About Me

My photo
A 10 acre plot of land is currently been cultivated using the principle of regeneration farming. It is called The Pena Agrofarm. It has a Zawiyah/madrasah and over 500 ducks, deer, goat, ostrich, peacork, pigeons and coconuts and sacha inchi

Tuesday, April 6, 2010

Isu dan Perjuangan Bangsa

Bab 2 daripada buku Melayu dan Perjuangan

2

Isu dan Perjuangan Bangsa


Firman Allah s.w.t bermaksud”Allah memilih daripada para Malaikat, Rasul-rasul dan juga dari manusia, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Melihat” (Surah Al-Hajj, ayat 22)

2.1 Isu mencabar

Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui akan apa yang sedang berlaku dan yang akan berlaku kepada dunia dan makhluk ciptaanNya. Apa yang berlaku di negara kita tidak terkecuali daripada pengetahuan Allah yang Maha Esa. Negara kita tidak sunyi dengan pelbagai isu. Beberapa isu tersebut timbul dan tengelam, yang kemudiannya ditimbulkan semula berkaitan dengan bangsa dan hak orang Melayu. Walaupun bangsa Melayu telah berada pada kedudukan yang setaraf dengan mana-mana bangsa di dunia ini, tetapi pembangunan bangsa Melayu ini masih memerlukan bimbingan dengan perancangan menyeluruh bagi memastikan mereka tidak terus tercicir.

Isu sensitif kini dengan sewenang-wenangnya dibangkitkan oleh bangsa lain bagi menguji aras kepekaan dan kesabaran pemimpin dan masyarakat Melayu. Melayu dicabar dalam Perlimen dengan panggilan seperti ’celaka’ dan sebagainya. Kita jangan lupa kes barang haram di label halal, kemudian timbul pula kes tuntutan kematian seorang yang telah menganut agama Islam yang meninggal dunia, supaya dikebumikan secara agama Hindu. Di beri kuasa sedikit, Menteri Besar Perak di gantung dari memasuki Dewan Rakyat Perak, Sultan Perak mahu disamannya. Sungguh tidak berakal dan beradab. Dalam hal ini kita nampak seolah ada pemimpin Melayu ditunggang oleh bangsa lain untuk menentang kepimpinan sultan. Mereka mempersoal kewibawaan sultan dan kononnya berteraskan kepada undang-undang. Orang Melayu sanggup ’memohon izin untuk derhaka kepada sultan’ hanya kerana mahu mempertahanan kuasa tanpa disedari ianya merosakan kewibawaan sistem raja. Kita tahu bahawa Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan raja berpelembagaan. Walaupun kita mempunyai raja berpelembagaan, kuasa Raja Melayu mesti dikembalikan demi kekuatan dan kedaulatan orang Melayu.

Kita dicabar melalui perundangan dan mereka mendesak supaya perundangan konventional mengatasi perundangan Islam. Umat Islam membisu, Jabatan Agama tidak bersuara, Persatuan Peguam Islam tidak terkata, seolah-olah umat Islam tidak dapat berkata apa-apa hanya menyerah kepada nasib. Mereka gagal mengubah perkara utama mengenai perundangan murtad. Tiadanya perundangan ini, dengan mudah negara kita boleh dibawa ke perundangan antarabangsa yang jelas menentang Islam supaya mengubah keputusan. Akhirnya murtad dibenarkan melalui sistem perundangan civil (murtad dalam Islam hukumnya dipancung atau dibunuh). Cuba kita renungkan apakah sebenarnya yang membawa kepada perkara ini. Yang jelas undang-undang murtad yang masih belum dimaktubkan di peringkat perlembagaan tertinggi. Dalam Islam tidak ada soal boleh keluar Islam, hukumnya mati dan ini tidak ada dalam undang-undang syariat negara kita. Tiadanya undang-udang ini menyebabkan orang dengan mudah menggelar diri mereka sudah murtad. Melalui NGO dalam dan luar negara, mereka mendesak kerajaan kita. Bagi meredakan keadaan, pemimpin kita hanya mampu menyatakan supaya isu ini ditangguhkan dan tidak berani secara tegas menghentikan dan dilarang diulang dan dibangkitkan.

