik dalam hidup sebenar.” Saya bawa kes sebenar ke dalam kelas, saya kongsikan data sebenar yang saya kumpulkan daripada masyarakat dan industri. Saya mahu pelajar tahu bahawa apa yang mereka pelajari itu relevan, hidup, dan boleh membentuk masa depan. Begitu juga dengan subjek penyelidikan operasi yang sangat banyak aplikasinya dalam perniagaan dan pengurusan.
Lebih 50 pelajar sarjana dan 17 pelajar PhD telah saya bimbing sehingga berjaya. Setiap seorang datang dengan latar kepandaian dan kemahiran yang berbeza, tetapi satu perkara yang sama – mereka mencari arah dalam penyelidikan. Saya membimbing mereka. Saya memberi mereka membezakan jalan yang boleh diikuti dan mana yang tidak seduai. Saya bukan penyelia yang hanya menyemak draf. Saya ikut serta kajian dan analisis mereka dari awal – dari merangka idea, membina kerangka teori, hinggalah ke pengumpulan data, menganalisis, pembuatan keputusan dan kesimpulan dan dalam penulisan tesis.
Bagi saya, kepuasan seorang pensyarah adalah apabila pelajarnya datang semula, bertemu sebagai rakan akademik, berkongsi kejayaan, dan menyatakan: “Prof, saya teruskan apa yang Prof ajarkan.” Ini satu kenikmatan.
Sepanjang kerjaya saya di UTM, saya turut menerima beberapa penghargaan atas sumbangan dalam bidang akademik dan penyelidikan. Antaranya ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Penyelidikan, Anugerah Penerbit Cemerlang dan pengurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran ‘Dato’’. Anugerah-anugerah ini saya anggap sebagai pengiktirafan kepada pasukan, rakan-rakan penyelidik, pelajar dan institusi yang bersama-sama dalam perjuangan ini. Kejayaan saya bukan hasil usaha perseorangan tetapi berpasukan, walaupun saya yang mengetuainya. Saya hanya bersyukur, alhamdulillah.
Bab 2: Menyulam Ilmu, Mencorak Dasar – Dari Teori ke Polisi
Penyelidikan bagi saya adalah nadi dalam profesion akademik. Saya percaya ilmu bukan sekadar dalam bentuk penulisan buku dan artikel untuk disimpan dalam perpustakaan atau jurnal, tetapi untuk menyelesaikan masalah sebenar dalam masyarakat. Oleh itu, saya memilih bidang penyelidikan yang tidak sahaja mencabar secara intelektual, tetapi juga memberi impak langsung kepada pembangunan dasar dan sistem.
Bidang utama penyelidikan saya ialah dalam forecasting (ramalan), statistik gunaan, dan pengoptimuman heuristik. Kaedah seperti Tabu Search, Genetic Algorithm, dan Simulated Annealing yang dahulu hanya menjadi topik perbincangan dalam kuliah dan jurnal, saya terjemahkan ke dalam penyelesaian masalah sebenar. Saya terlibat dalam kajian permintaan kenderaan baru untuk sebuah pengeluar kereta di Malaysia, membangunkan model ramalan bagi menyokong perancangan syarikat. Model yang dibangunkan digunakan dan hasilnya saya lihat menjadi nyata. Satu kepuasan.
Namun, pencapaian paling membanggakan saya adalah ketika mengetuai projek pembangunan Malaysian People Satisfaction Index (MPSI). Ia merupakan projek nasional bernilai RM1.75 juta dibawah Yayasan Penyayang yang di pimpin oleh Tan Sri Dr Alies Noor. Beliau adalah seorang cendikiawan yang sangat tajam dalam analisis dan pandangan. Kajian ini dilakukan bertujuan mengukur tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan dan agensinya. Kajian ini memerlukan kami turun ke seluruh negara – dari bandar besar ke pedalaman – untuk mendapatkan suara rakyat.
Kami menggabungkan kaedah statistik lanjutan, model analitik dan pendekatan lapangan secara holistik. Saya memastikan setiap aspek kajian ini dijalankan secara telus dan bebas daripada pengaruh politik. Kerana bagi saya, jika hasil kajian ini mahu digunakan untuk membina dasar, maka integritinya tidak boleh dikompromi.
MPSI boleh dijadikan rujukan dalam pelbagai program strategik kerajaan. Ia boleh digunakan oleh pelbagai agensi kementerian untuk menilai semula pendekatan mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Inilah yang saya maksudkan sebagai penyelidikan yang hidup – yang menjawab keperluan semasa dan membentuk masa depan.