Aktiviti memurtadkan orang Melayu-Islam secara berterusan melalui bermacam bentuk secara tertutup mahupun secara terbuka, setelah menyedari tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa. Apabila ketandusan isu, isu menggunakan nama ’Allah’ untuk tuhan agama Kristian di pohon hingga melalui Mahkamah Tinggi. Secara kasarnya penggunaan nama ’Allah’ ini akan memudahkan lagi kerja mereka untuk memurtatkan umat Islam. Penggunaan ini akan memudaratkan agama kita kerana bagi agama Kristian, Tuhan mereka mempunyai anak sedangkan dalam Islam Allah s.w.t tidak beranak dan tidak diperanakkan. Kebenaran menggunakan nama ini akan mengelirukan umat Islam. Inilah salah satu kesan kelonggaran, kebebasan, demokrasi ala barat yang dipromosikan.

Pihak berkuasa mengambil jalan mudah yang diajar oleh musuh untuk menerima konsep liberal dan toleransi dalam beragama. Pemimpin dan pihak berkuasa seharusnya sedar bahawa penerimaan konsep ini akan membolehkan musuh Islam untuk memasuki negara kita tanpa ada sebarang halangan. Keterbukaan dan toleransi negara telah menyebabkan (NGO) Pertubuhan Bukan Kerajaan dari dalam dan luar negara, semakin berani menyuarakan isu sensitif berselindung disebalik nama hak asasi manusia, kebebasan bersuara, persaudaraan manusia sejagat dan sebagainya. Isu pendidikan negara pula seolah-olah tidak ada kesudahan dengan masalah bahasa dan meritokrasi terus dibahas dan dipersoalkan.

Struktur Kementerian Pendidikan Malaysia telah dibahagikan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi, tetapi isu dan masalah pelajar Melayu ketinggalan dalam pelajaran terus menjadi masalah utama. Dalam artikel ini, penulis akan cuba membincangkan beberapa isu orang Melayu dan melihat akan kemungkinan penyelesaian yang ada. Bangsa Melayu terkenal sebagai bangsa pejuang dan setiap pejuang perlu mengenali musuh khasnya musuh Islam. Juga dibincangkan isu kepimpinan dan kesultanan serta beberapa cadangan untuk diambil tindakan oleh masyarakat dan pemimpin negara.

Isu dan perjuangan yang dibincangakan bukan untuk melaga-lagakan kaum di negara ini tetapi sebagai peringatan kepada bangsa Melayu terhadap tanggungjawab mereka kepada bangsa dan agama. Masyarakat Melayu kini hanya berpegang kepada kuasa politik sahaja dan ini amat penting dikekalkan dan dipertahankan. Terlepas sahaja kuasa politik yang ada pada orang Melayu, kita boleh katakan hampir mustahil untuk diambil semula. Ingatlah wahai bangsa Melayu! Ingatlah akan Perlembagaan Malaysia.

1.2 Perlembagaan Negara

Perlembagaan negara (Perkara 153, Lembaga Persekutuan) ‘menjamin’ hak keistimewaan orang Melayu, iaitu satu perjanjian antara pemimpin Melayu dan penjajah. Hak keistimewaan orang Melayu ini menobatkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Boleh dikatakan semua ini dipersetujui oleh semua pihak. Adalah menjadi tugas pemimpin dan masyarakat Melayu untuk menjadikan hak keistimewaan ini sesuatu yang bermakna kepada masyarakat kita. Selagi orang Melayu kita tidak sedar akan pentingnya hak keistimewaan ini dipertahankan, selagi itulah perjuangan bangsa Melayu belum selesai.

Dalam keghairahan kita mengejar kemajuan, kedudukan Bahasa Melayu kini sudah ‘tidak penting’ lagi, sehinggakan bahasa Inggeris secara beransur-ansur digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Ilmu sains dan matematik kini telah diajar dalam bahasa Inggeris. Setelah program pengajaran ilmu sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris, ada pejuang Melayu yang mahukan dua mata pelajaran ini kembali diajar dalam bahasa Melayu. Dalam era pembangunan moden ini, usaha mengajar mata pelajaran ini dalam bahasa Inggeris amat baik. Persoalannya, adakah masyarakat kita (khasnya luar bandar) bersedia untuk menerima perubahan ini dan sanggupkah kita korbankan anak bangsa kita yang miskin di kampung hanya kerana kita mahu bersaing di peringkat antarabangsa. Setelah dikenalpasti kebaikan pengajaran mata pelajaran ini dalam Bahasa Inggeris, pemerintah perlu membangunkan infrastruktur yang mencukupi untuk penduduk luar bandar kerana hampir 100% penduduk luar bandar adalah orang Melayu. Orang Melayu mesti tahu bahawa menurut perundangan negara bahawa bahawa Melayu mesti dinobatkan bukan bahasa Inggeris.

Dalam kita mempelajari sesuatu ilmu, medium pengajaran memainkan peranan yang amat penting. Dalam isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, kita dapati pelajar boleh belajar matematik dalam bahasa Inggeris, tetapi ilmu yang diterima tidak dapat dihayati. Dalam kelas pelajar boleh menjawab secara ringkas tetapi tidak dapat menghuraikan ilmu atau bertanya dengan baik dalam bahasa Inggeris. Akahirnya kita dapati pelajar hanya boleh menjawab “yes sir”, atau “I understand” atau “I can follow”. Pelajar tidak mampu untuk bertanyakan kepada guru secara terbuka bagi menghayati dan seterusnya mendalami ilmu matematik atau sains. Pelajar Melayu rugi kerana tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan seterusnya tidak berjaya mendapatkan ilmu matematik. Kedua ilmu ini akhirnya tidak dapat dihayati oleh kebanyakan pelajar Melayu kerana ‘handicap’ bahasa. Sekiranya Bahasa Inggeris ingin dipertingkatkan melalui pengajaran matapelajaran, mengapa tidak digunakan subjek seperti sejarah atau geografi?

Orang Melayu dikerah supaya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, malah harus tahu lebih daripada satu bahasa. Demi kemajuan dan keamanan negara, bangsa Melayu sanggup berkorban, ‘menggadai’ bahasanya demi kesejahteraan masyarakat. Bangsa Melayu sanggup berkorban demi menjaga keamanan negara walaupun bangsa lain telah maju dengan mengambil sedikit demi sedikit hak keistimewaan orang Melayu.

Kini timbul pula isu untuk melahirkan bangsa Malaysia. Walaupun isu bangsa Malaysia tidak melibatkan perubahan perlembagaan negara dan hak bangsa Melayu, tetapi ini hanya benar untuk sementara waktu dan pada masa depan sudah pasti isu hak Melayu akan terus dipersoalkan. Contoh demi contoh telah kita lihat akan terhakisnya kedaulatan Melayu di bumi sendiri dan ini perlu disedari oleh masyarakat dan pemimpin Melayu.

2.3 Pendidikan Bumiputra

Hak kuota pelajar Melayu ditempatkan di institusi pengajian tinggi juga telah dipertikaikan sehinggakan peluang pengajian dalam bidang penting kini dimiliki oleh bangsa lain seperti perubatan, kejuruteraan elektrik, Kimia dan mekanikal. Kita kalah dengan desakan bangsa lain supaya menggunaan kaedah meritokrasi dalam kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi. Kita melatah dan kalah dengan desakan 128 orang yang memohon tempat pengajian perubatan di universiti tempatan beberapa tahun yang lalu. Pemimpin kita memberi laluan, tanpa disedari, penglibatan bangsa kita dalam bidang-bidang profesional penting kini dipenuhi oleh orang lain. Masyarakat kita gembira dengan statistik bahawa mengikut kuota, bilangan anak Melayu yang memasuki universiti meningkat tetapi tidak mereka tahu bahawa anak Melayu hanya mampu memenuhi bidang yang tidak begitu penting. Selepas tamat pengajian, kita dapati ramai anak Melayu tidak dapat pekerjaan dan menyalahkan kegagalan ini disebabkan bahasa Inggeris sebagai alasan tidak dapat bersaing. Melayu tidak boleh pergi ke arena antarabangsa. Sedangkan isu sebenarnya adalah bidang yang dikuasi anak Melayu bukan bidang utama dalam pasaran pekerjaan. Jika dahulu kita memberikan kuota bagi anak kita untuk mengikuti bidang utama, tetapi kini bilangan ini telah sangat berkurangan. Masyarakat tidak tahu, pemimpin buat-buat tidak tahu tetapi ini jelas berlaku di institusi pengajian tinggi.