Bab 3: Menyantuni Masyarakat – Khidmat Sebagai Ibadah
Saya percaya, seorang akademik bukan sahaja berkhidmat kepada pelajar dan jurnal, tetapi kepada masyarakat. Saya melihat khidmat masyarakat sebagai lanjutan daripada kerja akademik – menjadikan ilmu yang kita miliki sebagai alat pemberdayaan masyarakat.
Saya terlibat dalam pelbagai projek yang menjangkau terus kepada komuniti. Antaranya, kajian persepsi belia terhadap kerajaan negeri, persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan, pembangunan Indeks Syariah Malaysia (ISM), dan kajian Input-Output Table untuk Wilayah Iskandar. Setiap projek ini menuntut saya mendengar – bukan hanya menganalisis data – tetapi mendengar suara rakyat dengan hati terbuka.
Saya juga terlibat dalam program intervensi pendidikan. Saya pernah menubuhkan program khas untuk membantu pelajar luar bandar dalam Matematik SPM, kerana saya tahu ketidaksamaan pendidikan masih wujud. Saya tubuhkan kumpulan K3PM - Kumpulan Pemantapan Pengajaran Pebelajaran Matematik. Dalam program ini, saya beserta rakan-rakan membina modul yang lebih sesuai dengan cara pemikiran dan persekitaran pelajar, dengan pendekatan empati dan realiti.
Selain itu, saya mengetuai UTM Dinar dan Dirham Research Group (DDRG), sebuah kumpulan yang mempelopori kajian sistem kewangan Islam berasaskan nilai sebenar – emas dan perak. Kami bukan hanya berbincang di peringkat akademik, tetapi menjalin hubungan dengan penyelidik daripada USM, UKM dan badan NGO lain. Kami mengadakan seminar dan bengkel kepada masyarakat umum, usahawan dan agensi kerajaan.
Saya percaya bahawa dalam dunia penuh ketidaktentuan ini, kita perlu kembali kepada sistem yang adil dan stabil. Kaji selidik kami menunjukkan semakin ramai masyarakat celik tentang alternatif sistem kewangan ini. Artikel hasil penulisan saya boleh diperolehi dalam arkaif Berita Harian, Utusan Malaysia dan juga majalah umum seperti Majalah Milenia.
Bab 4: Warisan Ilmu, Wasiat Kehidupan
Apabila usia mencecah senja, saya mula lebih kerap merenung – bukan sahaja ke belakang, tetapi ke hadapan. Saya tertanya-tanya, apakah tinggalan saya di dunia ini? Bukan wang, bukan pangkat, tetapi warisan nilai dan ilmu.
Saya mahu dikenang bukan kerana jawatan, tetapi kerana sumbangan. Saya mahu pelajar saya mengingati saya sebagai seseorang yang mendidik dengan hati. Saya mahu masyarakat mengenali saya sebagai seorang yang cuba menyampaikan ilmu dengan jujur. Dan saya mahu anak-anak dan cucu saya tahu bahawa datuk mereka percaya bahawa ilmu itu cahaya yang menyuluh jalan manusia. Oleh itu, saya tubuhkan sebuah Pusat Pengajian AlQuran, yang saya namakan Pusat Tahfiz AlQuran Albiranii. Saya dedikasikan satu topik khas mengenai Albiranii ini.
Saya percaya, jika saya diberikan kesempatan sekali lagi, saya akan memilih jalan yang sama – menjadi pendidik, penyelidik, dan penyumbang kepada masyarakat. Kerana dalam kerjaya ini, saya temui makna hidup yang paling dalam – berbakti kerana Allah, kepada manusia.
Saya berdoa agar semua yang saya usahakan menjadi amal jariah yang berkekalan. Dan kepada generasi muda, saya tinggalkan satu pesanan:
“Jangan takut untuk menyumbang. Jangan tunduk kepada tekanan yang menghalang kebenaran. Gunakan ilmu dengan jujur. Kerana hanya dengan kejujuran dan ilmu, kita boleh membina dunia yang lebih adil dan lebih berkat.”
Akhir kata, saya ucapkan syukur atas segala peluang, cabaran, dan pengalaman. Terima kasih kepada UTM, rakan-rakan penyelidik, para pelajar, dan seluruh masyarakat yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Semoga memoir ini menjadi saksi kecil kepada usaha besar dalam membina negara melalui ilmu dan khidmat.
No comments:
Post a Comment