Universiti Kebangsaan Malaysia telah memertabatkan bahasa Melayu, kita dapati orang Melayu tetap mampu melahirkan jurutera dan doktor yang baik. Statistik jelas menunjukkan bahawa ramai pakar perubatan di Malaysia ini datangnya dari sebuah universiti yang memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Jika dahulu MRSM adalah program pendidikan dengan agenda perjuangan Melayu, kini ianya telah dibuka kepada bangsa lain. Hak keistimewaan anak Melayu telah berkurangan. Walaupun dikatakan bilangan tempat orang Melayu tidak berkurangan kerana tempat pengajian ditambah, kita sebenarnya telah membuka peluang orang lain dalam institusi milik orang Melayu. Setelah dibuka ruang ini atau peluang ini kepada orang lain, bolehkah pada kemudian hari pihak berkuasa menutup tempat yang dibuka ini? Sudah tentu tidak semudah itu. Sebaliknya berapa ramai anak Melayu yang belajar di TAR College? Di kolej ini bahasa Melayu sudah pasti bukan lagi bahasa pengantar dalam pengajaran dan bukan juga bahasa pertuturan. Kita bukan hendak menafikan bahawa matlamat untuk menjadikan masyarakat Melayu kita lebih bardaya saing. Persoalannya adakah bukti kukuh selama ini anak Melayu keluaran MRSM ini atau UiTM tidak mempunyai daya saing. Jawapannya tidak ada! Apakah justifikasi politik disebalik pembukaan MRSM ini kepada bangsa lain?

Institusi pendidikan seperti MRSM, SBP dan Sekolah Menengah Sains seharusnya diperbanyakkan dan dikhaskan untuk memberi kemudahan anak-anak kampung yang berdaya maju untuk melanjutkan pelajaran. Institusi ini tidak seharusnya dibiarkan didominasi oleh anak orang kaya atau anak bekas pelajar MRSM untuk menyambung pelajaran mereka. Utamakan anak-anak kampung untuk melanjutkan pelajaran. Kemudahan yang diberikan kepada pelajar boleh menghasilkan pelajar cemerlang dan seterusnya dapat membantu keluarga kampung dan meningkatkan sosio ekonomi warga diluar bandar. Jadikan usaha meningkatkan tahap pelajaran penduduk kampung sebagai perjuangan pemerintah dan ini akan menjamin kesinambungan usaha memertabatkan bangsa Melayu.

Perjuangan Melayu perlu dilihat semula. Pemimpin negara sekarang perlu melihat kembali perjuangan pemimpin lampau yang berwawasan dengan keikhlasan memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara serta pada waktu yang sama mempunyai akhlak dan peribadi yang tinggi. Apakah kita boleh katakan pemimpin berakhlak tinggi jika mereka berebut-rebut dalam masa yang singkat untuk mengumpul kekayaan? Wakil Rakyat seharusnya mempunyai perasaan malu untuk membangunkan rumah ibarat istana. Ini jelas berlaku apabila seorang pemimpin membangunkan rumah yang agak besar tanpa mendapat persetujuan pihak berkuasa Majlis Perbandaran Klang. Peristiwa ini sangat menarik kerana ia mendapat perhatian di peringkat nasional dan disensasikan kes ini oleh bangsa lain dan mempersoalkan kewibawaan pentadbiran negeri dan negara. Seorang pejuang Melayu membangunkan sebuah rumah yang agak besar telah membuka mata semua orang tetapi bangsa lain membangunkan seratus istana lima kali lebih besar dari itupun, tidak ada siapa yang akan bersuara. Dr. Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor dalam keadaan begini terpaksa mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut perundangan yang telah ditetapkan. Pemimpin berjiwa rakyat mesti dibentuk, pemimpin yang berjuang untuk membangunkan rakyat miskin, pemimpin yang mahukan anak bangsanya maju dalam pelajaran dengan memperbanyakkan biasiswa untuk pelajaran. Usaha dan semangat yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin negara sebelum ini dalam memperjuangkan bangsa Melayu mesti dibangunkan.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Haji Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Kedua telah banyak membawa kemajuan kepada orang Melayu, Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya. Dasar Ekonomi Baru telah digubal semata-mata untuk orang Melayu. Keistimewaan utama yang dibawa oleh allahyarham Tun Haji Abdul Razak kepada orang Melayu adalah peluang. Beliau telah membuka mata masyarakat Melayu terhadap pentingnya pelajaran dan telah membuka peluang untuk anak Melayu melanjutkan pelajaran. Orang Melayu selalu dikaitkan dengan kemiskinan, lantas dibuka Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Sains di seluruh negara untuk menempatkan anak-anak Melayu (dari keluarga kampung) yang mempunyai sedikit kebolehan dalam pelajaran untuk belajar dengan selesa. Peluang yang diberikan ini telah menghasilkan anak Melayu yang berpelajaran. Sebab itulah sungguh tidak wajar sesiapa yang telah menerima pertolongan dari usaha pemerintah ketika itu menentang pemerintah yang terus melaksanakan kebajikan ini kepada rakyat.

Memandangkan bilangan orang Melayu yang berjaya telah meningkat, peruntukan biasiswa dikatakan terhad. Kini orang Melayu disediakan pinjaman PTPTN yang tidak seberapa sehinggakan perlu dikenakan pula faedah kepada pinjaman tersebut. Perlu diingatkan biasiswa adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan. Melayu di ajar berhutang, hidup berhutang dan seterusnya sedikit sebanyak melahirkan rakyat Melayu yang berhutang. Siapa yang kasihankan orang Melayu?

Sepertimana yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein menjana peluang pelajaran kepada bangsa Melayu, kerajaan sekarang juga perlu menjana peluang pendidikan yang banyak kepada anak Melayu. Pelajar Melayu yang cemerlang hendaklah diberikan biasiswa pengajian. Pelajar-pelajar dari golongan miskin juga perlu dibantu, kerana inilah peluang kejayaan bagi bangsa Melayu. Mereka hendaklah dihantar keluar negara tanpa mengira kouta. Malah mengikut Artikel 153, bahawa bangsa Melayu berhak untuk diberi tempat dan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran.

Pendidikan merupakan pendekatan yang paling penting untuk Malaysia membangunkan apa yang dikatakan ’bangsa Malaysia’. Selagi pihak pemerintah negara membenarkan sekolah berbahasa ibunda dari kecil sehinggalah ke peringkat universiti, selagi itulah kita tidak akan dapat membangunkan masyarakat yang benar-benar cintakan negara dan tanah tupah darah mereka. Keadaan ini makin bertabah buruk dengan adanya pula universiti dari Hong Kong dan Taiwan yang bercadang untuk membuka cawangan mereka di sini. Dalam keadaan sekarang jika dijangkau lima tahun ke hadapan, kita akan dapati bangsa lain tidak akan bertutur dalam bahasa Melayu, tidak akan melalui sekolah kebangsaan, tidak akan ada persahabatan antara kaum dan sudah pasti integrasi kaum itu tidak berlaku dan pasti akan ada kesan-kesan sapingan lain.

2.3 Kepimpinan Melayu

Perdana Menteri ke dua Malaysia, Tun Haji Abdul Razak sedar akan kebolehan anak Melayu dari keluarga yang bekerja sebagai petani, kurang kepandaian akademik, tidak mempunyai tanah yang mencukupi atau tidak begitu pandai mengurus, lantas beliau membangunkan kawasan luar bandar melalui projek pembangunan FELDA. Beliau melancarkan dasar Buku Hijau bagi menggalakkan masyarakat menanam keperluan asas dan komoditi. Penubuhan FELDA dan Konsep Buku Hijau ini telah sekali lagi membuka peluang kepada anak Melayu untuk memiliki tanah sendiri dan berusaha untuk maju dalam pertanian yang akhirnya dapat meningkatkan taraf ekonomi bangsa Melayu.

Institusi FELDA mestilah dipertahankan sebagai milik orang Melayu dan seharusnya ditadbirkan dengan sempurna supaya daya saingnya berkekalan. FELDA mestilah menjadi institusi kebanggaan orang Melayu dan FELDA tidak seharusnya diletakkan dalam Bursa Saham Malaysia. Kita bimbang sekiranya harta pusaka negara kita dimasukkan dalam Bursa Saham Malaysia, lambat laun ekuiti pemilikan dikuasai oleh orang lain. Dalam keadaan pasaran saham yang telah lupus kepercayaan, tidak wajar untuk kita melibatkan diri.

Tun Haji Abdul Razak telah membawa satu legasi kepimpinan yang perlu difahami oleh seluruh rakyat Malaysia. Beliau melihat akan keperluan rakyat dan berusaha untuk membantu memenuhi cita-cita rakyat. Pembangunan sistem pendidikan terbentuk berasaskan keperluan rakyat kepada pendidikan kerana melalui pendidikanlah orang Melayu boleh ke hadapan dan hidup berdikari dan mampu bersaing. Sebaliknya sering kali kita lihat sekarang ini keperluan umum dijadikan asas untuk membangunkan kepentingan individu pemimpin. Masalah kekurangan makanan asasi (beras) yang dihadapi oleh negara baru-baru ini di’campak’ semula kepada rakyat dengan saranan supaya mereka kurangkan makan nasi. Orang kampung tidak akan dapat kurangkan makan nasi kerana itu sahajalah yang mereka makan. Apa sahaja polisi yang ingin dibangunkan hendaklah berasaskan kepada mensejahterakan semua orang Melayu dan memerdekakan mereka dari kemiskinan atau merempat di bumi sendiri. Ini tidak sama sekali mengenepikan bangsa lain kerana kita orang Melayu juga bertanggungjawab terhadap mereka.

Malaysia bertuah kerana dikurniakan kepimpinan yang dinamik dan berjiwa rakyat. Pemergian Tun Haji Abdul Razak diganti oleh Tun Hussein Onn. Beliaulah orang yang telah memberi peluang orang Melayu dalam memiliki saham. Ramai mungkin tidak tahu perkara ini dan ramai telah lupa akan jasanya yang begitu besar kepada bangsa dan negara, moga Allah s.w.t. merahmati beliau dan meletakkannya disyurga Firdaus yang mulia. Kita tahu bahawa pada 9 Januari 1981, beliau telah mengumumkan pindaan Hak Milik Saham Milikan Kerajaan kepada orang Melayu yang dilaksanakan melalui skim Amanah Saham Nasional yang dikendalikan oleh Yayasan Pelaburan Bumiputra. Peluang ini membolehkan bangsa Melayu melabur dan mendapat perolehan daripada pelaburan. Peluang-peluang beginilah seharusnya terus dibuka untuk bangsa Melayu menikmati kekayaan yang ada di bumi yang bertuah ini. Malah menerusi PNB, kita berjaya mengambil kembali syarikat-syarikat gergasi seperti Sime Darby, Dunlop, Gutherie, dan lain-lain memanfaatkan untuk kepentingan rakyat Malaysia. Isunya, kenapa ia dijual semula kepada syarikat ‘Synergy Drive’ milik CIMB.

Tun Dr. Mahathir Mohamad muncul sebagai pengganti Tun Hussein Onn, seorang pemimpin yang tegas dan berani. Beliau terkenal dengan ketegasannya bagi memastikan segala perancangan dasar kerajaan dilaksanakan mengikut acuan budaya, pemikiran dan corak kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama. Beliau dapati bangsa Melayu yang ingin diperjuangkan mempunyai banyak kelemahan dan berusaha untuk menyedarkan orang Melayu. Buku ‘The Malay Dilemma’ telah mengejutkan orang Melayu khasnya pemimpin Melayu. Walaupun bangsa Melayu mempunyai keistimewaan, tetapi pada hakikatnya bangsa Melayu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa lain. Inilah yang hendak disedarkan dan inilah hakikatnya. Umat Melayu Islam ingin dibangkitkan supaya yakin untuk bersaing dengan mana-mana bangsa di dunia ini dalam apa jua lapangan dan bidang. Sebab itulah slogan ‘Malaysia Boleh’ dilahirkan dan perjuangan untuk bangsa Melayu sangat konsisten dengan apa yang ditulisnya dalam ‘The Malay dilemma”.

Beliau telah serba sedikit dapat mengubah mentaliti bangsa Melayu dan rakyat Malaysia dengan mengambil beberapa budaya asing yang murni seperti budaya kerja rakyat Jepun. Menerusi Dasar Pandang Ke Timur, beliau telah mengajak masyarakat Malaysia menyerap nilai kerja rakyat Jepun ke dalam budaya kerja rakyat Malaysia dengan disertakan konsep bersih, cekap dan amanah. Kelemahan pemikiran bangsa Melayu seolah-olah masih dibelenggu penjajah menggugat kemajuan bangsa itu sendiri. Beliau cuba melepaskan orang Melayu daripada belenggu mentaliti rakyat yang dijajah. Beliau mengajak orang Melayu meyakini kemampuan mereka sendiri dengan tidak menganggap segala yang datang dari Barat itu sahaja yang boleh diteladani. Malangnya ini tidak berlaku. Projek membuat ramalan kedatangan penumpang melalui KLIA pun menggunakan agensi luar negara sedangkan negara mempunyai banyak keparan sendiri dan banyaklah contoh-contoh lain yang boleh di berikan. Orang Melayu tidak mempunyai keyakinan kebolehan orang Melayu dan takut kepda kegagalan. Kebelakangan ini institusi pengajian tinggi berlumba-lumba untuk meletakkan institusi ini ke pesada dunia. Salah satu ciri pengiktirafan tersebut adalah banyaknya bilangan tenaga pengajar atau penyelidik dari luar negara. Kesannya kita sibuk memberi pekerjaan kepada pensyarah atau penyelidik dari luar negara, tanpa disedari kita memberi peluang pekerjaan kepada orang luar sedangkan negara kita mengalami masalah penganguran dan kekurangan pekerjaan. Ini belum kita teliti kemudahan yang diberikan kepada merea ini. Mengapa polisi sebegini diteruskan dalam keadaan ekonomi negara meleset sekarang ini?

Tun mengajar orang Melayu supaya berani dan tidak tunduk kepada kuasa-kuasa besar dan terlalu menghormati mereka sehingga takut untuk bertindak bagi mengelakkan ‘kemurkaan’ kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain. Kempen ‘Buy British Last’ diambil kerana tindakan Britain menaikkan yuran pengajian pelajar Malaysia terlalu tinggi. Tindakan ini juga diambil kira tindakan pemimpin Britain yang terus memburukkan pemimpin Malaysia. Beliau mendidik kita supaya berani berhadapan dan berurusan atas kedudukan yang sama dengan masyarakat Barat dan berani mengkritik tindakan mereka yang keterlaluan atau keputusan yang berat sebelah.

Disamping berjaya membangunkan pemikiran bangsa Melayu supaya mampu mencebur diri dalam berbagai bidang, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuka banyak peluang untuk bangsa Melayu terlibat dalam industri yang tidak pernah terfikir sebelum ini. Tertanamnya sikap dan keyakinan di dalam bangsa Melayu serta kemampuan kewangan Malaysia, barulah negara ini berjaya mewujudkan pelbagai institusi yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara. Penubuhan MSC, industri berat kereta nasional, pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya, pembangunan Menara Berkembar Petronas tertinggi di dunia dan pembinaan KLIA merupakan usaha yang menjana peluang untuk bangsa Melayu. Jelas orang Melayu boleh melakukan apa saja setanding dengan mana-mana bangsa utama di dunia ini. Tetapi setelah dibangunkan institusi dan industri ini, seharusnya sumber manusia dipenuhi pula oleh bangsa Melayu dan bukan dieksploitasi oleh orang lain. Usaha mesti diteruskan bagi meningkatkan penglibatan bangsa kita.

Pimpinan negara kemudiannya diambil alih oleh Yang Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Perjuangan memertabatkan bangsa Melayu diteruskan dengan penekanan diberikan kepada bidang pertanian moden, pembangunan asas tani serta pembangunan modal insan. Perancangan yang dibentuk untuk membangunkan industri pertanian menggunakan teknologi biotek sangat impresif, tetapi pembangunan industri ini memerlukan modal dan komitmen yang tinggi. Ini menjadikan industri pertanian moden yang pada asalnya dibangunkan untuk bangsa kita kini dieksploitasi oleh bangsa lain. Tanah yang dibuka untuk pertanian yang diagihkan kepada pengusaha Melayu tetapi akhirnya terlepas juga ketangan bangsa lain kerana tidak adanya bimbingan dari mula hingga projek tersebut berjaya.

Tanpa pengawasan yang betul, tanah yang dibuka untuk memenuhi hasrat pembangunan pertanian moden akhirnya diserahkan kepada bangsa lain untuk ditanam kelapa sawit. Pembangunan tanah memerlukan modal yang besar dan dengan kesukaran pengusaha untuk mendapatkan modal, akhirnya usaha ini akan terbantut dan diserahkan juga kepada bangsa lain. Pihak pemerintah perlu mempunyai strategi yang jelas untuk membangunkan industri asas tani ini demi kemajuan anak bangsa Melayu. Sesungguhnya orang Melayu, Pemimpin Melayu mesti bersatu mengatur strategi agar bumi ini tidak terlepas kepada mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata. Semua ini perlu dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Usaha memajukan pertanian moden mesti disokong oleh semua rakyat supaya negara kita tidak bergantung kepada makan yang diimpot. Negara kita mesti mempunyai stok makanan yang mencukupi bagi memastikan rakyat tidak menderita apabila berlaku bencana alam sekitar, pencana keruntuhan sistem kewangan dunia. Akan sampai satu ketika nanti sistem wang kertas dunia meletup dan hancur. Ketika itu hanya komoditi digunakan sebagai alat tukar, oleh itu usaha memantapkan perushaan pertanian perlu diteruskan dan dimajukan.

2.4 Kesimpulan

Berbagai isu telah dikaitkan dalam Bab 1 dan seterusnya disambung dalam bab ini. Antara isu yang dibincangkan adalah isu kedaulatan bangsa Melayu yang sering dipersoalkan oleh bangsa lain. Amat penting perlembagaan negara menjadi pegangan semua rakyat Malaysia, institusi kesultanan diperkukuhkan dan memastikan cabar mencabar kedaulatan bangsa Melayu ini dihentikan. Isu lain yang utama adalah pendidikan. Pemerintah mesti mempertahankan hak orang Melayu mendapat bantuan dalam pelajaran dan tidak mengheret orang Melayu menjadi bangsa berhutang dan menjadi konsumer yang berakhlak sahaja. Pemimpin dan kepimpinan negara perlulah melihat sumbangan pemimpin lampau yang berjuang untuk rakyat Malaysia. Peranan utama pemimpin akan datang adalah memastikan adanya kesinambungan pemerintahan dengan meletak Islam sebagai agama rasmi, bahasa Malaysia (Melayu) bahasa rasmi. Bahasa dan Islam boleh membangunkan sebuah masyarakat majmuk yang makmur, aman dan harmoni.

No comments: